الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء و المرسلين، وعلى آله وصحبه أجمعين
أهلا وسهلا بكم
إذا كانت هذه زيارتك الأولى للمنتدى، فيرجى التفضل بزيارة صفحة التعليمات كما يشرفنا أن تقوم بالتسجيل ، إذا رغبت بالمشاركة في المنتدى، أما إذا رغبت بقراءة المواضيع والإطلاع فتفضل بزيارة القسم الذي ترغب أدناه.
عن أبي سعيد الخدري رضي الله عنه - قال: سمعت رسول الله ﷺ يقول: "إن إبليس قال لربه: بعزتك وجلالك لا أبرح أغوي بني آدم مادامت الأرواح فيهم - فقال الله: فبعزتي وجلالي لا أبرح أغفر لهم ما استغفروني"
اللّهم طهّر لساني من الكذب ، وقلبي من النفاق ، وعملي من الرياء ، وبصري من الخيانة ,, فإنّك تعلم خائنة الأعين ,, وما تخفي الصدور
اللهم استَخدِمني ولاَ تستَبدِلني، وانفَع بيِ، واجعَل عَملي خَالصاً لِوجهك الكَريم ... يا الله
اللهــم اجعل عملي على تمبـلر صالحاً,, واجعله لوجهك خالصاً,, ولا تجعل لأحد فيه شيئاً ,, وتقبل مني واجعله نورا لي في قبري,, وحسن خاتمة لي عند مماتي ,, ونجاةً من النار ومغفرةً من كل ذنب
يارب يارب يارب
KEMASKINI
_
Hadith Tentang Peristiwa Akhir Zaman ( BAHAGIAN 1 )
Hadith tentang Peristiwa Akhir Zaman ini dipetik dari
buku yang telah di susun oleh Al-Fadhil Ustaz Abu Ali al-Banjari an-Nadwi (Ahmad Fahmi Zamzam)
TAKWA
DAN PERPADUAN ASAS KESELAMATAN DI AKHIR ZAMAN
Daripada Abi Nijih 'Irbadh bin Sariyah r.a. berkata,
"Telah menasihati kami oleh Rasulullah saw. akan satu nasihat yang
menggetarkan hati kami dan menitiskan air
kami ketika mendengarnya, lalu kami berkata, Ya Rasulullah! Seolah-olah
ini adalah nasihat yang terakhir sekali maka berilah pesanan kepada kami."
Lalu baginda pun bersabda, "Aku berwasiat akan kamu supaya sentiasa
bertakwa kepada Allah dan mendengar
serta taat (kepada pemimpin) sekalipun yang
memimpin kamu itu hanya seorang hamba. Sesungguhnya sesiapa yang panjang umurnya
daripada kamu pasti ia akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah
kamu berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah para khulafa Ar Rasyidin Al
Mahdiyin (Khalifah-khalifah yang mengetahui kebenaran dan mendapat pimpinan ke
jalan yang benar) dan gigitlah sunah-sunah itu dengan gigi geraham dan jauhilah
perkara-perkara yang baru (bid'ah) yang diada-adakan, kerana sesungguhnya
tiap-tiap bid'ah itu adalah sesat."
(Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)
Keterangan:
Hadis diatas mengandungi pesanan-pesanan yang sangat
berharga daripada Rasulullah saw. bagi umatnya, terutama bila mereka berhadapan
dengan zaman yang penuh dengan kacau bilau dan perselisihan iaitu seperti zaman
yang sedang kita hadapi sekarang ini. Oleh itu sesiapa yang mahu selamat maka
hendaklah ia mengikuti tunjuk ajar yang telah disabdakan oleh Rasulullah saw.
dalam hadis, iaitu:
1)
Hendaklah ia menlazimi takwa kepada Allah dalam
keadaan apa jua dengan mengerjakan segala perintah Allah dan menjauhi segala
laranganNya.
2)
Mentaati perintah pihak yang menguruskan hal
ehwal kaum muslimin walaupun seandainya mereka terdiri daripada golongan hamba,
selama mereka berpegang dengan Al Quran dan sunnah Nabi saw. dan sunnah-sunnah
khulafa Ar Rasyidin, kerana patuh kepada penguasa yang mempunyai sifat-sifat
ini bererti patuh kepada Al Quran dan Hadis Nabi saw.
3)
Berpegang teguh kepada sunnah Nabi saw. dan
sunnah para khulafa Ar Rasyidin Al Mahdiyin (Abu Bakar, Omar, Osman dan Ali
r.a.) yang mana mereka telah mendapat petunjuk daripada Allah Taala, iaitulah
berpegang kepada fahaman dan amalan ahli sunnah waljamaah yang mana hanya
penganut fahaman ini sahaja yang mendapat jaminan selamat daripada api neraka
dan yang bertuah mendapatkan syurga pada hari kiamat nanti.
4)
Menjauhi perkara-perkara bid'ah dholalah, iaitu
apa jua fahaman dan amalan yang ditambah kepada agama Islam yang sempurna ini,
pada hal tidak ada dalil atau asal dan contoh dari agama. Sekiranya ada asal
atau dalil, maka tidaklah perkara-perkara yang baru itu dikatakan bid'ah
menurut pengertian syarak (bukan bid'ah dholalah) tetapi hanya dinamakan bid'ah
menurut pengertian loghat atau bahasa sahaja (iaitu bid'ah hasanah).
KENAPA DUNIA ISLAM MENJADI SASARAN PEMUSNAHAN
Daripada Ummul Mu'minin , Zainab binti Jahsy (isteri
Rasulullah saw.), beliau berkata, "(Pada suatu hari) Rasulullah saw. masuk
ke dalam rumahnya dengan keadaan cemas sambil bersabda, La ilaha illallah,
celaka (binasa) bagi bangsa Arab dari kejahatan (malapetaka) yang sudah hampir
menimpa mereka. Pada hari ini telah terbuka dari dinding Ya'juj dan Ma'juj
seperti ini", dan Baginda menemukan ujung jari dan ujung jari yang
sebelahnya (jari telunjuk) yang dengan itu mengisyaratkan seperti bulatan. Saya
(Zainab binti Jahsy) lalu bertanya: "Ya Rasulullah! Apakah kami akan
binasa sedangkan dikalangan kami masih ada orang-orang yang shaleh?" Lalu
Nabi saw. bersabda: "Ya, jikalau kejahatan sudah terlalu
banyak". (Riwayat Bukhari &
Muslim)
Keterangan:
Hadis di atas menerangkan bahawa apabila di suatu tempat
atau negeri sudah terlampau banyak kejahatan, kemungkaran dan kefasiqan, maka
kebinasaan akan menimpa semua orang yang berada di tempat itu. Tidak hanya
kepada orang jahat sahaja, tetapi orangorang yang shaleh juga akan dibinasakan,
walaupun masing-masing pada hari qiamat akan diperhitungkan mengikut amalan
yang telah dilakukan.
Oleh itu, segala macam kemungkaran dan kefasiqan hendaklah
segera dibasmikan dan segala kemaksiatan hendaklah segera dimusnahkan, supaya
tidak terjadi malapetaka yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang
melakukan kemungkaran dan kejahatan tersebut, tetapi ianya menimpa semua
penduduk yang berada di tempat itu.
Dalam hadis di atas, walaupun disebutkan secara khusus
tentang bangsa Arab tetapi yang dimaksudkan adalah seluruh bangsa yang ada di
dunia ini. Tujuan disebutkan bangsa Arab secara khusus adalah kerana Nabi kita
saw. sendiri dari kalangan mereka, dan yang menerima Islam pada masa permulaan
penyebarannya adalah kebanyakannya dari kalangan bangsa Arab dan sedikit sekali
dari bangsa yang lain . Begitu pula halnya dalam masalah yang berkaitan dengan
maju-mundurnya. Umat Islam adalah banyak bergantung kepada maju-mundurnya
bangsa Arab itu sendiri. Selain daripada itu, bahasa rasmi Islam adalah bahasa
Arab.
Kemudian Ya'juj dan Ma'juj pula adalah dua bangsa (dari
keturunan Nabi Adam as.) yang dahulunya banyak membuat kerosakan di permukaan
bumi ini, lalu batas daerah dan kediaman mereka ditutup oleh Zul Qarnain dan
pengikut-pengikutnya dengan campuran besi dan tembaga, maka dengan itu mereka
tidak dapat keluar, sehinggalah hampir tibanya hari qiamat. Maka pada masa itu
dinding yang kuat tadi akan hancur dan keluarlah kedua-dua bangsa ini dari
kediaman mereka lalu kembali membuat kerosakan dipermukaan bumi ini. Apabila
ini telah terjadi, ia menandakan bahawa hari qiamat sudah dekat sekali tibanya.
SELURUH DUNIA DATANG MENGERUMUNI DUNIA ISLAM
Daripada Tsauban r.a. berkata: Rasulullah saw. bersabda;
"Hampir tiba suata masa di mana bangsa-bangsa dan seluruh dunia akan
datang mengerumuni kamu bagaikan orangorang yang hendak makan mengerumuni talam
hidangan mereka". Maka salah seorang sahabat bertanya "Apakah dari
kerana kami sedikit pada hari itu?" Nabi saw. menjawab, "Bahkan kamu
pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah
akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah
akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit 'wahan"'. Seorang sahabat
bertanya, "Apakah wahan itu hai Rasulullah?" Nabi kita nenjawab,
"Cinta pada dunia dan takut pada mati". (Riwayat Abu Daud)
Keterangan:
Memang benar apa yang disabdakan oleh Rasulullah saw. Keadaan
umat Islam pada hari ini, menggambarkan kebenaran apa yang disabdakan oleh
Rasulullah saw. Umat Islam walaupun mereka mempunyai bilangan yang banyak,
iaitu 1,000 juta (1/5 penduduk dunia), tetapi mereka selalu dipersendakan dan
menjadi alat permainan bangsa-bangsa lain. Mereka ditindas, diinjak-injak,
disakiti, dibunuh dan sebagainya. Bangsa-bangsa dari seluruh dunia walau pun
berbeza-beza agama, mereka bersatu untuk melawan dan melumpuhkan kekuatannya.
Sebenarnya, segala kekalahan kaum Muslimin adalah berpunca dari dalam diri kaum
muslimin itu sendiri, iaitu dari penyakit “wahan” yang merupakan penyakit
campuran dari dua unsur yang selalu wujud dalam bentuk kembar dua, iaitu “cinta
dunia” dan “takut mati”. Kedua-dua penyakit ini tidak dapat dipisahkan.
"Cinta dunia" bermakna tamak, rakus, bakhil danti dak mahu
mendermakan harta di jalan Allah swt. Manakala “takut mati” pula bermakna leka
dengan kehidupan dunia dan tidak membuat persiapan untuk menghadapi negeri
akhirat dan tidak ada perasaan untuk berkorban dengan diri dan jiwa dalam
memperjuangkan agama Allah swt. Kita berdoa agar Allah swt. menurunkan
mushrahNya kepada kaum muslimin dan memberikan kepada mereka kejayaan di dunia
dan di akhirat.
ILMU AGAMA AKAN BERANSUR-ANSUR HILANG
Daripada Abdullah bin Amr bin 'ash r.a. berkata: Aku
mendengar Rasulullah saw. bersabda, "Bahawasanya Allah swt. tidak mencabut
(menghilangkan) akan ilmu itu dengan sekaligus dari (dada) manusia. Tetapi
Allah swt. menghilangkan ilmu itu dengan mematikan alim ulama. Maka apabila
sudah ditiadakan alim ulama, orang ramai akan memilih orang-orang yang jahil
sebagai pemimpin mereka. Maka apabila pemimpin yang jahil itu ditanya, mereka
akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Mereka sesat dan menyesatkan orang lain."
(Riwayat Muslim)
Keterangan:
Sekarang ini alim-ulama sudah berkurangan. Satu demi satu
pergi meninggalkan kita. Kalau peribahasa Melayu mengatakan, "patah
tumbuh, hilang berganti", peribahasa ini tidak tepat berlaku kepada alim
ulama. Mereka patah payah tumbuh dan hilang payah berganti. Sampailah suatu
saat nanti permukaan bumi ini akan kosong dari Ulama. Maka pada masa itu sudah
tidak bererti lagi kehidupan di dunia ini. Alam penuh dengan kesesatan. Manusia
telah kehilangan nilai dan pegangan hidup. Sebenarnya, alim ulamalah yang
memberikan makna dan erti pada kehidupan manusia di permukaan bumi ini. Maka
apabila telah pupus alim ulama, hilanglah segala sesuatu yang bernilai.
Di ahir-akhir ini kita telah melihat gejala-gejala yang
menunjukkan hampirnya zaman yang dinyatakan oleh Rasulullah saw. tadi. Di mana
bilangan alim ulama hanya tinggal sedikit dan usaha untuk melahirkannya pula
tidak mendapat perhatian yang sewajarnya. Pondok-pondok dan sekolah-sekolah
agama kurang mendapat perhatian daripada cerdik pandai. Mereka banyak
mengutamakan pengajian-pengajian di bidang urusan keduniaan yang dapat meraih
keuntungan harta benda dunia. Ini lah realiti masyarakat kita di hari ini. Oleh
itu, perlulah kita memikirkan hal ini dan mencari jalan untuk menyelesaikannya.
UMAT ISLAM MENGIKUTI LANGKAH-LANGKAH YAHUDI DAN NASRANI
Daripada Abu Sa’id Al-Khudri ra. berkata, Bahawasanya
Rasulullah saw. bersabda, "Kamu akan mengikuti jejak langkah umat-umat
sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau
mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka.” Sahabat
bertanya, "Ya Rasulullah! Apakah Yahudi dan Nasrani yang kau maksudkan?”
Nabi saw. menjawab, “Siapa lagi kalau bukan mereka".
(Riwayat Muslim)
Keterangan:
Umat Islam akan mengikut jejak langkah ataupun
"carahidup” orang-orang Yahudi dan Nasrani, hinggalah dalam urusan yang
kecil dan perkara-perkara yang tidak munasabah. Contohnya, jikalau orang Yahudi
dan Nasrani masuk ke lubang biawak yang kotor dan sempit sekali pun, orang
Islam akan terus mengikuti mereka. Zaman sekarang ini kita dapat melihat
kenyataan sabdaan Rasulullah saw. ini. Ramai orang Islam yang kehilangan
pegangan di dalam kehidupan. Mereka banyak meniru “carahidup” Yahudi dan
Nasrani samada mereka sedar atau tidak. Ramai orang Islam yang telah
terperangkap dengan tipu helah Yahudi dan Nasrani dan ramai pula orang yang
menjadi alat dan tali barut mereka. Ya Allah! Selamatkanlah kami daripada
mereka.
GOLONGAN ANTI HADITH
Daripada Miqdam bin Ma'dikariba r.a. berkata: Bahawasanya
Rasulullah saw. bersabda, "Hampir tiba suatu masa di mana seorang lelaki
yang sedang duduk bersandar di atas katilnya, lalu disampaikan orang kepadanya
sebuah hadis daripada hadisku maka ia berkata:"Pegangan kami dan kamu
hanyalah kitabullah (Al-Quran) sahaja.Apa yang di halalkan oleh Al-Quran kami
halalkan. Dan apa yang ia haramkan kami haramkan". Kemudian Nabi saw.
melanjutkan sabdanya, "Padahal apa yang diharamkan oleh
Rasulullah saw. samalah hukumnya dengan apa yang diharamkan
oleh Allah swt." (Riwayat Abu
Daud)
Keterangan:
Lelaki yang dimaksudkan di dalam hadis ini adalah seorang
yang mengingkari kedudukan Hadis sebagai sumber hukum yang kedua selepas
Al-Quran. Ia hanya percaya kepada Al-Quran sahaja. Baginya, hadis tidak perlu
untuk dijadikan sumber hukum dan tempat rujukan. Golongan ini tidak syak lagi
telah terkeluar dari ikatan Agama Islam dan pada realitinya seseorang itu tidak
akan dapat memahani Al-Quran jika tidak merujuk kepada hadis Nabi saw..
Al-Quran banyak menerangkan hal-hal yang besar dan garis panduan umum. Maka
Hadislah yang berfungsi untuk memperincikan isi dan kandungan serta kehendak
ayat-ayatnya serta menghuraikan dan menerangkan yang musykil. Oleh kerana itu,
syariat tidak akan sempurna kalau hanya dengan Al-Quran sahaja, tetapi ia mesti
disertai dengan hadis Nabi saw.
GOLONGAN YANG SENTIASA MENANG
Daripada Mughirah bin Syu' bah r.a. berkata: Rasulullah saw.
bersabda, "Sentiasa di kalangan kamu ada golongan yang berjaya (dalam
perjuangan mereka),sehingga sampailah suatu saat yang dikehendaki oleh Allah
swt. Mereka sentiasa berjaya".
(Riwayat Bukhari)
Keterangan:
Allah swt. telah menjadikan umat Islam ini umat yang
terakhir sekali. Oleh itu Allah swt. berjanji akan memelihara kitabnya
(Al-Quran) dan memastikan lahirnya generasi demi generasi yang akan memikul
tugas dakwah hingga tetap wujud golongan mukminin dipermukaan bumi ini.
Kalau kita meneliti sejarah umat Islam mulai zaman permulaan
penyebarannya hingga ke hari ini, kita akan mendapati bahawa umat Islam telah
teruji sepanjang sejarah dengan ujian yang berat-berat. Ujian itu bermula dari
golongan musyrikin di Mekah dan munafiqin, Yahudi dan Nasrani di Madinah
seterusnya gerakan riddah, Majusi yang berselimutkan Islam, golongan
Bathiniyah, pengaruh falsafah dan pemikiran Yunani, serangan bangsa Moghul dan
bangsa Tatar yang menghancurkan tamaddun Baghdad pada pertengahan abad keenam
Hijrah. Begitu pula halnya dengan penyembelihan beramai-ramai terhadap kaum
Muslimin ketika berlakunya kejatuhan kerajaan Islam di Andalus (Sepanyol) dan
seterusnya disambung dengan pengaruh-pengaruh imperialis Barat terhadap dunia
Islam, gerakan Zionis Yahudi dan missionary Nasrani yang mempunyai alatan dan
kemudahan yang banyak dan seterusnya serangan disegi pemikiran dan kebudayaan
dan sebagainya dan sebagainya. Walaupun ujian yang sangat dahsyat melanda umat
Islam di sepanjang sejarah namun mereka masih wujud dan masih lagi mempunyai
identiti dan peranan yang hebat di dalam peta dunia di hari ini.
Walaupun di hari ini ada di kalangan umat Islam yang tidak
mengambil berat tentang agama mereka tetapi masih ada golongan yang
bersungguh-sungguh untuk mempelajari agama dan memperjuangkannya. Walau pun
ramai di kalangan umat Islam yang telah hancur moral dan akhlaknya tetapi masih
ada lagi golongan yang berakhlak tinggi dan berpekerti luhur. Walaupun
syi'ar-syi'ar Islam diinjak-injak di sebahagian tempat tetapi di tempat lain
syi'ar-syi'ar Islam masih lagi gagah dan teguh. Walau pun aktivis-aktivis Islam
ditindas dan diseksa pada suatu tempat tetapi di tempat lain mereka akan
disanjung dan dihormati. Begitulah seterusnya umat Islam tidak akan lenyap dari
permukaan bumi ini hinggalah sampai pada masa yang dikehendaki oleh Allah swt.
Maka pada masa itu Allah swt. akan mematikan semua orang-orang Islam dengan
tiupan angin yang mematikan setiap jiwa yang beriman dan yang tinggal setelah
itu hanyalah orang-orang yang jahat atau orang kafir, maka pada saat itulah
akan berlaku hari qiamat.
PENYAKIT UMAT-UMAT DAHULU
Dan pada Abu Hurairah r.a. katanya: Aku mendengar Rasulullah
saw. bersabda, "Umat ku akan ditimpa penyakit-penyakit yang pernah menimpa
umat-umat dahulu". Sahabat bertanya, "Apakah penyakit-penyakit
umat-umat terdahulu itu?" Nabi saw. menjawab, "Penyakit-penyakit itu
ialah (1) terlalu banyak seronok, (2) terlalu mewah, (3) menghimpun harta
sebanyak mungkin, (4) tipu menipu dalam merebut harta benda dunia, (5) saling
memarahi, (6) hasut menghasut sehingga jadi zalim menzalim".
(Riwayat Hakim)
Keterangan:
Penyakit-penyakit yang disebutkan oleh Rasulullah saw. tadi
telah banyak kita lihat di kalangan kaum muslimin di hari ini. Di sana sini
kita melihat penyakit ini merebak dan menjalar dalam masyarakat dengan
ganasnya. Dunia Islam dilanda krisis rohani yang sangat tajam dan meruncing.
Dengan kekosongan rohani itulah mereka terpaksa mencari dan menimbun harta
benda sebanyak-banyaknya untuk memuaskan hawa nafsu. Maka apabila hawa nafsu
diperturutkan tentunya mereka terpaksa menggunakan segala macam cara dan tipu
helah. Di saat itu, hilanglah nilai-nilai akhlak dan yang wujud hanyalah
kecurangan, khianat, hasud-menghasud dan sebagainya. Marilah kita merenung
maksud hadis ini, dan marilah kita bermuhasabah!
ISLAM KEMBALI DAGANG
Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Bersabda Rasulullah saw,
"Islam mula tersebar dalam keadaan dagang (asing). Dan ia akan kembali
asing pula. Maka beruntunglah orang-orang yang asing". (Riwayat Muslim)
Keterangan:
Islam mulai tersebar di Mekkah dengan keadaan yang sangat
asing dan dagang. Sangat sedikit penganut dan pendukungnya kalau dibandingkan
dengan penentangnya. Kemudian setelah itu Islam tersebar ke seluruh pelusuk
dunia sehingga dianuti oleh dua pertiga penduduk dunia. Kemudian Islam kembali
asing dan dirasa ganjil dari pandangan dunia, bahkan pada pandangan orang Islam
sendiri. Sebahagian daripada orang Islam merasa ganjil dan pelik bila melihat
orang Islam yang iltizam (komitmen) dengan Islam dan cuba mengamalkan tuntutan
Islam yang sebenar. Seorang yang iltizam dengan Islam dipandang sepi oleh
masyarakat dan terlalu susah untuk diterima sebagai individu yang sihat.
Contohnya, kalau ada sesuatu program kemasyarakatan kemudian masuk waktu
sembahyang, tiba-tiba ada seorang yang meminta diri untuk menunaikan
sembahyang, maka tindakan ini dianggap tidak sopan dan kurang wajar. Sedangkan
orang yang tidak bersembahyang sambil bersenda-senda ketika orang lain
bersembahyang tidak dianggap sebagai perbuatan yang salah dan terkutuk.
Begitulah seterusnya nasib lslam di akhir zaman. Ia akan
terasing dan tersisih dari masyarakat, bahkan tersisih dari pandangan orang
Islam sendiri yang mengaku sebagai umat Islam dan marah apabila dikatakan yang
dia bukan orang Islam
BAHAYA KEMEWAHAN
Daripada Ali bin Abi Thalib r.a., "Bahawasanya kami
sedang duduk bersama Rasulullah saw. di dalam masjid. Tiba-tiba datang Mus'ab
bin Umair r.a. dan tiada di atas badannya kecuali hanya sehelai selendang yang
bertampung dengan kulit. Tatkala Rasulullah saw.melihat kepadanya Baginda
menangis dan menitiskan air mata kerana mengenangkan kemewahan Mus'ab ketika
berada di Mekkah dahulu (kerana sangat dimanjakan oleh ibunya) dan kerana
memandang nasib Mus'ab sekarang (ketika berada di Madinah sebagai seorang
Muhajirin yang terpaksa meninggalkan segala harta benda dan kekayaan di
Mekkah). Kemudian Nabi Muhammad saw. bersabda, "Bagaimanakah keadaan kamu
pada suatu saat nanti, pergi di waktu pagi dengan satu pakaian, dan pergi di
waktu petang dengan pakaian yang lain pula. Dan bila diangkatkan satu hidangan
diletakan pula satu hidangan yang lain. Dan kamu menutupi (menghias) rumah kamu
sepertimana kamu memasang kelambu Ka'bah?". Maka jawab sahabat,
"Wahai Rasulullah, tentunya di waktu itu kami lebih baik daripada di hari
ini.Kami akan menberikan penumpuan kepada masalah ibadat sahaja dan tidak usah
mencari rezeki". Lalu Nabi saw. bersabda, "Tidak! Keadaan kamu di
hari ini adalah lebih baik daripada keadaan kamu di hari itu". (Riwayat
Tirmizi)
Keterangan:
Dalam hadis ini Nabi kita Muhammad saw. menerangkan bahawa
umatnya pada suatu masa kelak akan mendapat kekayaan dan kelapangan dalam
kehidupan. Pagi petang pakaian silih berganti. Hidangan makanan tak
putus-putus. Rumah-rumah mereka tersergam indah dan dihias dengan
bermacam-macam perhiasan. Dalam keadaan demikian kita juga mungkin akan berkata
seperti perkataan sahabat. Di mana, kalau semuanya sudah ada, maka senanglah
hendak membuat ibadat. Tetapi Nabi kita Muhammad saw. mengatakan, "Keadaan
serba kekurangan itu adalah lebih baik untuk kita", ertinya lebih
memungkinkan kita untuk beribadat.
Kemewahan hidup banyak menghalang seseorang dari berbuat
ibadat kepada Allah swt., sepertimana yang berlaku di hari ini. Segala yang
kita miliki kalaupun tidak melebihi keperluan, namun ianya sudah mencukupi.
Tetapi, bila dibanding dengan kehidupan para sahabat, kita jauh lebih mewah
daripada mereka, sedangkan ibadat kita sangat jauh ketinggalan. Kekayaan dan
kemewahan yang ada, selalu menyibukkan kita dan menghalang dari berbuat ibadah.
Kita sibuk menghimpun harta dan juga sibuk menjaganya serta sibuk untuk
menambah lebih banyak lagi. Tidak ubah seperti apa yang pernah disabdakan oleh
Rasulullah saw., "Seandainya seorang anak Adam itu telah mempunyai satu
jurang emas, dia berhasrat untuk mencari jurang yang kedua, sehinggalah ia
dimasukkan ke dalam tanah (menemui kematian)".
Begitulah gambaran yang sebenar terhadap kehalobaan manusia dalam
menghimpun harta kekayaan. Ia sentiasa mencari dan menambah, sehinggalah ia
menemui kematian. Maka ketika itu, barulah ia sedarkan dirinya dengan seribu
satu penyesalan. Tetapi di saat itu sudah tidak berguna lagi penyesalan. Oleh
itu janganlah kita lupa daratan dalam mencari harta kekayaan. Tidak kira halal
atau haram, yang penting dapat harta. Tidak kira waktu sembahyang, bahkan semua
waktu digunakan untuk menimbun kekayaan. Biarlah kita mencari mata benda dunia
pada batas-batas keperluan. Kalau berlebihan bolehlah digunakan untuk menolong
orang lain yang kurang bernasib baik, suka menderma dan suka bersedekah,
sebagai simpanan untuk hari akhirat kelak. Orang yang bijak adalah orang yang
mempunyai perhitungan untuk masa akhiratnya dan ia menjadikan dunia ini tempat
bertanam dan akhirat tempat memetik buahnya.