Pada masa dahulu raja-raja bergantung kepada ahli sihir untuk mengukuhkan lagi takhta kerajaan mereka .Sihir digunakan oleh pemerintah untuk menipu orang ramai yang menyebabkan mereka menjadikan raja sebagai tuhan selain daripada Allah swt. Rasulullah saw telah memberitahu bahawa ada seorang raja yang mempunyai seorang tukang sihir yang sudah lanjut usianya. Tukang sihir ini merasa takut akan kehilangan ilmunya dan meminta agar raja tersebut mencari seorang budak yang bijak dan menonjol pada masa itu untuk mewarisi ilmu dan kesesatanya. Raja itu menunaikan hajat tujang sihir tadi.
Pada suatu hari ketika budak itu berulang alik dari istana, dia telah melalui satu tempat yang merupakan tempat tinggal seorang rahib (ahli agama ) yang mana dia begitu tertarik kepadanya dan mendengar segala nasihat daripada rahib tadi. Setelah budak itu mengadu kepada rahib tersebut mengenai tindakan ahli sihir yang akan dikenakan jika dia terlewat kerana belajar dengan rahib. Lalu rahib itu memberi cadangan iaitu jika tukang sihir itu bertanya tentang kelewatannya maka katakanlah bahawa keluarganya telah menyekatnya dan jika ditanya oleh keluargamu maka katakanlah bahawa tukang sihir telah menahannya yang menyebabkan dia kelewatan.
Pada suatu hari budak tersebut telah terserempak dengan seekor binatang besar yang menahan dan menyekat orang ramai yang mana ia kemungkinan sebagaimana singa atau ular yang besar. Rentetan daripada masalah ini, timbullah satu peluang bagi budak tersebut untuk menyelesaikan perkara di antara tukang sihir dan rahib bagi mengetahui yang manakah di anatara mereka berdua berada di dalam kebenaran . Lalu dia pun mengambil seketul batu dan melontar kepada binatang tersebut dengan memohon kepada tuhan agar membunuh binatang tersebut jika sekiranya rahib itu lebih diredahaiNya berbanding dengan tukang sihir itu. Tiba-tiba binatang itu tersungkur dan rebah dengan lontaran tadi sedangkan orang ramai menyangka bahawa binatang tersebut tersungkur kerana kelebihan daripada ilmu sihir yang dipelajarinya.
Setelah rahib tersebut mengetahui bahawa budak tersebut akan diuji kerana telah memperlihatkan ilmunya, maka dia meminta agar budak itu tidak berdakwah secara senyap sebagaimana yang dilakukan oleh rahib tersebut tetapi sebaliknya rahib tersebut meminta agar tidak memberitahu mengenainya kepada orang ramai. Pesan rahib lagi bahawa orang mukmin itu meminta kesejahteraan hanya kepada Allah dan jika diuji dia bersabar.
Allah swt telah mengurniakan kepada budak tadi kelebihan menyembuh penyakit-penyakit di antaranya mencelikkan penglihatan dan menyembuhkan penyakit sopak yang mana dia memberitahu bahawa penyembuhnya adalah Allah.Sesiapa yang beriman kepada Allah maka Dialah jua penyembuhnya. Budak tadi tetap dalam menyebarkan dakwah ketika mengubati penyakit orang ramai.Tersebarlah berita mengenai kehebatan budak tadi kepada salah seorang pegawai istana yang buta . Tanpa berlengah, dia pun memberikan kepada budak tadi satu hadiah yang besar untuk mengubatinya. Budak tersebut memberitahu bahawa penyembuhnya adalah Allah. Jika dia beriman kepada Allah, dia akan berdoa kepada Allah supaya Dia menyembuhkan penyakitnya. Pegawai tadi terus beriman dan penyakitnya disembuhkan dengan berkat daripada doa budak tadi.
Pada suatu hari, pegawai tadi telah menghadiri suatu majlis yang mana raja berasa hairan terhadap apa yang berlaku kepada pegawai itu. Maka dia bertanya:” Siapakah yang menyembuhkan penglihatanmu”. Lalu pegawai tersebut menjawab:”Tuhanku” . Maka b raja tersebut bertanya lagi : “Adakah bagi kamu tuhan selain daripadaku ?”. Pegawai itu menjawab:”Tuhanku dan Tuhanmu adalah Allah “. Maka raja tersebut begitu marah apabila mendengar jawapan itu yang mana dia menganggap bahawa kata-kata pegawai nya tadi boleh membawa kepada fitnah yang besar dan boleh menggugat takhta dan pemerintahannya. Ini akan menyebabkan rakyat akan merasa bahawa selama ini mereka telah ditipu dengan dakwaan raja yang mendakwa dirinya sebagai tuhan yang patut disembah selain daripada Allah dan menganggap dirinya sebagai tuhan manusia . Tukang-tukang sihir dan pegawai-pegawai yang jahat itu bekerja siang dan malam dalam memperbaiki aqidah pegawai tadi maka gementarlah hati raja tersebut kerana bimbang takhta pemerintahannya akan tergugat. Dia telah menyiksa pegawai itu sehinggalah dia memberitahu mengenai beritahu budak tersebut.
Apabila budak tadi datang ke istana yang mana raja itu menyangka bahawa budak tadi telah mencapai suatu tahap ilmu sihir hasil daripada tunjuk ajar tukang sihirnya.Tetapi ternyata sangkaannya itu meleset sama sekali apabila budak tadi mengingkari sihir dan tukang sihir yang mana dia memberitahu mereka bahawa dia tidak menggunakan ilmu sihir untuk mengukuhkan kedudukan takhta dan menyembah raja itu.Sebaliknya dia akan berdakwah kepada manusia supaya mengingkari raja tersebut dan beriman kepada Allah s.w.t yang Esa.
Maka raja tersebut pun menyeksa budak tadi dengan tujuan untuk mengetahui punca fitnah yang berlaku kepadanya sehinggalah budak tadi memberitahu mengenai rahib tadi. Maka terjadilah perkara yang ditakuti oleh rahib tadi berkenaan perkara yang tidak diingini berlaku. Maka diazabnya rahib tadi agar meninggalkan agamanya namun ia enggan dan tetap bersabar sehinggalah sampai ke kemuncaknya yang mana badannya dibelah duadengan gergaji.Begitu juga yang berlaku kepada pegawainya yang beriman itu .Begitulah pemuda yang sabar di dalam menahan azab ketika dalam mehnah dan ujian dengan mengutamakan iman daripada kehidupan mereka .Walaupun mereka diuji dengan azab, namun pada hakikatnya mereka berada di dalam pertolongan dan perlindungan Allah s.w.t serta mendapat keredaanNya dengan memperolehi syurga dan dijauhkan daripada azab neraka yang mana pada hari qiamat mereka ditolong oleh Allah s.w.t .
Raja tersebut cuba mempengaruhi budak tadi kerana ia boleh mengukuhkan kedudukannya jika dia kembali kepada agama asalnya kerana budak tadi memiliki sifat-sifat yang unik. Tambahan pula bapanya adalah daripada kalangan pembesar negara yang mana raja itu tidak mahu menimbulkan kemarahan bapa budak tersebut dan kekecohan di kalangan kaumnya. Setelah gagal melembutkan hati budak tadi, mereka telah merancang untuk membunuhnya dengan pelbagai cara disamping masih memberi peluang kepada budak tadi untuk kembali kepada aqidah asalnya dengan menganggap bahawa caran itu akan dapat menakutkan budak tersebut tetapi mereka telah silap.Rancangan pertama ialah menghantar budak tadi ke puncak gunung untuk dihumbankan ke lembah yang curam .Lalu budak itu berdoa kepada tuhanNya. Tiba-tiba bergegarlah gunung tersebut dan jatuhlah semua pegawai-pegawai raja ke dalam lurah yang tinggi itu.Kembalilah budak tadi kepada raja dengan selamatnya dan memberitahu akan mengenai apa yang menimpa pegawai-pegawai bersamanya tadi.
Selepas gagal cubaaan pertama, lalu dihantar pula ke tengah laut untuk dihumbankan ke dasar lautan jika dia masih enggan kembali ke agama asalnya . Maka berdoalah budak tadi kepada Tuhannya. Doanya dimaqbulkan yang mana kesemua pegawai tadi ditenggelamkan oleh Allah s.w.t. Budak tadi kembali semula kepada raja dengan selamatnya.
Suatu peringatan yang penting di sini ialah mengenai tindakan budak tadi yang mana dia tidak terus melarikan diri setelah diselamatkan oleh Allah s.w.t tetapi dia tetap kembali kepada raja tersebut. Ini adalah kerana dia tidak berniat untuk menyelamatkan dirinya semata-mata tetapi bertujuan untuk menzahirkan agama Allah s.w.t dan meninggikan kalimahNya.Tidak syak lagi orang ramai selalu mengikuti perkembangan perjalanan budak tersebut sehingga mereka mengetahui apa yang berlaku kepadanya . Setiap perbuatan budak itu menjadi buah mulut di majlis-majlis dan perayaan-perayaan terutamanya berkaitan dengan keberanian budak tersebut dalam menghadapi pemerintah yang zalim itu tanpa rasa gentar dan takut.Sebenarnya orang ramai tidak mempercayai segala dakwaan raja mereka tetapi oleh disebabkan kezaliman raja menyebabkan mereka menyembunyikan perkara ini.
Raja menyedari akan kelemahannya untuk membunuh budak tersebut maka akhirnya budak itu sendiri memberitahu mengenai satu cara yang membolehkan dirinya dibunuh. Walau dengan apa cara sekalipun yang dilakukan oleh raja itu namun ia tidak dapat membunuhnya kecuali dengan cara yang akan diberitahu oleh budak tadi. Budak tadi meminta raja tersebut supaya mengumpulkan orang ramai di suatu tempat dan mengikatnya pada suatu batang kayu. Kemudian mengambil anak panah daripada simpanannya dan memanahnya dengan berkata:” Dengan nama Allah s.w.t Tuhan budak ini!”. Lalu raja pun memanahnya sebagaimana cara yang di suruh oleh budak itu.
Begitulah peristiwa yang terjadi yang mana tatkala anak panah itu terkena ke dada budak tadi, maka raja itu telah memeriksa dengan meletakkan tangannya pada tempat anak panah tersebut bagi mengesahkan bahawa dia telah mati. Kematian budak tadi setelah menunjuk cara kepada raja cara untuk membunuhnya apabila raja tersebut tidak mampu membunuhnya melainkan dengan cara memanah dengan anak panah yang diambil dari simpanan budak itu sendiri dan bukan menggunakan anak panah yang lain sambil melafazkan dengan nama Allah s.w.t Tuhan budak ini .Jika tidak, maka raja tersebut tetap menemui jalan kebuntuan di dalam membunuhnya.
Jika perkara ini terjadi pada zaman kita maka sudah tentu menjadi satu perbalahan dan perbahasan kepada sesetengah orang yang tidak mendalami dalam bidang agama tentang sejauh mana kebenaran perbuatan budak tadi . Adakah ia patut menunjukkan jalan kepada raja tersebut cara yang boleh menyebabkan ia mati ?Atau bukan cara itu akan membunuhnya. Sesetengah orang yang cetek ilmunya pula mendakwa bahawa perbuatan budak tadi termasuk di dalam perbuatan membunuh diri. Sebenarnya membunuh diri adalah perbuatan orang yang berputus asa dan mahu lari daripada kehidupannya yang sebenar. Sedangkan budak tadi dan orang yang sepertinya adalah orang yang sanggup berkorban jiwa raga mereka untuk menyebarkan dan mempertahankan keIslaman dan keimanan mereka .Merekalah yang menentang kejahatan orang yang berbuat kerosakan dan ini merupakan herdikan kepada orang kafir.
Bukanlah budak tadi seorang yang bodoh menuntut kematian tetapi sebenarnya dia begitu berharap dengan kematiannya itu dapat mengajak orang lain ke arah keimanan kepada Allah s.w.t dan mengajak orang lain supaya menentang taghut tersebut. Kadang-kadang ketakutan yang ada pada manusia menyebabkan mereka terhalang daripada mengikuti kebenaran dan dalam memperkatakan kebenaran tersebut. Tampilnya budak tadi dengan mengorbankan dirinya tanpa menghiraukan raja dan pegawai-pegawainya adalah merupakan satu contoh kepada orang ramai dalam menyatakan kebenarannya.
Setelah budak tersebut hampir menemui ajal ,dengan perasaan lega raja tersebut merasakan bahawa telah berakhir fitnah terhadapnya dan telah selesai urusannya dengan mengikis punca dan akar umbi lawannya itu.Tiba-tiba datang pegawainya dengan tergesa-gesa dan memberitahu bahawa terjadi perkara yang paling ditakuti oleh raja itu sendiri iaitu berimannya orang ramai kepada Allah s.w.t . Maka dengan ini tercapailah segala hasrat dan tujuan budak tadi dengan mengikis perasaan takut orang ramai tanpa menghiraukan raja berserta pegawainya dan menjadikan pengorbanan dirinya dijalan Allah s.w.t sebagai suatu wasilah atau jalan untuk orang ramai beriman dan mentauhidkan Allah s.w.t .
Kemarahan raja tersebut sampai ke kemuncaknya yang mana dengan segera dia mengarahkan semua pegawai dan sekutu-sekutunya menggali parit dan menyalakan api ke dalamnya dengan menghumbankan setiap orang yang tidak mahu kembali kepada agamanya yang asal. Namun semua orang lebih rela dihumbankan ke dalam api tersebut kerana api neraka di hari qiamat lebih ditakuti oleh mereka daripada api dunia yang jauh bezanya, begitulah mauqif dan pendirian orang mukmin yang sebenarnya.
Suatu peristiwa yang penting di dalam kisah yang bersejarah ini adalah peristiwa seorang wanita yang masih mempunyai anak kecil di dalam pangkuannya yang masih menyusu apabila dia menghampiri jurang api tersebut hampir-hampir dia mahu kembali ke agamanya yang asal lalu dengan izin Allah s.w.t menjadikan anak yang kecil itu dapat bercakap kepada ibunya supaya bersabar kerana ia berada di dalam kebenaran dengan kata-katanya yang berbunyi: ”bersabarlah ibuku sesungguhnya kita berada didalam kebenaran”. Itulah kebesaran Allah s.w.t untuk mengukuhkan kedudukan dan keimanan orang mukmin. Allah s.w.t telah merakamkan peristiwa dan sebab pembakaran mereka tersebut di dalam ayat 8 hingga 9 surah al-Buruj yang bermaksud :” Dan mereka tidak menyiksa orang-oeang mukmin itu melainkankerana mereka itu beriman kepada Allah yang maha perkasa lagi maha terpuji yang mempunyia kerajaan langit dan bumi dan Allah maha menyaksikan segala sesuatu” .
Begitulah kezaliman dan sifat melampau mereka kerana sanggup membakar kaumnya sendiri diatas sebab tidak mengikut jalan dan cara yang diciptakan oleh mereka sendiri.Bagi mereka perkara yang penting ialah dapat mengekalkan raja dan mempertahankannya jika tidak semua orang akan di bakar hidup-hidup
PENGAJARAN KISAH
1. Allah tetap menyempurnakan agamaNya sebagaimana Dia menolong budak dalam kisah ini. Kaum yang selama ini berada dalam kesesatan dan kezaliman mendapat hidayah Allah apabila melihat peristiwa yang berlaku kepada budak itu.Allah taala senantiasa membantu mereka yang menegakkan dan memelihara serta mempertahankan agamaNya
2. Allah mampu membangkitkan pendakwah pada agamaNya daripada kalangan org yang mana pada mulanya dianggap pengukuh kepada kerajaan Thaghut sebagaimana budak di dalam kisah ini, pada mulanya budak itu menjadi murid kepada tukang sihir tetapi akhirnya beriman kepada Allah melalui pengajian yang di perolehi daripada Abid dan akhirnya dia menjadi penentang paling kuat kepada kerajaan yang zalim itu.
3. Iman tidak memerlukan masa yang panjang setelah diberi hidayat oleh Allah didalam hati manusia sebagaimana yang terjadi kepada kaum di dalam kisah ini.
4. Allah mengurniakan karamah (kemuliaan) kepada wali-waliNya didalam memperkukuhkan lagi keiman adan keyakinan.
5. Orang kafirn sentiasa bermusuh dengan orang beriman sebagaimana di gergaji rahib dan pegawai raja yang telah beriman kepada Allah.
6. Kita wajib bersabar di dalam menempuh ujian sebagaimana sabarnya rahib, pegawai dan budak itu serta kaum yang telah dihumbankan ke dalam lubang api.
7. Di bolehkan membuat helahn dalam peperangan dan perkara yang bertujuan menegakkan kebenaran.
8. Orang yang jahat sentiasa mahu kejahatan mereka diwarisi kepada orang lain sebagaimana tukang sihir mahu mengekalkan ilmu sihirnya kepada orang lain untkn menyesatkan manusia.
9. Mereka yang benar-benar yakin, Istiqomah, dan ikhlas dalam perjuangan sahaja yang akan mendapat kemenangan.
Kesimpulan
Sebagai seorang yang beriman kepada Allah SWT kita hendaklah yakin akan kebenaran agama Allah dan sentiasa berdoa serta bergantung kepadaNya Serahlah segala urusan dan penentuan hanya kepada Allah. Barang sesiapa yakin kepada Allah maka Allah akan menolongnya dan jika dia terkorban sekalipun pegorbanannya itu akan menjadi titik tolak kepada kebangkitan ke arah kebenaran. Kita hendaklah berjemaah kerana ia akan membawa kepada keberkatan dan kebahgiaan. Sesiapa yang menolong dan membantu agama Allah di dunia maka Allah akan menolongnya di dunia dan di akhirat serata menetapkannya di dalam islam.