Aug 29, 2025

WIRA YANG LELAH

 

"WIRA BILIK DARJAH LELAH"

 

Guru Bersara Awal?

Jangan salahkan guru!

 

Data terkini menunjukkan lebih 19,000 guru sekolah rendah dan menengah memilih untuk bersara awal dari tahun 2022 hingga Mei 2025; kebanyakannya kerana hilang minat sebagai pendidik.

 

Angka ini membimbangkan kerana ia bukan sekadar isu individu guru yang “hilang minat”, tetapi petanda ada masalah sistemik dalam profesion perguruan di negara kita. Ia juga mengenai negara kehilangan wira-wira dalam bilik darjah yang bertanggungjawab membentuk masa depan nusa.

 

Apa yang pasti, Guru yang mohon bersara awal bukan kerana soal kemampuan mereka, tetapi cerminan beban berlebihan yang mengikis semangat, serta melunturkan jiwa pendidik mereka.

 

 Mengapa beban guru semakin menyusahkan?

Guru tidak berhenti kerana lelah mengajar, tetapi kerana beban pentadbiran yang menyesakkan
jiwa. Saya amat pasti mengenainya kerana sepanjang hidup saya dari dulu sehingga kini, saya bergelumang dengan guru-guru samada sebagai adik beradik, handai taulan, mahupun sahabat handai.

Beban kerja guru hari ini menurut majoriti guru di Malaysia bukan lagi tertumpu pada mengajar, sebaliknya dibebani dengan pelbagai laporan, sistem data yang berulang, dan tugasan luar peranan. Pada masa yang sama, sokongan emosi dan psikososial masih lemah, menyebabkan ramai guru merasa terasing dan tertekan walaupun skim gaji dan kenaikan pangkat telah ditambah baik.

(Dr. Maszlee Malik)