"WIRA BILIK DARJAH LELAH"
Guru Bersara Awal?
Jangan salahkan guru!
Data terkini menunjukkan lebih 19,000 guru
sekolah rendah dan menengah memilih untuk bersara awal dari tahun 2022 hingga
Mei 2025; kebanyakannya kerana hilang minat sebagai pendidik.
Angka ini membimbangkan kerana ia bukan
sekadar isu individu guru yang “hilang minat”, tetapi petanda ada masalah
sistemik dalam profesion perguruan di negara kita. Ia juga mengenai negara
kehilangan wira-wira dalam bilik darjah yang bertanggungjawab membentuk masa
depan nusa.
Apa yang pasti, Guru yang mohon bersara
awal bukan kerana soal kemampuan mereka, tetapi cerminan beban berlebihan yang
mengikis semangat, serta melunturkan jiwa pendidik mereka.
Mengapa beban guru semakin menyusahkan?
Guru tidak berhenti kerana lelah mengajar,
tetapi kerana beban pentadbiran yang menyesakkan
jiwa. Saya amat pasti
mengenainya kerana sepanjang hidup saya dari dulu sehingga kini, saya
bergelumang dengan guru-guru samada sebagai adik beradik, handai taulan,
mahupun sahabat handai.
Beban kerja guru hari ini menurut majoriti
guru di Malaysia bukan lagi tertumpu pada mengajar, sebaliknya dibebani dengan
pelbagai laporan, sistem data yang berulang, dan tugasan luar peranan. Pada
masa yang sama, sokongan emosi dan psikososial masih lemah, menyebabkan ramai
guru merasa terasing dan tertekan walaupun skim gaji dan kenaikan pangkat telah
ditambah baik.
(Dr. Maszlee Malik)