Jun 24, 2016

NIQAB DAN JUBAH

NIQAB

Niqab atau Tidak:Suatu Tazkirah

Niqab menjadi utama kepada wanita cantik yang dekat dengan suasana fitnah, niqab itu tidak menyulitkannya dan tidak mengundang cacian serta perlekehan orang terhadapnya. Tidak berniqab pula menjadi utama dalam fiqh dakwah pada zaman ini.
Siapa yang berani mendabik dada bahawa dia adalah lebih baik daripada orang lain? Sedangkan kedua-dua pilihan ini mempunyai hujah dan fiqh  keutamannya yang tersendiri.  Sama-samalah menghormati sebuah pilihan.

Antara 3 Kelompok

            Dr. Amru Abdul Karim Sa’dawi di dalam bukunya  berjudul Wanita Dalam Fiqih Al-Qaradhawi menulis, ada 3 kelompok besar yang berbicara tentang pakaian wanita iaitu:
1.       Kelompok yang inginkan kebebasan mutlak bagi wanita dalam berpakaian.
2.      Kelompok yang inginkan penutupan mutlak bagi wanita dalam berpakaian termasuk menutup muka dan tapak tangan.
3.      Kelompok pertengahan yang menganggap Islam tidak mewajibkan model pakaian tertentu  atau warna tertentu bagi pakaian wanita.  Adapun model dan warna pakaian serta baju luar yang ada di sejumlah negara merupakan tradisi  yang berlaku di sesuatu negara dan ini tentu berbeza dengan tradisi yang berlaku di negara lain. Apapun, Islam menetapkan sejumlah batasan dan sifat tertentu pada pakaian wanita Muslimah yang mesti dikenakan ketika  keluar rumah. (Mustafa At-Thahan, hal.167).
Bolehnya Menampakkan Wajah

            Boleh atau tidak boleh  menampakkan wajah adalah soal khilaf. Apabila dinamakan khilaf, kedua-dua kelompok mempunyai hujah tersendiri yang wajar dihormati. Berikut dinyatakan hujah kelompok yang membolehkan menampakkan wajah yang menjadi pilihan penulis.
Syeikh Yusuf al-Qaradhawi berkata, “Saya ingin jelaskan sebuah hakikat yang pada dasarnya sudah jelas, sebuah hakikat yang telah dikenal di kalangan ilmuan, iaitu perkataan tidak wajibnya penutup muka dan dibolehkannya membuka wajah dan kedua tapak tangan dari anggota wanita di hadapan lelaki. Ini adalah pendapat majoriti ulama fiqh sejak zaman sahabat.”
Pendapat ini berdasarkan dalil-dalil syariat dan riwayat dari para sahabat(atsar), dan bersandarkan kepada pandangan dan perbandingan akal sihat serta diperkuat pula oleh kenyataan yang berlaku  pada zaman keemasan umat ini.

Terlalu banyak hujah yang dikemukakan oleh Al-Qaradhawi berkaitan hal ini. Antaranya ialah:

Dalil  1
          
Tafsiran majoriti para sahabat terhadap surah an-Nur ayat 31,
“Dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya.”
Mereka mengecualikan muka dan tapak tangan. Antara mereka yang berpandangan demikan ialah Anas bin Malik, Ibnu Abbas, Aisyah, Said bin Jubair, Atha’,  Qatadah, Musawwir bin Makhramah, Ibnu Juraij dan lain-lain. Imam At-Tabari, Ar-Razi, Baidhawi dan lain-lain menyokong pendapat Ibnu Abbas dan lain-lain.

Dalil 2

Diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Aisyah r.ha. bahawa Asma’ binti Abu Bakr pernah mendatangi rumah Nabi SAW (baginda merupakan adik ipar Asma’) dengan mengenakan pakaian tipis yang menampakkan tubuhnya. Lalu Nabi SAW berpaling daripadanya dan berkata, “Wahai Asma’, sesungguhnya seorang wanita yang telah haid tidak dibolehkan menampakkan bahagian daripada (tubuh)nya kecuali ini dan ini.” Baginda SAW memberikan isyarat kepada wajah dan kedua telapak tangan. Hadis di atas banyak dikuatkan oleh pelbagai hadis sahih lainnya.
Al-Bani  menilai hadis  ini hasan dalam kitabnya, Hijab al-Mar’ah al-Muslimah, meskipun statusnya mursal dan perawinya dhaif. Ini kerana ada hadis penguat (hadis syahid) dari riwayat Asma’ binti Umais. Riwayat penguat lain ialah realiti yang berlaku pada zaman Nabi dan sahabat, ramai wanita tidak berniqab.

Dalil 3

Pada waktu-waktu tertentu, mengenakan penutup wajah dipandang aneh dan menimbulkan tanda tanya.  Imam Abu Dawud meriwayatkan dari Qais  bin Syimas r.a. berkata, “Seorang wanita (yang dikenal sebagai Ummu Khalad) datang menemui Rasulullah. Dia datang dengan wajah tertutup. Dia bertanya perihal anaknya yang terbunuh. Beberapa orang sahabat berkata kepadanya,
“Saudari datang untuk bertanya dengan wajah tertutup?”
Ummu Khalad berkata,
“Walau anak saya terbunuh, tapi tidak dengan rasa malu saya.”
Jika memang penutup muka pada zaman itu sudah mentradisi lalu apa alasan perawi berkata sesuatu yang menunjukkan mereka hairan dengan penampilan Ummu Khalad. Jawapan Ummu Khalad menunjukkan alasannya menutup wajah adalah kerana rasa malu bukan kerana perintah Allah dan Rasul.
Kalau memang penutup  wajah wajib secara  syariat, tentu  dia tak akan menjawab demikian dan sahabat tidak bertanya demikian, seakan bertanya,
“Kenapa kamu solat?”

Dalil 4

Al-Baihaqi meriwayatkan dari Ibnu Abbas dan Aisyah, Rasulullah melarang wanita dalam ihram mengenakan penutup wajah. (HR Bukhari).
Jika wajah dan tapak tangan memang aurat, kenapa Rasulullah melarang menutupnya? Padahal, apa-apa yang dilarang ketika ihram seperti menggunakan pakaian berjahit,berburu dan memakai wangian pada asalnya boleh. Bagaimana boleh dikatakan yang wajib ketika ihram (membuka wajah), pada asalnya adalah haram pula?
Ulama sepakat bolehnya wanita membuka wajah ketika solat dan haji. Apakah mungkin syariat membenarkan terbukanya aurat ketika haji dan solat?

Dalil 5

            Perintah kepada lelaki menundukkan pandangan dalam Surah an-Nur, ayat 30 dan dalam banyak hadis. Jika semua wanita menutup wajah, apa maknanya  perintah ini?

Dalil 6

            Perintah Allah dalam surah An-Nur, ayat 31, “Dan hendaklah mereka menutupkan kain ke dadanya,” tentang menutup dada, bukan menutup wajah. Jika menutup wajah itu wajib,tentu Al-Quran mengatakannya dengan jelas sejelas ayat perintah menutup dada ini.

Dalil 7

            Dalam Surah al-Ahzab, ayat 52, “meskipun kecantikannya menarik hatimu…”. Bagaimana mengetahui kecantikan  seorang wanita jika wajahnya wajib ditutup?

Dalil 8

Satu kenyataan yang turut diakui oleh golongan yang mewajibkan  niqab ialah wanita pada zaman awal Islam tidak seluruhnya menutup  wajah, melainkan hanya beberapa orang sahaja dan pada  waktu-waktu tertentu sahaja.

Apabila Lelaki Memandang Dengan Syahwat

As-Shawi berkata, “Apakah wajib bagi wanita, pada saat lelaki memandangnya  dengan syahwat untuk menutup wajah dan tapak tangannya?”
Ibnu Marzuq berkata. “Tidak wajib baginya.”
Perintah menundukkan pandangan ditujukan kepada lelaki tersebut. Pendapat ini dikutip oleh Mawwaq dari Qadhi Iyadh. Marzuq membezakan antara wanita cantik atau tidak.
Namun, kecantikan seorang wanita adalah suatu yang relatif. Si A mungkin memandangnya cantik tapi si B mungkin memandangnya tidaklah cantik sangat. Lagipun,bagaimana seseorang wanita itu tahu seorang lelaki itu sedang memandangnya dengan nafsu?
Terdapat hadis tentang Rasulullah memalingkan wajah Fadhl bin Abbas daripada memandang seorang wanita dari Khats’am yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas bahawa wanita itu memang cantik. IbnuHazm berkata, “Jika wajah (cantik) itu aurat, tentu Rasulullah memerintahkan wanita itu menutupnya.”
            Bolehnya wanita menampakkan wajah tidak bermakna bolehnya lelaki melihatnya. Sebahagian ulama melarang lelaki melihat wanita kecuali pandangan pertama yang tidak disengaja.
Sebahagian ulama yang lain pula mengharuskan memandang wajah wanita dengan syarat  tanpa hasrat seksual. Jika timbul syahwat dengan memandang wajah wanita ketika itu haram hukumnya memandang wajahnya. Dr.Yusuf Al-Qaradhawi memilih pendapat ini dalam bukunya An-Niqab Lil Mar’ah.

Membuka Wajah Suatu Keperluan dalam Komunikasi Berkesan

            Wanita dan lelaki harus berkomunikasi  dalam muamalat atau urusan-urusan hidup seperti berjual beli, kesaksian, wakil-mewakilkan dan sebagainya.
            Ulama fikih sependapat wanita hendaklah membuka wajah ketika memberi keterangan di hadapan hakim, sehingga hakim,saksi dan lawan bicara mampu mengenalnya dan anak siapakah dia.

Fiqh Dakwah: Menjaga Dakwah Lebih Utama

            Di antara kaedah yang disepakati dan tidak diperdebatkan ialah fatwa boleh berubah dengan berubahnya zaman, tempat, kebiasaan dan keadaan.
            Dr. Yusuf al-Qaradhawi berkata, “Saya berkeyakinan, zaman kita sekarang telah memberi wanita banyak peluang dan kesempatan yang mengharuskan kita untuk menyusun kembali pemikiran-pemikiran kita  yang memudahkan  wanita untuk  membentuk keperibadiannya.”
            “Di dalam kitab Al-Ijtihad fi Asy-Syariah al-Islamiyyah, saya  menyebutkan, saya menganjurkan wanita yang bergerak dalam bidang dakwah hendaklah tidak mengenakan penutup wajah. Alasannya agar tidak menjadi penghalang komunikasi antara dirinya sebagai da’i dan masyarakat sebagai objek dakwah. Menjaga kemaslahatan dakwah lebih penting dari apa-apa yang dia berjaga kerananya.”

Jangan Bergaduh Soal Niqab

            Dr. Yusuf al-Qaradhawi mengingatkan, “Tidak dibenarkan bagi saudari-saudari yang menutup wajahnya dan menyeru kepada menutup wajah, menyerang wanita muslimah yang berpegang, beramal dan berdakwah dengan pendapat majoriti ulama yang mewajibkan jilbab tanpa penutup wajah.”
            “Seharusnya serangan mereka diarahkan kepada kaum liberalis yang  mengarahkan kaum wanita muslimah berpakaian terbuka ala Barat. Para muslimah itu sendiri telah bersusah payah mempertahankan jilbabnya di lingkungan kerjanya, kampungnya dan rumahnya.”

Pada Kesulitan Ada Kemudahan

            Mewajibkan wanita berniqab pada zaman ini melahirkan banyak kesulitan. Allah memberi keringanan dalam setiap kesulitan. Allah SWT berfirman,”Dia tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan.” (Al-Haj: 78).
            Rasulullah bersabda, “Saya diutus dengan kelapangan dan toleransi beragama.” Hingga ulama kita memberi kaedah, kesulitan mendatangkan kemudahan.
            Rasulullah memerintahkan kita mempermudah urusan bukan menyulitkan, memberi berita gembira bukan menakutkan.


JUBAH

Jubah yang dikehendaki Islam adalah menutup-memelihara Aurat danbukannya membalut-membonjol Aurat seperti yang diamalkan segelintir Muslimah moden zaman kini.
Kemajuan industri fesyen Muslimah tidak boleh dijadikan alasan. Imej kesederhanaan dan kemuliaan Jubah WAJIB dikekalkan dan TIDAK BOLEH dirosakkan dengan sebarang elemen-elemen tabarruj dan berhias untuk menunjuk cantik. Apatah lagi jika Jubah cuba digabung-padankan dengan rekaan yang sendat dan ketat, sudah pasti hukumnya HARAM dan berdosa besar di dalam Islam. Akan terhasillah nanti sepasang Jubah yang MAKSIAT.
Telah menjadi trend fesyen sejak kebelakangan ini, ramai wanita Islam di Malaysia gemar mengenakan Jubah untuk ke majlis-majlis dan ke tempat kerja, khususnya pada hari Jumaat.
Malang sekali, Jubah-jubah yang dipakai mereka sudah hilang faedah dan hikmahnya di sisi Islam. Memang Jubah mereka labuh dan tidak menampakkan warna kulit, tetapi rekaaannya sengaja mengikut potongan badan si pemakai khususnya di bahagian dada dan pinggang. Seolah-olah mereka cuba memasukkan unsur 'ketat' dari fesyen kebaya ke dalam fesyen Jubah.
Selain daripada itu, Jubah juga tidak sesuai diperbuat daripada fabrik yang terlalu lembut kerana ia akan melekat di badan. Diburukkan lagi dengan rekaan Jubah yang sendat di bahagian dada, maka akan kelihatanlah bentuk buah dada yang ketara dari luar Jubah. Sekiranya rekaan sesebuah Jubah Muslimah itu direka mengikut lenggok bahagian pinggang, maka di bahagian punggung juga turut akan menjadi sendat.Fabrik Jubah yang terlalu lembutberwarna plain akan menyebabkan bentuk seluar dalam kelihatan dari luar Jubah apabila wanita Islam itu duduk, berdiri dan berjalan. Istighfar !
Jubah yang direstui dan diberikan pahala di dalam Islam adalah Jubah Muslimah yang dipakai kerana kesungguhan mahu memelihara Auratbukannya kerana keseronokan mengikut perkembangan fesyen. Jubah Muslimah yang sebenar mestilah longgar dan lapang. Maka, rekaan Jubah Muslimah tidak boleh ditempah sendat dan mengikut alur bentuk tubuh wanita.