الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء و المرسلين، وعلى آله وصحبه أجمعين
أهلا وسهلا بكم
إذا كانت هذه زيارتك الأولى للمنتدى، فيرجى التفضل بزيارة صفحة التعليمات كما يشرفنا أن تقوم بالتسجيل ، إذا رغبت بالمشاركة في المنتدى، أما إذا رغبت بقراءة المواضيع والإطلاع فتفضل بزيارة القسم الذي ترغب أدناه.
عن أبي سعيد الخدري رضي الله عنه - قال: سمعت رسول الله ﷺ يقول: "إن إبليس قال لربه: بعزتك وجلالك لا أبرح أغوي بني آدم مادامت الأرواح فيهم - فقال الله: فبعزتي وجلالي لا أبرح أغفر لهم ما استغفروني"
اللّهم طهّر لساني من الكذب ، وقلبي من النفاق ، وعملي من الرياء ، وبصري من الخيانة ,, فإنّك تعلم خائنة الأعين ,, وما تخفي الصدور
اللهم استَخدِمني ولاَ تستَبدِلني، وانفَع بيِ، واجعَل عَملي خَالصاً لِوجهك الكَريم ... يا الله
اللهــم اجعل عملي على تمبـلر صالحاً,, واجعله لوجهك خالصاً,, ولا تجعل لأحد فيه شيئاً ,, وتقبل مني واجعله نورا لي في قبري,, وحسن خاتمة لي عند مماتي ,, ونجاةً من النار ومغفرةً من كل ذنب
يارب يارب يارب
KEMASKINI
_
سواتو سيراه..سواتو ڤدومن...سواتو ڤڬاڠن
Allah swt telah memerintahkan seorang Malaikat berjumpa Iblis supaya dia
berjumpa dengan Rasulullah saw untuk memberitahu segala rahsianya;
samada yang disukai mahupun yang dibencinya. Hikmatnya ialah untuk
meninggikan darjat Nabi Muhammad saw dan juga sebagai peringatan dan
perisai kepada umat manusia. Maka Malaikat itu pun berjumpa Iblis dan
berkata, "Hai Iblis! Bahawa Allah Yang Maha Mulia dan Maha Besar
menyuruh engkau menghadap ke hadrat Rasullullah saw. Hendaklah engkau
buka segala rahsia engkau dan apa-apa yang disoal oleh Rasulullah
hendaklah engkau jawab dengan sebenar-benarnya. Jikalau engkau berdusta
walau satu perkataan pun, nescaya akan diputuskan segala suku-suku
anggota badanmu, uratmu serta disiksa dengan azab yang amat keras.
Demi mendengar sahaja kata Malaikat yang dahsyat itu, Iblis sangat
ketakutan. Maka segeralah dia menghadap Rasulullah saw dengan menyamar
sebagai seorang tua yang buta sebelah matanya dan berjanggut putih 10
helai; panjangnya seperti ekor lembu. Iblis pun memberi salam, sehingga 3
kali tidak juga dijawab oleh Rasulullah saw. Maka sembah Iblis(alaihi
laknat),"Ya Rasulullah! Mengapa tuan hamba tidak mejawab salam hamba?
Bukankah salam itu sangat mulia di sisi Allah?" Maka jawab Nabi dengah
marah "Hai Aduwullah seteru Allah! Kepada aku engkau menunjuk baikmu?
Jangan engkau cuba hendak tipu aku sebagimana engkau tipu Nabi Adam a.s
sehingga keluar dari syurga, Habil mati teraniaya dibunuh Qabil dengan
sebab hasutan engkau, Nabi Ayub engkau tiup dengan asap racun ketika dia
sedang sujud sembahyang hingga dia sengsara beberapa lama, kisah Nabi
Daud dengan perempuan Urya, Nabi Sulaiman meninggalkan kerajaannya
kerana engkau menyamar sebagai isterinya dan begitu juga beberapa Anbiya
dan pendita yang telah menanggung sengsara akibat hasutan engkau. Hai
Iblis! Sebenarnya salam itu sangat mulia di sisi Allah azza wajalla,
cuma salam engkau saja aku tidak hendak menjawabnya kerana diharamkan
Allah. Maka aku kenal baik-baik engkaulah Iblis, raja segala iblis,
syaitan dan jin yang menyamar diri. Apa kehendak engkau datang berjumpa
aku?" Sembah Iblis,"Ya Nabi Allah! Janganlah tuan hamba marah. Kerana
tuan adalah Khatamul Anbiya maka tuan dapat kenal akan hamba. Kedatangan
hamba adalah disuruh Allah untuk memberitahu segala tipu daya hamba
terhadap umat tuan dari zaman Nabi Adam hingga akhir zaman. Ya Nabi
Allah! Setiap apa yang tuan tanya hamba sedia menerangkan satu persatu
dengan sebenarnya, tiadalah hamba berani sembunyikan." Maka Iblis pun
bersumpah menyebut nama Allah dan berkata "Ya Rasulullah! Sekiranya
hamba berdusta barang sepatah pun nescaya hancur leburlah badan hamba
menjadi abu"
Apabila mendengar sumpah Iblis itu, Nabi pun tersenyum dan berkata dalam
hatinya, inilah satu peluang aku untuk menyiasat segala perbuatannya
agar didengar oleh sekelian sahabat yang ada di majlis ini dan menjadi
perisai kepada sekelian umatku.
Soalan Nabi (1) –
"Hai Iblis! Siapakah sebesar-besar musuh engkau dan bagaimana aku
terhadap engkau?"
Jawab Iblis - "Ya Nabi Allah! Tuanlah musuh hamba yang paling besar di
antara segala musuh hamba di muka bumi ini" Maka Nabi pun memandang muka
Iblis,dan Iblis pun mengeletar kerana ketakutan. Sambung Iblis,"Ya
Khatamul Anbiya! Adapun hamba dapat merupakan diri hamba seperti
sekelian manusia, binatang dan lain-lain hingga rupa dan suara pun tidak
salah sepertinya, kecuali diri tuan sahaja yang tidak dapat hamba tiru
kerana ditegah oleh Allah. Kiranya hamba menyerupai diri tuan, maka
terbakarlah diri hamba menjadi abu. Hamba cabutkan iktikad anak Adam
supaya menjadi kafir kerana tuan berusaha memberi nasihat dan pengajaran
supaya mereka kuat untuk memeluk agama Islam; begitu jugalah hamba
berusaha menarik mereka kepada kafir, murtad atau munafik. Hamba akan
tarik sekelian umat Islam dari jalan benar kepada jalan yang salah
supaya masuk ke dalam neraka dan kekal di dalamnya bersama hamba"
Soalan Nabi ke 2 –
"Hai Iblis! Betapa perbuatanmu kepada makhluk Allah"
Jawab Iblis - "Adalah satu kemajuan bagi perempuan yang merenggangkan
kedua pehanya kepada lelaki yang bukan suaminya, setengahnya hingga
mengeluarkan benih yang salah sifatnya. Hamba goda segala manusia supaya
meninggalkan sembahyang, leka dengan makan minum, berbuat durhaka,
hamba lalaikan dengan harta benda drp emas, perak dan permata, rumahnya,
tanahnya, ladangnya supaya hasilnya dibelanjakan kejalan haram.
Demikian juga ketika temasya yang bercampur lelaki perempuan. Di situ
hamba lepaskan sebesar-besar godaan supaya hilang maruah dan minum arak.
Apabila terminum arak itu maka hilanglah akal, fikiran dan malunya.
Lalu hamba hulurkan tali cinta dan terbukalah beberapa pintu maksiat
yang besar, datang perasaan hasad dengki hingga kepada pekerjaan zina.
Apabila terjadi kasih antara mereka, terpaksalah mereka mencari wang
hingga menjadi penipu, peminjam dan pencuri. Apabila mereka teringat
akan salah mereka lalu hendak bertaubat atau amal ibadat, hamba akan
galang mereka supaya mereka menangguhkannya. Bertambah keras hamba goda
supaya menambahkan maksiat dan mengambil isteri orang. Bila kena goda
hatinya, datang lah rasa riak, takbur, megah, sombong dan melengahkan
amalnya. Bila pada lidahnya, mereka akan gemar berdusta, mencela dan
mengumpat. Demikianlah hamba goda mereka setiap saat."
Soalan Nabi ke 3 –
"Hai Iblis! Mengapa engkau bersusah payah dan berpenat melakukan
pekerjaan yang tidak mendatangkan faedah bahkan menambahkan laknat yang
besar serta siksa yang besar di neraka yang paling bawah? Hai kutuk
Allah! Siapa yang menjadikan engkau? Siapa yang melanjutkan usia engkau?
Siapa yang menerangkan mata engkau? Siapa yang memberi pendengaran
engkau? Siapa yang memberi kekuatan anggota badan engkau?"
Jawab Iblis - "Sekelian itu adalah anugerah drp Tuhan Yang Maha Besar
juga. Tetapi hawa nafsu dan takbur menceburkan hamba menjadi
sebesar-besar jahat. Tuan lebih tahu bahawa hamba telah beribu-ribu
tahun menjadi ketua kepada sekelian Malaikat dan pangkat hamba telah
dinaikkan dari satu langit ke satu langit yg tinggi. Kemudian hamba
tinggal di dunia ini beribadat bersama sekelian Malaikat beberapa lama.
Tiba-tiba datang firman Allah SWT hendak menjadikan seorang Khalifah di
dunia ini, maka hamba pun membantah. Lalu Allah mencipta lelaki (Nabi
Adam) lalu dititahkan sekelian Malaikat memberi hormat kepada lelaki
itu, kecuali hamba yang ingkar. Oleh itu Allah murka kepada hamba dan
muka hamba yang cantik molek dan bercahaya itu bertukar menjadi keji dan
hodoh. Hamba berasa sakit hati. Kemudian Allah menjadikan Adam raja di
syurga dan dikurniakan seorang permaisuri (Siti Hawa) yang memerintah
sekelian bidadari. Hamba bertambah dengki dan berdendam kepada mereka.
Akhirnya dapat juga hamba tipu melalui Siti Hawa yang menyuruh Adam
memakan buah Khuldi, lalu keduanya dihalau dari syurga ke dunia. Kedua
mereka berpisah beberapa tahun dan kemudian dipertemukan Allah (di
Padang Arafah), hingga mereka mendapat beberapa orang anak. Kemudian
kami hasut anak lelakinya Qabil supaya membunuh saudaranya Habil. Itu
pun hamba masih tidak puas hati dan berbagai tipu daya hamba lakukan
hingga Hari Kiamat. Sebelum tuan lahir ke dunia, hamba serta bala
tentera hamba dengan mudah dapat naik ke langit untuk mencuri segala
rahsia serta tulisan yg menyuruh manusia berbuat ibadat serta balasan
pahala dan syurga mereka. Kemudian hamba turun ke dunia, dan memberitahu
manusia yang lain daripada apa yang sebenarnya hamba dapat, dgn
berbagai tipu daya hingga tersesat dengan berbagai kitab bidaah dan
karut-marut. Tetapi apabila tuan lahir sahaja ke dunia ini, maka hamba
tidak dibenarkan oleh Allah untuk naik ke langit serta mencuri rahsia,
kerana banyak Malaikat yang menjaga di setiap lapisan pintu langit. Jika
hamba berkeras juga hendak naik, maka Malaikat akan melontar dengan
anak panah drp api yang menyala. Sudah banyak bala tentera hamba yang
terkena lontaran Malaikat itu dan semuanya terbakar menjadi abu. Maka
besarlah kesusahan hamba dan tentera hamba untuk menjalankan tugas
hasutan."
Soalan Nabi ke 4 –
"Hai Iblis! Apakah yang pertama engkau tipu akan manusia?"
Jawab Iblis - "Pertama sekali hamba palingkan iktikadnya, imannya kepada
kafir sama ada dari segi perbuatan, perkataan, kelakuan atau hatinya.
Jika tidak berjaya juga, hamba akan tarik dengan cara mengurangkan
pahala. Lama-kelamaan mereka akan terjerumus mengikut kemahuan jalan
hamba"
Soalan Nabi ke 5 –
"Hai Iblis! Jika umatku sembahyang kerana Allah, bagaimana hal engkau?"
Jawab Iblis - "Sebesar-besar kesusahan kepada hamba. Gementarlah badan
hamba dan lemah tulang sendi hamba. Maka hamba kerahkan berpuluh-puluh
iblis datang menggoda seorang manusia, pada setiap anggota badannya.
Setengah-setengahnya datang pada setiap anggota badannya supaya malas
sembahyang, was-was, terlupa bilangan rakaatnya, bimbang pada pekerjaan
dunia yang ditinggalkannya, sentiasa hendak cepat habis solat, hilangkan
khusyuknya matanya sentiasa menjeling ke kiri kanan, telinganya
sentiasa mendengar orang brcakap serta bunyi-bunyi yang lain. Setengah
Iblis duduk di belakang badan orang yang sembahyang itu supaya dia tidak
kuasa sujud lama-lama, penat atau duduk tahiyat dan dalam hatinya
sentiasa hendak cepat habis sembahyang, itu semua membawa kepada kurang
pahala. Jika para Iblis itu tidak dapat menggoda manusia itu, maka hamba
sendiri akan menghukum mereka dengan seberat-berat hukuman"
Soalan Nabi ke 6 –
"Jika umatku membaca Al-Quran kerana Allah, apalah rasa engkau?"
Jawab Iblis - "Jika mereka membaca Al-Quran kerana Allah, maka rasa
terbakarlah tubuh hamba, putus-putus segala urat hamba lalu hamba lari
daripadanya."
Soalan Nabi ke 7 –
"Jika umatku mengerjakan haji kerana Allah, bagaimana rasa engkau?"
Jawab Iblis - "Binasalah diri hamba, gugurlah daging dan tulang hamba
kerana mereka telah mencukupkan rukun Islamnya"
Soalan Nabi ke 8 –
"Jika umatku berpuasa kerana Allah, bagaimana hal engkau?"
Jawab Iblis - "Ya Rasulullah! Inilah bencana yang paling besar bahayanya
kepada hamba. Apabila masuk awal bulan Ramadhan, maka memancarlah
cahaya Arasy dan Kursi, bahkan sekelian Malaikat menyambut dengan
kesukaan. Bagi orang yang berpuasa, Allah akan mengampunkan segala dosa
yang lalu dan digantikan dengan pahala yang amat besar serta tidak
dicatatkan dosanya selama dia berpuasa. Yang menghancurkan hati hamba
ialah segala isi langit dan bumi; yakni Malaikat, bulan, bintang, burung
dan ikan-ikan semuanya siang malam mendoakan keampunan orang yang
berpuasa. Satu lagi kemuliaan orang berpuasa ialah dimerdekakan pada
setiap masa dari azab neraka. Bahkan semua pintu neraka ditutup manakala
semua pintu syurga dibuka seluas-luasnya, serta dihembuskan angin dari
bawah Arasy yang bernama Angin Syirah yang amat lembut ke dalam syurga.
Pada hari umat tuan mula berpuasa, dengan perintah Allah datanglah
sekelian Malaikat dengan garangnya menangkap hamba dan tentera hamba;
jin, syaitan dan ifrit lalu dipasung kaki dan tangan dengan besi panas
dan dirantai serta dimasukkan ke bawah bumi yang amat dalam. Di sana
pula beberapa azab yang lain telah menunggu kami. Setelah habis umat
tuan berpuasa barulah hamba dilepaskan dengan amaran agar tidak
mengganggu umat tuan. Umat tuan sendiri telah merasa ketenangan berpuasa
seperti mana mereka bekerja dan bersahur seorang diri di tengah malam
tanpa rasa takut berbanding bulan biasa."
Soalan Nabi ke 9 –
"Hai Iblis! Bagaimana sekelian sahabatku kepada engkau?"
Jawab Iblis - "Sekelian sahabat tuan hamba juga adalah sebesar-besar
seteru hamba. Tiada upaya hamba melawannya dan tiada satu tipu daya yang
dapat masuk kepada mereka. Kerana tuan sendiri telah berkata yang
"Sekelian sahabatku adalah seperti bintang di langit, jika kamu mengikut
mereka, maka kamu akan mendapat petunjuk." Saidina Abu Bakar al-Siddiq
sebelum bersama tuan lagi, hamba tidak dapat hampir kepadanya inikan
pula setelah berdamping dengan tuan. Beliau begitu percaya atas
kebenaran tuan hingga dia menjadi wazirul a'zam. Bahkan tuan sendiri
telah mengatakan jika ditimbang sekelian isi dunia ini dengan amal
kebajikan Abu Bakar, maka akan lebih berat amal kebajikan Abu Bakar.
Tambahan pula dia telah menjadi mertua tuan kerana tuan berkahwin dengan
anaknya, Saiyidatina Aisyah yang juga banyak menghafaz Hadis tuan.
Saidina Umar Al-Khattab pula tidaklah berani hamba pandang akan wajahnya
kerana dia sangat keras menjalankan hukum syariat Islam dengan saksama.
Jika hamba pandang wajahnya, maka gementarlah segala tulang sendi hamba
kerana sangat takut. Ini kerana imannya sangat kuat apatah lagi tuan
telah mengatakan, "Jikalau adanya Nabi sesudah aku maka Umar boleh
menggantikan aku" kerana dia adalah orang harapan tuan serta pandai
membezakan antara kafir dan Islam hingga digelar 'Al-Faruq'.
Saidina Usman Al-Affan lagi hamba tidak boleh hampir, kerana lidahnya
sentiasa bergerak membaca Al-Quran. Dia penghulu orang sabar, penghulu
orang mati syahid dan menjadi menantu tuan sebanyak dua kali. Kerana
taatnya, banyak Malaikat datang melawat dan memberi hormat kepadanya
kerana Malaikat itu sangat malu kepadanya hingga tuan mengatakan,"Barang
siapa menulis Bismillahir rahmanir rahim pada kitab atau kertas-kertas
dengan dakwat merah, nescaya mendapat pahala seperti pahala Usman mati
syahid"
Saidina Ali Abi Talib pun itu hamba sangat takut kerana hebatnya dan
gagahnya dia di medan perang, tetapi sangat bersopan, alim orangnya.
Jika iblis, syaitan dan jin memandang beliau, maka terbakarlah kedua
mata mereka kerana dia sangat kuat beribadat serta beliau adalah budak
pertama memeluk agama Islam dan tidak pernah menundukkan kepalanya
kepada sebarang berhala. Digelar 'Ali Karamullahu Wajhahu' dimuliakan
Allah akan wajahnya dan juga 'Harimau Allah' dan tuan sendiri berkata
"Akulah negeri segala ilmu dan Ali itu pintunya". Tambahan pula dia
menjadi menantu kepada tuan, lagilah hamba ngeri kepadanya.
Soalan Nabi ke 10 –
"Bagaimana tipudaya engkau kepada umatku?"
Jawab Iblis - "Umat tuan itu ada tiga macam.
Yang pertama seperti bersambung hujan dari langit yang menghidupkan
segala tumbuhan iaitu ulama yang memberi nasihat kepada manusia supaya
mengerjakan perintah Allah serta meninggalkan laranganNya seperti kata
Jibrail a.s "Ulama itu adalah pelita dunia dan pelita akhirat"
Yang kedua umat tuan seperti tanah iaitu orang yang sabar, syukur dan
redha dengan kurniaan Allah. Berbuat amal soleh, tawakal dan kebajikan.
Yang ketiga umat tuan seperti Firaun; terlampau tamak dengan harta dunia
serta dihilangkan amal akhirat. Maka hamba pun sukacita lalu masuk
kedalam badannya, hamba putarkan hatinya ke lautan derhaka dan hamba
hela ke mana sahaja mengikut kehendak hamba. Jadi dia sentiasa bimbang
kepada dunia dan tidak hendak menuntut ilmu, tiada masa beramal ibadat,
tidak hendak mengeluarkan zakat, miskin hendak beribadat. Lalu hamba
godanya minta kaya dulu, dan apabila diizinkan Allah dia menjadi kaya,
maka dilupakan beramal, tidak berzakat seperti Qarun yang tenggelam
dengan istana mahligainya. Bila umat tuan terkena penyakit tidak sabar
dan tamak, dia sentiasa bimbang akan hartanya dan setengahnya asyik
hendak merebut dunia harta, cakap besar sesama Islam, benci dan menghina
kepada yang miskin, membelanjakan hartanya untuk jalan maksiat, tempat
perjudian dan perempuan pelacur"
Soalan Nabi ke 11 -
"Siapa yang serupa dengan engkau?"
Jawab Iblis - "Orang yang meringankan syariat tuan hamba dan membenci
orang belajar agama Islam"
Soalan Nabi ke 12 -
"Siapa yang mencahayakan muka engkau?"
Jawab Iblis - "Orang yang berdosa, bersumpah bohong, saksi palsu,
pemungkir janji"
Soalan Nabi ke 13 -
"Apakah rahsia engkau kepada umatku?"
Jawab Iblis - Jika seorang Islam pergi buang air besar serta tidak
membaca doa pelindung syaitan, maka hamba gosok-gosokkan najisnya
sendiri ke badannya tanpa dia sedari"
Soalan Nabi ke 14 –
"Jika umatku bersatu dengan isterinya, bagaimana hal
engkau?"
Jawab Iblis - "Jika umat tuan hendak bersetubuh dengan isterinya serta
membaca doa pelindung syaitan, maka larilah hamba dari mereka. Jika
tidak hamba akan bersetubuh dahulu dengan isterinya, dan bercampurlah
benih hamba dengan benih isterinya. Jika menjadi anak maka anak itu akan
gemar kepada pekerjaan maksiat, malas pada kebaikan, durhaka. Ini semua
kerana kealpaan ibu bapanya sendiri. Begitu juga jika mereka makan
tanpa Bismillah, hamba yang dahulu makan daripadanya. Walaupun mereka
makan, tiadalah rasa kenyang."
Soalan Nabi ke 15 –
"Dengan jalan apa boleh menolak tipu daya engkau?"
Jawab Iblis - "Jika dia berbuat dosa, maka dia kembali bertaubat kepada
Allah, menangis kesal akan perbuatannya. Apabila marah segeralah
mengambil air sembahyang, maka padamlah marahnya."
Soalan Nabi ke 16 -
"Siapakah orang yang paling engkau lebih suka?"
Jawab Iblis - "Lelaki dan perempuan yang tidak mencukur atau mencabut
bulu ketiak atau bulu ari-ari (bulu kemaluan) selama 40 hari. Di situ
lah hamba mengecilkan diri, bersarang, bergantung, berbuai seperti pijat
pada bulu itu"
Soalan Nabi ke 17 -
"Hai Iblis! Siapakah saudara engkau?"
Jawab Iblis - "Orang yang tidur meniarap, orang yang matanya celik di
waktu subuh tetapi menyambung tidur semula. Lalu hamba ulit dia lena
hingga terbit fajar. Demikian jua pada waktu zohor, asar, maghrib dan
isyak, hamba beratkan hatinya untuk solat"
Soalan Nabi ke 18 -
"Apakah jalan yang membinasakan diri engkau?"
Jawab Iblis - "Orang yang banyak menyebut nama Allah, bersedekah dengan
tidak diketahui orang, banyak bertaubat, banyak tadarus Al-Quran dan
solat tengah malam"
Soalan Nabi ke 19 -
"Hai Iblis! Apakah yang memecahkan mata engkau?"
Jawab Iblis - "Orang yang duduk di dalam masjid serta beriktikaf di
dalamnya"
Soalan Nabi ke 20 -
"Apa lagi yang memecahkan mata engkau?"
Jawab Iblis - "Orang yang taat kepada kedua ibubapanya, mendengar kata
mereka, membantu makan-pakai mereka selama mereka hidup, kerana tuan
telah bersabda, 'Syurga itu di bawah tapak kaki ibu' "
Soalan Nabi ke 21 -
"Hai Iblis! Apakah yang merantai engkau?"
Jawab Iblis - "Orang yang berjual beli dengan betul timbangan, sukatan,
ukuran dan tukarannya"
Soalan Nabi ke 22 -
"Hai Iblis! Apabila umatku memberi salam antara satu sama lain, betapa
hal engkau?"
Jawab Iblis - "Apabila bertemu dua Islam di tengah perjalanan memberi
salam serta dijawab oleh yang lain, maka rasa pecah dada hamba dan hamba
pun meratap kerana keduanya mendapat ampun sehingga keduanya berpisah"
Soalan Nabi ke 23 -
"Hai Iblis! Siapa pula yang hampir kepada engkau?"
Jawab Iblis - "Orang yang meminum arak, tuak, penghisap candu, ganja
kerana bahaya zahirnya membawa kepada pecah-belah, perkelahian,
penceraian dan pembunuhan"
Soalan Nabi ke 24 –
"Siapa pula yang sekutu dan sekedudukan dengan engkau?"
Jawab Iblis - "Apabila bertemu lelaki dengan perempuan-perempuan muda,
hamba akan duduk pada leher perempuan itu, hamba hiaskan mukanya dengan
jeling dan senyum yang menarik. Apabila dipandang dari belakang nampak
lehernya yang halus, pinggang dan punggung yang bergerak-gerak yang mana
membangkitkan nafsu. Dari hadapan pula hamba hiaskan dadanya dengan
buah dada yang melekap. Lalu hamba panah pada jantung hati salah seorang
atau keduanya hingga bergerak nafsu syahwatnya. Orang yang tidak
memelihara hatinya tidaklah terpelihara farajnya atau kemaluannya. Oleh
itu tidaklah terpelihara imannya."
Soalan Nabi ke 25 –
"Hai Iblis! Di mana engkau diam?"
Jawab Iblis - "Pada rumah berhala dan pada mana-mana batu, kayu, tembaga
dan sebagainya. Apabila mereka menyembah, hamba cenderungkan hatinya
supaya bertambah yakin pada kerja syiriknya itu. Sudah banyak umat tuan
yang telah hamba pesongkan masuk ke rumah berhala Majusi dan Hindu
walaupun sekadar melawat, menunjukkan sangat tipis imannya"
Soalan Nabi ke 26 -
"Hai Iblis! Di mana tempat perhimpunan engkau?"
Jawab Iblis - "Setiap rumah wayang, tempat joget dan seumpamanya yang
bercampur pemuda dan pemudi"
Soalan Nabi ke 27 –
"Hai Iblis! Aku lihat engkau mengintai di dalam masjid. Apa yg engkau
hendak buat?"
Jawab Iblis - "Hamba hendak mengacau dan merosakkan sembahyang orang di
situ, tetapi hamba takutkan seorang yang tidur di situ" Nabi bertanya,
"Mengapa engkau tidak takut kepada orang yang sembahyang itu, padahal
dia bermunajat kepada Allah. Kenapa pula engkau takut pada orang yang
tidur itu padahal dia lalai dan tidak memandang satu apa pun?" Jawab
Iblis, "Orang yg sembahyang itu jahil dan amat mudah hamba goda, tetapi
orang yang tidur itu alim. Jika hamba goda juga, hamba takut orang yang
tidur itu bangun lalu menegur dan membetulkan sembahyang si jahil itu"
Soalan Nabi ke 28 -
"Hai Iblis! Apakah puji-pujian engkau?"
Jawab Iblis - "Orang yang menyanyi, berpantun, berpantun-seloka dan
sebagainya kecuali orang yang bernazam, berlagu-lagu, bernasyid memuji
Allah serta selawatkan Nabi"
Soalan Nabi ke 29 -
"Hai Iblis! Siapa yang sekaum dengan engkau?"
Jawab Iblis - "Orang yang menipu harta orang, memakan harta anak yatim
dan memakan riba' "
Soalan Nabi ke 30 -
"Hai Iblis! Engkau gelapkan hati manusia kerana apa?"
Jawab Iblis - "Sebab mereka makan minum pencarian haram kerana mereka
sudah gelap mata untuk mencari rezeki yang halal. Juga mereka yang tidur
meninggi hari hingga tertinggal sembahyang subuh serta memenuhkan perut
sekenyang-kenyangnya"
Soalan Nabi ke 31 -
"Hai Iblis! Siapa yang menyukakan hati engkau?"
Jawab Iblis - "Orang kaya yang bakhil; tidak mengeluarkan zakat pada
hamba Allah yang daif. Zakatnya dihantar pada orang lain, padahal
kaumnya miskin. Bahawasanya orang bakhil itu seteru Allah dan yang tak
berzakat itu akan masuk ke dalam neraka bersama hamba"
Soalan Nabi ke 32 -
"Hai Iblis! Siapa yang menyuburkan badan engkau?"
Jawab Iblis - "Orang yang hasad dengki, orang yang tak belajar peraturan
agama Islam dan semua perempuan jahat, perempuan yang mencabul dirinya
sendiri dan menjual maruah"
Soalan Nabi ke 33 -
"Hai Iblis! Jika mati seorang ulama, bagaimana hal engkau?"
Jawab Iblis - "Bertambah subur dan bertunaslah kerja hasutan hamba, Maka
kata Nabi, "Sesiapa berdukacita atas kematian seorang ulama, maka
dituliskan Allah pahala baginya seperti seribu alim dan seribu syahid."
Tambah Nabi, Akan datang umatku akan lari daripada ulama. Setiap orang
yang bencikan orang yang mengajar agama itu akan diturunkan oleh Allah
dengan 3 bala:
1) Diangkatkan berkat daripada pencariannya.
2) Allah akan mendatangkan raja atau ketua yang zalim.
3) Mereka dikeluarkan daripada dunia dengan tidak beriman.
Soalan Nabi ke 34 -
"Hai Iblis! Jika umatku sembahyang berjemaah, bagaimana hal engkau?"
Jawab Iblis - "Sesungguhnya mereka telah menghuraikan simpulan tipudaya
hamba"
Soalan Nabi ke 35 -
"Hai Iblis! Jika umatku membaca selawat keatas ku, betapa hal engkau?"
Jawab Iblis - "Mereka telah membelah muka hamba kerana sangat ingat akan
tuan."
Soalan Nabi ke 36 –
"Jika umatku sembahyang Hari Raya, betapa hal engkau? Kerana Allah Maha
Besar telah berfirman demikian: "Hai sekelian Malaikat! Saksikan oleh
kamu bahawa sesungguhnya Aku telah ampunkan sekelian dosa Nabi Muhammad;
lelaki dan perempuan" Apabila telah selesai sembahyang dan kuthbah
pula, firman Allah : "Hai umat Muhammad! Pulanglah kamu ke rumah
masing-masing. Sesungguhnya Aku telah ampunkan dosa kamu yang terdahulu
dan Aku gantikan dosa kamu dengan kebajikan."
Jawab Iblis - "Ya Rasulullah! Apabila umat tuan pergi sembahyang Hari
Raya, maka hamba sangat menanggung dukacita dan menyesal. Maka hamba pun
bertempik dan datanglah sekelian tentera hamba dan bertanya,"Hai Raja
kami! Siapa tuan murkakan? Adakah ia dari langit atau dari bumi?
Titahkan kami sekelian untuk membinasakan yang di langit atau di bumi
itu!" Maka kata hamba, "Hai bala tenteraku! Apa yg menyebabkan hamba
menanggung dukacita ialah kerana Allah Taala telah mengampuni umat
Muhammad pada Hari Raya ini. Tidakkah kamu ketahui bahawa Allah telah
mengkabulkan puasa mereka? Tuhan sangat sayang akan mereka dan
dikasihankan dengan rahmat, diperkenankan doa akan apa yang dipinta dan
diampunkan segala kesalahan mereka. Hai tenteraku! Goda mereka supaya
malas beramal ibadat, bersuka-suka, bermain-main, memuaskan hawa nafsu
dengan pelbagai maksiat; agar datang kemurkaan Tuhan kepada mereka dan
kelak diturunkan bala. Kerana itu kemudian akan menyenangkan hatiku."
Maka pergilah sekelian iblis dan syaitan mengacau umat Muhammad"
Soalan Nabi ke 37 -
"Jika umatku membaca doa akhir tahun (Hijrah), betapa hal engkau?"
Jawab Iblis - "Telah bersusah payah hamba menggoda mereka sepanjang
tahun; tiba-tiba mereka membaca doa dalam masa yang sedikit. Maka
lemahlah hamba, lalu hamba sapu muka dengan tanah. Hai celaka malang
diriku dengan kerugian, maka hamba pun berpaling pergi."
Soalan Nabi ke 38 -
"Hai Iblis! Jika umatku membaca doa awal tahun (Hijrah), betapa hal
engkau?"
Jawab Iblis - "Ya Nabi Allah! Putuslah harapan hamba, kerana sesiapa
membaca doa awal tahun ini, Allah akan memerintahkan dua Malaikat supaya
dibakar buku kesalahannya dan ditulis kebajikan di dalamnya kerana
membaca doa ini."
Soalan Nabi ke 39 –
"Hai Iblis! Siapakah yang menyokong engkau?"
Jawab Iblis - "Orang yang tidak bertaubat dari dosanya dan suka ketawa
ketika berbuat dosa. Ya Nabi Allah! Bahawa telah hamba binasakan
sekelian manusia dengan pelbagai dosa maksiat maka sukalah hamba.
Tiba-tiba mereka mengucap kalimah Lailahaillallah dan beristighafar,
maka binasalah hamba kerana ucapannya itu. Lagi satu keuntungan besar
hamba ialah orang tua dan kanak-kanak yang bersiul-siul. Mereka itu
adalah anak buah hamba. Kerana pada masa hamba dibuang ke dunia ini
dahulu, hamba mengembara dan berjalan dengan bersiul-siul. Orang yang
bersiul-siul itu adalah penghibur Iblis dan syaitan, tetapi orang yang
bang (azan) itu penghambat Iblis dan syaitan kerana Malaikat-Malaikat
akan hadir sembahyang bersama-sama mereka."
Soalan Nabi ke 40 –
"Hai Iblis! Sekarang apakah kesudahan ikhtiar engkau kerana aku telah
dibangkitkan oleh Tuhan ke alam dunia ini bagi menyelamatkan sekelian
Bani Adam daripada kafir kepada beriman, daripada gelap-gelita kepada
terang benderang"
Maka Iblis pun mengangkat kepalanya ke Hadrat Allah dan berkata: "Ya
Rabbi! Demi kemuliaan Engkau, sentiasalah hamba akan berusaha bersungguh
untuk menarik sekelian anak Adam kepada berbagai-bagai jalan maksiat
selama nyawa ada di dalam batang tubuh mereka itu, hamba jadikan pemuda
pemudi bercampur dan berkenalan supaya senang hamba mencelah di antara
mereka."
Tiba-tiba datang firman Allah s.w.t : "Hai Mala'un! Demi kebesaranKu dan
ketinggianKu, bahawa Aku sentiasa sedia mengampuni akan dosa umat
Muhammad, selagi mereka itu meminta ampun kepadaKu" Maka kata Nabi, "Hai
Iblis! Apa lagi yang engkau musykilkan?"
Maka Iblis berkata, "Ya Rasulullah! Bahawa hamba sangat ajaib melihat
dua perkara sekelian hamba Allah. Yang pertama mereka mengaku kasih akan
Allah padahal pula mereka taat akan hamba dengan berbuat maksiat. Yang
kedua mereka sangat marah akan hamba tetapi mereka menurut juga hasutan
hamba." Maka datang lagi firman Allah s.w.t : "Hai Mala'un! Demi
kemuliaan dan kebesaranKu, aku anugerahkan umat Muhammad dua kebahagian
iaitu
(1) kasih mereka itu akan Daku iaitu Aku jadikan kaparah(penebus dosa)
bagi maksiat mereka itu kerana perdayaan engkau.
(2) mereka itu marah kepada engkau (juga) Aku jadikan kaparah(penebus
dosa) bagi mereka itu (yang telah) berbuat maksiat kepadaKu".
Maka Iblis pun tercengang-cengang kerana umat Muhammad sangat dikasihi
oleh Allah Al-Ghafurur Rahim…