Jadikanlah
10 nasihat dibawah ini sebagai penyejuk hati semoga kita menjadi seorang mukmin
yang sentiasa reda dengan Qadak dan Qadar Allah S.W.T.
1-Bayangkan
Allah SWT mengampun kepada sesiapa yang memohon kemaafan daripadaNya.
Allah SWT
akan menerima taubat orang yang bertaubat.
Allah SWT
bersedia menerima siapa yang kembali ke pangkal jalan.
2- Berilah
kasih sayang kepada orang yang lemah, tunaikanlah hajat kepada mereka yang
berhajat dan rawatlah mereka.
Jangan
memendam kemarahan tetapi berilah kemaafan.
3-Pandanglah
pada Allah SWT dengan pandangan positif dan ingatlah Allah SWT sentiasa
mendampingi anda setiap masa. Ingatlah
Malaikat sentiasa memohon kempanan daripada Allah SWT untuk anda.
Syurga Ilahi
sentiasa menunggu kedatangan anda.
4- Sapulah
titisan airmata dengan pandangan positif kepada Allah SWT, Hapuskan segala
kekecewaan dengan membilang segala nikmat Allah SWT yang telah Allah SWT
berikan pada anda.
5-Jangan
anda berpandangan ” Dunia telah menyempurnakan hajat seseorang”, tidak ada
menusia yang mendapat segala hajatnya dibumi ini dan tidak pernah ditimpa
kesusahan.
6- Jadilah
seperti Pokok Tamar yang mencapai puncak segala ketinggian, tidak menyakiti
orang lain, walaupun anda membaling batu kepadanya tetapi dia akan membalas
anda dengan buah tamar yang manis kepada anda.
7- Pernahkah
anda mendengar, kesedihan akan mengembalikan segala yang telah hilang,
kekecewaan akan memperbetulkan kesalahan lalu,?
Jika
demikian kenapa kita harus bersedih dan kecewa ?
8- Jangan
terlalu mengambil berat dugaan dan fitnah, tetapi pandanglah ketenteraman dan
keselesaan serta keafiatan.
9- Padamkan
api hasad dengki dalam jiwa anda, siramilah hati anda dengan kemaafan kepada
semua mereka yang telah menyakiti anda.
10- Mandi
dari segala kekotoran,berwuduk, memakai wangi-wangian, bersugi dan berdisiplin
adalah penawar ke arah kejayaan kepada setiap hati yang kotor dan hati resah
gelisah.
PENYAKIT
HATI
Nabi SAW bersabda
maksudnya :"Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging.
Jika daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya tetapi seandainya
daging itu rosak dan kotor, maka kotor dan rosaklah seluruh anggota badannya.
Daging yang dimaksudkan ini adalah hati."
(Riwayat Bukhari dan
Muslim daripada Nu'man bin Basyir
Hati yang sejahtera
dipanggil juga sebagai jiwa yang tenang. Mereka yang mempunyai maqam nafsu
mutmainnah (jiwa yang tenang) adalah mereka yang Tuhan ikhtiraf sebagai
hamba-Nya dan layak memperolehi ganjaran syurga-Nya di akhirat nanti.
Hati yang sihat, tidak
berpenyakit akan memancarkan sinar kebahagiaan pada dirinya, kerana itulah kita
melihat orang yang hatinya sihat akan sentiasa tenang, bahagia, ceria tidak
stres, sebagaimana orang yang tubuhnya sihat akan sentiasa gembira, aktif dan
bahagia. Itulah yang diinginkan oleh setiap manusia.
Firman Allah SWT;
الَّذِينَ آمَنُوا وَتَطْمَئِنُّ
قُلُوبُهُمْ بِذِكْرِ اللَّهِ أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ
Maksudnya;
"Orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan
mengingat Allah. Ingatlah, Hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi
tenteram."(Surah al-Ra'd ayat 28)
Sabda Rasulullah SAW :
قال رسول الله صلى الله عليه وسلم عجبا لأمر
المؤمن إن أمره كله خير إن أصابته سراء شكر فكان خيرا له وإن أصابته ضراء صبر وكان
خيرا له وليس ذلك لأحد إلا للمؤمن.
Maksudnya; "Sungguh
menghairankan urusan orang beriman, semua urusanya baik, apabila mendapat
nikmat kesenengan, ia bersyukur, maka baiklah baginya dan apabila ditimpa
kesusahan, ia bersabar maka baik jugalah baginya. Dan sifat tersebut tidak ada
melainkan bagi orang yang beriman." (Hadis Riwayat Muslim)
Sebaliknya orang yang
hatinya sakit, hatinya sentiasa gelisah dan keluh kesah dalam menghadapi
kerenah kehidupan, hidupnya tidak pernah bahagia bahkan sentiasa stres dan
tertekan. Keadaan ini disebabkan penyakit yang ada dalam hati mereka.
Penyakit hati ialah
sifat-sifat mazmumah yang ada dalam hati rohani manusia. Kita mesti
bermujahadah untuk melawan sifat-sifat mazmumah, (penyakit hati yang dihidupkan
oleh nafsu) setiap kali ia menyerang kita. Penyakit dalam hati Rohani boleh
dibahagikan kepada dua bahagian;
1. Penyakit hati
terhadap Allah.
2. Penyakit hati
terhadap manusia.
Antara penyakit hati
terhadap Allah :
1. Lalai dalam beribadah
2. Lalai dari mengingati
Allah
3. Ragu-ragu terhadap
dengan Allah
4. Tidak ikhlas dengan
Allah
5. Tidak takut pada
ancaman Allah
6. Tidak harap pada
rahmat Allah
7. Tidak redha akan
takdir Allah
8. Tidak puas dengan
pemberian Allah
9. Tidak sabar atas
ujian Allah
10.Tidak syukur atas
nikmat Allah
11.Tidak terasa diawasi
Allah
12.Tidak terasa hebatnya
Allah
13.Tidak rindu dan cinta
dengan Allah
14.Tidak tawakal pada
Allah
15.Tidak rindu pada
Syurga dan tidak takut pada Neraka
16.Cintakan dunia.
17.Penakut (takut pada
selain Allah)
18.Ujub
19.Riak
20.Sukakan pujian dan
kemasyhuran
Antara penyakit hati
terhadap manusia :
1. Benci membenci
2. Gembira atas
kesusahan orang lain.
3. Dukacita atas
kejayaan orang lain.
4. Harap keburukan
terhadap orang lain.
5. Tidak mau minta maaf
dan tidak memaafkan orang lain
6. Hasad dengki
7. Dendam
8. Bakhil
9. Buruk sangka
10.Tidak bertolak ansur
11.Tidak bertimbang rasa
12.Rasa Berat
Tulang,Tidak tolong-menolong
13.Tamak
14.Degil dan keras hati
15.Mementingkan diri
sendiri
16.Sombong
17.Tidak sabar dengan
ragam manusia
18.Memandang hina kepada
seseorang
19.Riak
20.Ujub
21.Rasa diri bersih dan
suci.
Di dalam
kitab at-Tibyan fi adabi hamlatil Quran, susunan Imam an-Nawawi, beliau ada
menukilkan kata-kata seorang ahli makrifat bernama Ibrahim Khawwash. Katanya
penawar hati itu ada lima :
Pertama : Membaca al-Quran dengan meneliti maksudnya.
Ramai juga orang yang baca al-Quran. Tapi biasanya membaca tanpa memerhati
maksud ayat yang dibaca. Sebab itulah ramai di kalangan umat Islam yang
membaca al-Quran tetapi melanggar hukum agama, iaitu kerana tidak memahami apa
yang dibaca.
Kekuatan besar dari sentuhan Al-Quran ini dirasakan benar oleh para sahabat
Rasulullah SAW kerana memang mereka menerima Al-Quran ini dengan segenap hati,
pikiran dan kemauan mereka.
Seperti yang diriwayatkan oleh Ath-Thobroni dan Al-Baihaqi dari Abdullah bin
Amr bin Ash bahwa ia berkata : Ketika turun surah Az-Zalzalah, maka serentak
Abu Bakar yang sedang duduk waktu itu menangis.
Maka Rasulullah SAW pun menghampirinya dan bertanya, “Apa yang membuat
engkau menangis wahai Abu Bakar?”.
"Surah inilah yang membuat aku menangis”.
Maka Rasulullah menenangkan dengan sabdanya :“Jika kalian tidak pernah
melakukan dosa dan kesalahan, maka Allah akan menciptakan kaum lain yang mereka
itu melakukan salah dan dosa kemudian mereka bertaubat dan Allah mengampuni
mereka.”
Maka sangat tepat ungkapan Dr. Yusuf Al-Qaradlawi yang menegaskan
bahawa:“Al-Quran adalah “roh Rabbani” kekuatan Rabbani yang akan mampu
menghidupkan dan menggerakkan akal fikiran dan hati. Sebagaimana Al-Quran juga
undang-undang Allah yang mengatur kehidupan manusia sebagai individu dan bangsa
secara kolektif.”
Kedua : Mengosongkan perut.
Dari sudut kesihatan fizikal, pakar kesihatan bahkan Nabi SAW. sendiri
mengatakan bahawa perut adalah punca penyakit. Mengosongkan perut dengan erti
kata berpuasa atau bersederhana ketika makan.
Sabda Nabi SAW. maksudnya : "Orang Islam itu tidak makan kecuali lapar,
dan mereka berhenti makan sebelum kenyang. "
Kata Imam Shafie : "Perut kita terbahagi kepada tiga iaitu sepertiga
makanan, sepertiga air dan sepertiga lagi udara."
Jika keseimbangan antara ketiga-tiganya tidak di capai, maka kita akan menjadi
malas untuk beribadat ataupun untuk bekerja. Apabila perut kurang diisi dengan
makanan, maka kita menjadi rajin dan ringan tulang untuk menambahkan ibadah
kita. Tidak hairanlah jika kita dapat menggandakan amalan kita pada bulan puasa
berbanding bulan-bulan yang lain.
Ketiga : Bangun bersolat malam.
Ramai orang boleh bangun malam tetapi bangun kerana untuk qada hajat atau
kerana anak menangis, atau kerana ingin melihat perlawanan bola sepak, atau
juga kerana hendak makan sahur. Tetapi bangun untuk bersolat malam walau dua
rakaat, memang sangat berat.
Solat Tahajjud ini hanyalah solat sunat tetapi ianya adalah solat sunat muakkad
(yang di tuntut). Sekiranya junjungan besar kita Rasulullah SAW. begitu
bersungguh-sungguh memastikan ibadah ini dilaksanakan sehingga bengkak-bengkak
kakinya kenapa kita masih berat hati untuk melakukannya. Apatah lagi solat
tahajjud ini merupakan solat yang paling utama sesudah solat fardhu.
Dalam sebuah hadis dari Bilal r.a. bahawa Rasulullah SAW. bersabda yang
bermaksud, “Hendaklah kamu qiamul lail (solat malam), kerana sesungguhnya solat
malam itu adalah kebiasaan orang-orang soleh sebelum kamu, dan mendekatkan diri
kepada Allah, mencegah dari perbuatan dosa, dan menutupi dosa atau
kejahatan-kejahatan dan mengusir penyakit dari badan.” ( Hadis Riwayat Ahmad,
Tirmizi, Hakim dan Baihaqi.)
Keempat : Bermunajat dan berdoa kepada Allah pada waktu sahur.
Ramai juga beranggapan, waktu sahur hanyalah untuk makan sahur sahaja sebelum
berpuasa dalam bulan Ramadan. Sebenarnya, antara waktu mustajab doa ialah
ketika waktu sahur.
Firman Allah SWT maksudnya : “Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa adalah
ditempatkan di dalam beberapa taman syurga, dengan mata air-mata air terpancar
padanya. (Keadaan mereka di sana) sentiasa menerima nikmat dan rahmat yang
diberikan kepadanya oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka di dunia dahulu
adalah orang-orang yang berbuat kebaikan. Mereka sentiasa mengambil sedikit
sahaja masa dari waktu malam, untuk mereka tidur. Dan pada waktu akhir malam
(sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon
ampun)”. (Surah al-Zaariyaat ayat15-18)
Sabda Nabi SAW yang bermaksud :"Allah SWT. turun ke langit dunia
apabila tinggal sepertiga malam yang terakhir dan berkata : 'Ada sesiapa yang
memohon kepada-Ku untuk Ku makbulkan, ada sesiapa yang meminta kepada-Ku untuk
Ku berikan, ada sesiapa yang beristighfar memohon ampun untuk Ku ampunkan?"
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Kelima : Duduk di majlis orang-orang soleh.
Duduk menghadiri majlis-majlis ilmu, berada bersama-sama orang soleh tentu
menenangkan hati dan jiwa.
Firman Allah SWT. maksudnya :“Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya
peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman.”(Surah Az-Zariyat ayat
55)
Sabda Nabi SAW. maksudnya : “Sesungguhnya para malaikat mengepakkan
sayap-sayapnya bagi penuntut ilmu kerana reda dengan apa yang dilakukan.”(Hadis
Riwayat Tirmidzi).
Hadis yang lain sabda Nabi SAW. maksudnya : "Seseorang yang keluar dari
rumahnya untuk menuntut ilmu niscaya Allah akan mudahkan baginya jalan menuju
Syurga "(Hadis Sahih Riwayat Al Jami)
"Barang siapa berjalan untuk menuntut ilmu maka Allah akan memudahkan
baginya jalan ke Syurga". (Hasid Riwayat Muslim).
“Barangsiapa melalui suatu jalan untuk mencari suatu pengetahuan (agama), Allah
akan memudahkan baginya jalan menuju Syurga.”(Hadis Riwayat Bukhari)
“Siapa yang mati ketika menuntu ilmu, untuk menobat dan memperkasakan Islam
maka jarak antaranya dengan para nabi di syurga kelak adalah sekadar satu
tingkat sahaja.”(Hadis Riwayat ad-Darini)
Khalifah Umar bin Abd Aziz :
"Wahai sekelian manusia !
Janganlah kalian menganggap kecil dosa-dosa itu. Selidiki dan ushakanlah untuk
mengkikis habis apa-apa dosa yang telah di lakukan, dengan jalan melakukan
taubat. Allah SWT telah berfirman yang bermaksud : " Sesungguhnya
perbuatan-perbuatan baik itu akan menghilangkan segala perbuatan-perbuatan
jahat. Itulah peringatan bagi orang-orang yang mahu ingat. "
Telah sia-sia dan merugi orang-orang
yang keluar dari rahmat Allah SWT yang meliputi segala sesuatu dan dia
telah di haramkan untuk masuk ke syurga yang luasnya seluas langit dan bumi.
Ketahuilah bahawa perasaan aman pada
hari esok (akhirat) tersedia bagi orang yang takut akan Allah, iaitu
orang-orang yang suka menjual barang yang sedikit untuk di tukarkannya dengan
yang banyak, orang yang suka tukar yang fanak dengan yang kekal abadi. "
As Sydul Jalil Abu Muhammad Sahal
At-Tastari berkata :
"Telah di teliti oleh alim
ulama akan pengertian IKHLAS, maka mereka tidak dapati selain yang di sebut
ini, iaitu gerak seseorang dan diamnya dalam sulitnya dan terangnya semuanya
kerana Allah SWT semata-mata, tidak di campuri oleh hawa nafsu."
Al-Imam As Syahid Hassan Al-Banna
berpesan katanya :
"Wahai saudara ! Berimanlah
kamu kepada Allah, perkukuhkanlah mengenal dan bergantung kepadaNya, janganlah
kamu gerun selain Allah, tunaikanlah segala kewajipanNya dan jauhilah
laranganNya.
Berakhlaklah kamu dengan akhlak yang
mulia dan sempurna. Jadilah kamu orang-orang yang kuat dengan akhlak yang mulia
dengan apa yang di kurniakan oleh Allah kepada kamu iaitu kemuliaan orang mukmin
dan orang-orang yang bertakwa lagi solehin.
Hadapilah Al-Quran untuk mengkajinya
dan terhadap sirah Nabawiah kamu bermuzakarah. Kamu hendaklah menjadi orang
yang praktikal bukan orang yang berhujah saja. Apabila Allah memberikan kepada
sesuatu kaum itu hidayah maka di berinya ilham untuk beramal. Sesuatu kaum itu
tidak sesat selepas mereka mendapat petunjuk kecuali otang-orang yang suka
berhujah.
Kasih mengasihilah di antara kamu
dan jagalah serapi-rapinya ikatan kamu sebab ianya merupakan rahsia kekuatan
kamu dan tunjang kejayaan kamu dan tetapkanlah diri kamu sehingga Allah membuka
di antara kamu kaum kebenaran. Dialah sebaik-baik pembuka."
Sultan Muhammad al-Fatih 11 telah
memberi wasiat kepada anak-anaknya semasa baginda dalam keadaan sakit sebelum
meninggal dunia :
"Tak lama lagi aku akan
mengadap Allah Subhanahuwa Ta'ala. Namun aku sama sekali tidak merasa menyesal,
sebab aku meninggalkan pengganti seperti kamu. Maka, jadilah engkau seorang
yang adil, soleh dan pengasih. Rentangkan perlindunganmu terhadap seluruh
rakyatmu tanpa perbedaan. Bekerjalah kamu untuk menyebarkan agama Islam sebab
ini merupakan kewajiban raja-raja di bumi. Kedepankan kepentingan agama atas
kepentingan lain apa pun. Jangan kamu lemah dan lengah dalam menegakkan agama. Janganlah
kamu sekali-kali memakai orang-orang yang tidak menjauhi dosa-dosa besar dan
larut dalam kekejian.
Hindari bida'ah-bida'ah yang merosak. Jauhi orang-orang yang menyuruhmu
melakukan itu. Lakukan perluasan negeri ini melalui jihad. Jagalah harta Baitul
Mal, jangan sampai dihambur-hamburkan. Jangan sekali-kali engkau menghulur
tanganmu pada harta rakyatmu kecuali itu sesuai dengan aturan Islam. Himpunlah
kekuatan orang-orang yang lemah dan fakir, dan berikan penghormatanmu kepada
orang-orang yang berhak.
Oleh sebab ulama itu laksana kekuatan yang harus ada dalam raga negeri, maka
hormatilah mereka. Jika kamu mendengar ada seseorang ulama di negeri lain,
ajaklah ia agar datang ke negeri ini dan berilah dia harta kekayaan.
Hati-hatilah, jangan sampai kamu tertipu dengan harta benda dan jangan pula
dengan banyaknya tentera. Jangan kamu sekali-kali melakukan satu hal yang
bertentanagn dengan hukum Islam. Sebab agama merupakan tujuan kita, hidayah
Allah adalah manhaj hidup kita dan dengan agama kita menang.
Ambilah pelajaran ini dariku, aku datang ke negeri ini laksana semut kecil,
lalu Allah kurniakan nikmat yang demikian besar ini. Maka berjalanlah seperti
apa yang aku lakukan. Bekerjalah kamu untuk meninggikan agama Allah dan
hormatilah ahlinya. Janganlah kamu menghambur-hamburkan harta negara dalam
foya-foya dan senang-senang, atau kamu pergunakan lebih dari yang sewajarnya.
Sebab itu semua merupakan penyebab utama kehancuran."
al-Imam Ibnu Qayyim berkata perihal
hati yang hidup.
Terdapat enam perkara hati yang
hidup iaitu :
1. Dalam hati manusia terdapat kekuatan : Tidak terurai kecuali menerima
kehendak Allah.
2. Dalam hati terdapat keganasan : Tidak hilang kecuali berjinak dengan Allah.
3. Dalam hati terdapat kesedihan : Tidak hilang kecuali seronok mengenali Allah
dan baik muamalah (perhubungan) dengan-Nya.
4. Dalam hati terdapat kegelisahan : Tidak tenang dan damai kecuali berjumpa
dengan-Nya dan lari menuju-Nya.
5. Dalam hati terdapat api penyesalan : Tidak padam kecuali redha dengan
suruhan-Nya, larangan-Nya, qadha-Nya, dan sentiasa sabar sehingga menemui-Nya.
6. Dalam hati terdapat hajat : Tidak terbendung kecuali dengan kecintaan
kepada-Nya, memohon kepada-Nya, sentiasa berzikir kepada-Nya dan keikhlasan
kepada-Nya. Andai dunia dan seisinya diberi, tidak akan dapat membendung hajat
hati si insan ini.
Imam Ibnu Qayyim Al-
Jauzi berkata :
Pertama, sesiapa di
dunia yang meninggalkan solat, di akhirat kelak mereka akan bersama orang yang
terkutuk.
Kedua, sesiapa yang
sibuk dengan kuasa, dia akan berhimpun dengan Firaun.
Ketiga, sesiapa yang
sibuk dengan harta, dia akan berhimpun dengan Qarun.
Keempat, sesiapa yang
sibuk dengan pangkat, dia akan berhimpun dengan Hamam.
Kelima, sesiapa yang
sibuk dengan berniaga, dia akan berhimpun dengan Ubai bin Khalaf.
Ibnu Qayyim Al-Jauzi
dalam kitab Madarijus Salikin mengatakan, " Sabar adalah menahan jiwa
daripada berkeluh kesah dan marah, menahan lisan dari mengeluh, serta menahan
anggota badan dari berbuat tashwisy (yang tidak lurus). Sabar ada tiga jenis
iaitu sabar dalam berbuat ketaatan kepada Allah, sabar dari melakukan maksiat,
dan sabar tehadap ujian Allah."
Antara tiga jenis sabar,
yang mana satu paling berat?(sabar menghadapi ujian, sabar daripada melakukan
maksita dan sabar untuk taat)".