1. Mereka yang Menolak Kebenaran
Surah Al-Anfaal : 22
22. Sesungguhnya binatang (makhluk) yang seburuk-buruknya pada sisi Allah ialah; orang-orang yang pekak dan tuli yang tidak mengerti apa-apapun.
Maksudnya,
manusia yang paling buruk di sisi Allah yang Maha Agung ialah yang
tidak mahu mendengar dan memahami kebenaran. (Rujukan : Tafsir Ibn
Katsir)
Zaman
ini : Setelah mendengar seruan Nabi Muhammad salallahu ‘alaihi wasallam
(saw) mereka mengingkarinya dan mengatakan itu adalah amalan
orang-orang lama (konservatif) dan pemikiran yang beku (jumud). Mereka
menolak hadis-hadis dari Rasulullah saw dengan pelbagai alasan, malah
mengatakan hadis-hadis inilah punca perselisihan dan perpecahan umat
Islam sekarang.
Orang-orang
seperti ini sangat sukar menerima dakwah kerana mereka sendiri enggan
mengakui akan kebenaran Al-Quran dan Nabi Muhammad saw. Perkara ini
bukan hanya terjadi pada orang kafir dan munafik sahaja, malah tergolong
juga pada orang-orang yang mengaku Islam pada mulutnya, tetapi tidak
beriktikad dalam hatinya.
Mereka
tetap bersolat dan melaksanakan ibadah sebagai seorang muslim, tetapi
mereka menolak apa yang diperintahkan Allah yang Maha Agung melalui
Rasul-Nya dan sebenarnya mereka tidak mengetahui mereka telah cenderung
kepada kemunafikan dan kekufuran. Contohnya; Mereka mengatakan ada
perkataan dan hukum yang lebih baik dari Al-Quran, malah mencaci pula
Rasulullah saw dan para sahabatnya r.a.
Hadis : Dari Abu Hurairah : Rasulullah saw bersabda, "Barangsiapa
taat kepadaku, bererti dia telah taat kepada Allah SWT; dan barangsiapa
menderhakaiku, bererti dia derhaka kepada Allah SWT." [Sahih Ibnu Majah]
2. Mereka yang Taksub Mengikuti Tradisi
Surah Al-Baqarah : 170
170. Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Ikutilah apa yang telah diturunkan Allah," mereka menjawab: "(Tidak), tetapi kami hanya mengikuti apa yang telah kami dapati dari (perbuatan) nenek moyang kami".
"(Apakah mereka akan mengikuti juga), walaupun nenek moyang mereka itu
tidak mengetahui suatu apapun, dan tidak mendapat petunjuk?".
Maksudnya,
mereka yang telah diseru supaya mengikut perintah dan larangan Allah
yang Maha Agung, tetapi mereka ingkar dan beralasan tradisi nenek moyang
tidak boleh ditinggalkan, iaitu penyembahan berhala dan membuat
sekutu-sekutu bagi Allah yang Maha Agung. (Rujukan : Tafsir Ibn Katsir)
Zaman
ini : Manusia zaman ini pula tidak terlepas dari mengikut tradisi nenek
moyang mereka walaupun ia bertentangan dengan syariat. Amalan-amalan
khurafat zaman dahulu seperti keris sakti pusaka, cincin geliga yang
mampu menyembuh penyakit, gelang dan rantai yang dapat memberi kesihatan
dan pelbagai lagi sekutu-sekutu yang diciptakan bagi menidakkan
kekuasaan Allah yang Maha Agung.
Selain
itu ada pula yang mengikuti tradisi kitab. Apabila berdakwah kepadanya
mengenai sesuatu amalan atau ibadah yang bercanggah dengan syariat dan
dikemukakan kebenaran dan faktanya, mereka mengatakan kitab itu hasil
nenek moyang mereka dan mereka tetap mengikut kitab itu. Walhal kitab
itu penuh penyelewengan seperti penuh hadis palsu, salah faham dalam
penafsiran dan sebagainya.
Orang-orang seperti ini sangat sukar berdakwah kepadanya kerana mereka begitu taksub dengan tradisi mereka.
Hadis : Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Barangsiapa
menyeru ke jalan petunjuk (kebaikan), maka baginya pahala seperti
pahala orang-orang yang mengikutinya, yang tidak terkurangi sedikitpun
dari pahala-pahala amal mereka sama sekali.
Barangsiapa
menyeru kepada jalan yang menyesatkan, maka baginya dosa semisal (sama)
dosa orang-orang yang mengikutinya, yang tidak terkurangi sedikitpun
dari dosa-dosa mereka sama sekali.” [Sahih Ibnu Majah]
3. Menyangka Majoriti adalah Kebenaran
Apa
yang dimaksudkan adalah; melihat ramai orang yang melakukan sesuatu
kemungkaran, dan kita menyangka bahawa perkara itu dibolehkan dalam
syariat. Contohnya wanita yang memakai tudung yang jarang, wanita yang
berbaju lengan pendek dan mempamerkan bentuk badan, wanita yang menyanyi
di pentas (anugerah itu dan ini) dan pelbagai lagi yang bertentangan
dengan syariat.
Walaupun
contoh diatas pelakunya adalah wanita, tetapi di belakangnya terdapat
kaum lelaki yang membiarkan malah menganjurkannya pula kerana mereka
(lelaki) juga menyangka perkara itu dibolehkan. Ini termasuk para suami
dan para bapa; sedangkan lelaki itu adalah pemimpin kepada wanita dan
mereka akan ditanya tentang kepimpinan mereka.
Surah An-Nisaa' : 34
34. Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita), .......
Apabila tiba hari pembalasan, orang yang dipimpin akan mula menyalahi para pemimpinnya kerana terlalu takut.
Surah Al-Ahzab : 67
67. Dan mereka berkata: "Ya Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mentaati pemimpin-pemimpin dan pembesar-pembesar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan (yang benar).
Apa
yang penting adalah, kebenaran itu didasari dengan ilmu. Di manakah
pula cara, atau sumber kepada ilmu bagi mendapatkan kebenaran?
Jawapannya adalah; Al-Quran dan Hadis termasuk juga ijtihad dan
kesepakatan seluruh ulama. Selain itu terdapat juga ijtihad perseorangan
ulama yang muktabar (kepelbagaian pendapat).
Kebenaran
itu tidak semestinya mengikut majoriti, jika terdapat kesalahan dan
kesilapan orang terdahulu kemudian setelah diketahui kebenarannya,
hendaklah kita menerima dengan hati yang terbuka dan perbetuli kembali
kesalahan dan kesilapan itu agar tidak membiarkan generasi akan datang
terus menerus dalam kesilapan.
Hadis : Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Kalau amanah tidak lagi dipegang teguh, maka tunggulah saat kehancuran.”
Ia (Abu Hurairah) bertanya, ‘Bagaimana orang (yang) tidak memegang teguh amanah itu ya Rasulullah?’
Beliau
(Nabi saw) menjawab, “Kalau sesuatu urusan telah diserahkan kepada
orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat kehancuran.” [Sahih Bukhari]
4. Mereka yang Berilmu Pengetahuan
Surah Al-Mu'min : 83
83. Maka tatkala datang kepada mereka rasul-rasul (yang diutus kepada) mereka dengan membawa keterangan-keterangan, mereka merasa senang dengan pengetahuan yang ada pada mereka dan mereka dikepung oleh azab Allah yang selalu mereka perolok-olokkan itu.
Di
antara orang yang paling sukar didakwahkan juga adalah orang yang
‘menyangka’ dia sudah mempunyai ilmu pengetahuan yang cukup. Sebarang
pendapat yang berlainan dengannya akan ditentang habis-habisan walaupun
bertentangan dengan hadis Nabi saw. Mereka akan berhujah dengan kitab
itu dan ini, kata-kata guru itu dan guru ini malah mereka lebih mengikut
pendapat guru dan kitab mereka melebihi perkataan Rasulullah saw
sendiri.
Apa
yang lebih melucukan adalah, mereka menggunakan dalil yang langsung
tidak layak seperti suratkhabar, radio dan sebagainya bagi menentang
atau beralasan menolak hadis Rasulullah saw.
Hadis (diringkaskan): Dari Irbadh bin Sariyah : Rasulullah saw bersabda, “....Kamu
akan melihat perselisihan yang sangat dahsyat sesudahku, maka hendaklah
kamu berpegang pada Sunnah-ku dan Sunnah-Khulafa ur rasyidin yang
mendapat petunjuk. Gigitlah dengan gigi gerahammu dan jauhilah
perkara-perkara baru, sesungguhnya setiap bidaah (perkara baru dalam
agama) adalah sesat.”
5. Orang yang Mempunyai Pangkat, Harta dan Kuasa
Surah Az-Zumar : 49
49. Maka apabila manusia ditimpa bahaya ia menyeru Kami, kemudian apabila Kami berikan kepadanya nikmat dari Kami, ia berkata: "Sesungguhnya aku diberi nikmat itu hanyalah kerana kepintaranku." Sebenarnya itu adalah ujian, tetapi kebanyakan mereka itu tidak mengetahui.
Umum
kita mengetahui sepanjang sejarah dakwah para Rasul dan Nabi mempunyai
banyak tentangan dari orang yang mempunyai pangkat, harta dan kuasa
(sila rujuk sirah para Nabi dan Rasul). Keadaan ini berterusan pula
sehingga ke hari ini, tetapi perlu diingat bahawa pengulangan sejarah
ini adalah sebagai satu pengajaran buat umat zaman akhir ini. Apakah
yang telah terjadi kepada orang-orang yang menentang risalah Rasul
mereka? Mereka menerima kebinasaan di dunia dan di akhirat.
Mereka
menganggap segala nikmat yang diberikan oleh Allah yang Maha Agung
adalah kerana hasil usaha mereka sendiri. Mereka lupa bahawa nikmat itu
pasti akan ditanya kembali pada hari pembalasan mengenai apakah yang
telah mereka perbuat terhadap nikmat itu. Mari kita perhatikan kata-kata
Qarun;
Surah Al-Qashash : 78
78. Qarun berkata: "Sesungguhnya aku hanya diberi harta itu, kerana ilmu yang ada padaku."
Dan apakah ia tidak mengetahui, bahwasanya Allah sungguh telah
membinasakan umat-umat sebelumnya yang lebih kuat daripadanya, dan lebih
banyak mengumpulkan harta? Dan tidaklah perlu ditanya kepada
orang-orang yang berdosa itu, tentang dosa-dosa mereka.
Kedua-dua
ayat diatas menyatakan akan kesombongan golongan yang kelima ini.
Apabila didakwahkan kepada mereka agar mentaati perintah Allah yang Maha
Agung dan Rasul-Nya, mereka sangat sombong; mereka berkata ada
perkataan yang lebih baik dari itu pada zaman moden ini. Tujuan mereka
tidak lain hanyalah untuk menambah kekayaan mereka sahaja dan takut rugi
dari segi kehilangan pengaruh dan kuasa.
Hadis : Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Setiap umat ku masuk ke dalam syurga, selain orang yang enggan.”
Mereka bertanya, ‘Ya, Rasulullah, Siapakah yang enggan (masuk syurga) itu?’
Jawab
Nabi saw, “Siapa yang mematuhi perintah ku, masuk syurga dan siapa yang
melanggar perintah ku, maka sesungguhnya orang itu enggan (masuk
syurga).” [Sahih Bukhari]
6. Sangka Buruk
Surah Al-Hujuraat : 12
12.
Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan prasangka, kerana
sebahagian dari prasangka itu dosa. Dan janganlah mencari-cari keburukan
orang dan janganlah menggunjing (memfitnah, mengumpat atau mengata)
satu sama lain. Adakah seorang diantara kamu yang suka memakan daging
saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya.
Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat
lagi Maha Penyayang.
Mereka
ini sentiasa bersangka buruk pada orang lain, terutamanya kepada
orang-orang yang mempunyai kelebihan dari mereka. Mereka mencari-cari
kesalahan orang lain tanpa melihat diri sendiri. Mereka juga menganggap
mudah mengenai hal-hal ilmu agama dan melihat orang lain lebih rendah
dari mereka.
Surah Al-Hujuraat : 11
11.
Hai orang-orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang laki-laki
merendahkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang ditertawakan itu lebih
baik dari mereka. Dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan
kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik. Dan janganlah suka mencela dirimu sendiri dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandung ejekan.
Mencela
diri sendiri juga bermaksud mencela para mukmin yang lain. Orang
seperti ini sukar didakwahkan kerana mereka menganggap orang lain semua
sama seperti mereka termasuk juga para ilmuwan dan pendakwah. Padahal di
dalam Al-Quran jelas mengatakan orang yang berilmu tidak sama dengan
orang yang jahil.
Surah Az-Zumar : 9
9. .......... Katakanlah: "Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran.
Hadis : Dari Aisyah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Orang yang sangat dibenci Allah ialah orang yang suka bermusuh-musuhan.” [Sahih Bukhari]
Akhirnya....
Surah Al-Baqarah : 153
Hai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai
penolongmu, sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar.
Hadis : Dari Mu’awiyah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Sentiasa
ada segolongan umat ku yang selalu berjuang menegakkan agama
AllahTa’ala. Mereka tidak akan celaka oleh orang-orang yang menghina
atau menentang mereka sampai hari kiamat. Bahkan mereka tetap menang
atas semua manusia.” [Sahih Muslim]