Aug 6, 2016

Suatu kisah di sebalik surah Al-Hasyr ayat 16 dan 17

Suatu kisah Lampau di sebalik surah Al-Hasyr ayat 16-17

كَمَثَلِ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ قَرِيبًا ذَاقُوا وَبَالَ أَمْرِهِمْ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ (15) كَمَثَلِ الشَّيْطَانِ إِذْ قَالَ لِلْإِنْسَانِ اكْفُرْ فَلَمَّا كَفَرَ قَالَ إِنِّي بَرِيءٌ مِنْكَ إِنِّي أَخَافُ اللَّهَ رَبَّ الْعَالَمِينَ (16)

“(Pujukan orang-orang munafik itu adalah) seperti (Pujukan) syaitan ketika dia berkata kepada manusia: "Kafirlah kamu", maka tatkala manusia itu telah kafir, maka ia berkata: "Sesungguhnya aku berlepas diri dari kamu, kerana sesungguhnya aku takut kepada Allah, Rabb semesta Alam. Maka adalah kesudahan keduanya, bahawa sesungguhnya keduanya (masuk) ke dalam neraka, mereka kekal di dalamnya. Demikianlah balasan orang-orang yang zalim."

Suatu ketika dahulu di kalnagan Bani Israil terdapat seorang ahli ibadah yang wara’ bernama Birshish. Allah telah menganugerahkan Birshish dengan doa-doa yang dikabulkan oleh Allah sehingga ramai penduduk Bani Israil dtang menemuinya dengan membawa orang-orang yang sakit untuk di doakan Birshish agar sembuh. Dengan izin Allah doa-doa  terhadap orang-orang yang sakit itu dimakbulkan Allah. Ketika mana Birshish semakin kuat beriabadah kepada Allah, maka syaitan telah memanggil bala tenteranya dan bertanya siapakah di antara mereka yang boleh dan mampu menggoda Birshish atas alasan bahawa Birshish telah menyusahkan mereka. Maka bangunlah jin ifrit dengan sombongnya dan memberitahu syaitan bahawa dia mampu untuk melakukannya. Maka dengan perinta syaitan, pergilah ifrit dengan tujuannya untuk menyesatkan dan menggoda Birshish. Ketika melakukan usaha itu, ifrit telah pergi ke istana raja Bani Israil yang mempunyai seorang puteri. Ketika mana Raja, Permaisuri dan Puteri sedang duduk bersama, maka ifritpun mengganggu puteri raja sehingga hilang ingatan dan gila. Maka binggunglah raja dan permaisurinya dengan mencari jalan dan berusaha untuk menyembuhkan puteri mereka.

Setelah beberapa lama puteri menjadi gila, maka datanglah ifrit semula ke istana untuk menemui raja Bani Israil dengan menyerupai seorang lelaki. Ifrit yang menyerupai lelaki itu memberitahu bahawa terdapat seorang rahib yang mampu mengubati puterinya dan mencadangkan agar raja membawa puterinya agar menemui lelaki itu untuk didoakan. Maka tanpa berlengah, raja dan permaisuri membawa puteri mereka menemui Birshish. Setelah didoakan Birshish, maka puteri itu telah sembuh dan dibawa balik ke istana.

Setelah berada di istana, tidak berapa lama kemudian datanglah syaitan menemui raja. Syaitan memberitahu raja bahawa puterinya itu belum sembuh sepenuhnya. Jika raja menginginkan puterinya sembuh sepenuhnya, maka puteri itu hendaklah dibawa semula menemui Birshish  dan hendaklah ditinggalkan bersama-sama . Maka raja pun membawa semula anaknya menemui Birshish. Birshish keberatan   menerima puteri raja untuk tinggal bersamanya. Namun Birshish dipaksa oleh raja. Maka tinggallah puteri bersama Birshish.

Setiap hari Birshish berpuasa pada siangnya dan beribadah pada setiap malam sehingga langsung tidak menghiraukan puteri raja yang tinggal bersama-samanya. Suatu waktu ketika Birshish sedang duduk hendak makan, maka datanglah syaitan untuk mempermainkannya. Kemudian syaitan membuka aurat puteri raja itu di hadapan Birshish. Namun Birshish memalingkan wajahnya. Setiap kali syaitan datang mengganggunya setiap kali itu jugalah Birshish memalingkan wajahnya dari melihat aurat puteri raja. Maka disebabkan perkara itu sering berlaku terhadap Birshish, maka suatu ketika  tergoda dengan pujukan syaitan sehingga dia dapat melihat wajah puteri raja yang kecantikannya tiada tolok bandingnya, sehingga Birshish tidak mampu menahannya. Maka bersedudukanlah mereka sehingga puteri raja itu mengandung. Ketika Birshish mengetahui bahawa puteri raja itu mengandung, Birshish kebingungan. Dalam kebingungan Birshish itu, maka muncullah syaitan menemui Birshish memberitahu bahawa jika raja mengetahui perbuatannya itu, maka Birshish akan menerima hukuman bunuh daripada raja. Birshish ketakutan. Namun syaitan yang mempunyai pelbagai helah memberitahu dan mencadangkan agar Birshish membunuh puerti raja itu dan kemudian mayatnya di kuburkan di kawasan biara tempat Birshish beribadat. Jika raja bertanya kepadanya tentang puteri, maka syaitan menyuruh Birshish memberitahu raja bahawa puterinya telah mati dan telah dikebumikan. Setelah beberapa lama , maka datanglah raja untuk menemui puterinya. Birshish memberitahu bahawa puterinya telah mati dan dikebumikan di biara. Raja percaya akan kata-kata Birshish dan kembali ke istana.

Dalam satu riwayat lain menyebut bahawa puteri raja itu telah sembuh sepenuhnya dan telah kembali ke istana. Ketika raja ingin menemui puterinya di rumah Birshish, Birshish memberitahu bahawa puterinya telah pulang bersendirian. Maka raja kembali ke istana, namun puterinya masih belum tiba. Raja bertanya kaum kerabatnya tentang puterinya itu. Namun tidak seorangpun mengetahuinya.

Syaitan datang menemui raja dengan menyerupai seorang lelaki dan memberitahu apa raja apa yang telah dilakukan oleh Birshish terhadap puterinya. Maka marahlah raja dan memerintahkan agar Birshish ditangkap untuk dijatuhkan hukuman. Ketika Birshish diikat untuk dijatuhkan hukuman, muncul syaitan di hadapannya dan memberitahu Birshish bahawa tidak ada sesiapa yang boleh meyelamatkannya kecuali dia. Syaitan menyuruh Birshish mengaku kepada raja bahawa bukan dia yang membunuh puteri raja. Syaitan memberitahu Birshish bahawa dengan kata-kata itu, raja pasti akan percaya. Namun syaitan meletakkan syarat kepada Birshish jika mahu terlepas dari hukuman yang dijatukan kepadanya. Adapun syarat itu Birshish hendaklah sujud kepadanya. Namun Birshish memberikan alasan bahawa bagaimana dia hendak sujud dalam keadaan terikat. Syaitan meminta Birshish sekadar cukup menundukkan kepalanya sebagai isyarat sujud kepadanya. Maka Birshish melakukannya dengan percaya bahawa dia akan terlepas dari hukuman yang dijatuhkan. Setelah Birshish menundukkan sedikit kepalanya sebagai isyarat sujud, maka syaitan mengatakan “AKU LEPAS TANGAN DARIPADAMU.”

Hikmah :

Abu Laits As-Samarqandy berkata :
“Ketahuilah bahawa kamu mempunyai empat musuh dan masing-masing mempunyai perjuangan sendiri :
1. DUNIA : ia merayu dan menipu sehingga kamu tertipu dengan dunia
2. HAWA NAFSU : musuh yang sangat dan sangat bahaya
3. SYAITAN : yang tidak kelihatan pada mata kasar
4. SYAITAN MANUSIA : maka berhati-hatilah dari syaitan manusia kerana ia lebih jahat daripada syaitan dan jin. Syaitan hanya membisikkan kejahatan sedangkan syaitan manusia dengan kata-kata, harta, paksaan dan sering berusaha untuk memsongkan kamu dari ketaatan dan kebaikan yang kamu lakukan.