Qiraat (bacaan): Jenis-jenis bacaan yang boleh dibaca oleh pembaca al-Qur'an, dengan syarat sipembaca mengetahui sumbernya dan memahami letaknya perbezaan bacaan itu pada mana-mana ayat. Haram membacanya tanpa berpandukan kepada qira'at yang asli daripada perawinya. Perbezaan kata-kata wahyu dalam lafaz, pembawakan, dialek dan posisi dalam kalimah yang kesemuanya diriwayatkan secara mutawatir dari Nabi s.a.w.
Bacaan al-Qur'an atau tarannum yang biasa kita baca hari ini dan biasa kita dengar bacaannya dari para qari dan qari'ah samada di Asia Tenggara atau di Timur Tengah adalah berpandukan riwayat Hafs. Riwayat Hafs ini digunakan oleh 3 qira'at iaitu, Abu Amr Al-Bashri, ‘Asim Al-Kufi dan Al-Kisai Al-Kufi.
Qiraat terkenal: Qiraat yang terkenal ada 10 Qiraat, masing-masing dinisbahkan kepada seorang imam qiraat, yang terkenal dengan dua orang rawi. Berikut ini, nama-nama imam tersebut beserta para perawi mereka:
1. Nafi‘ al-Madani, dua perawinya adalah: Qalun dan Warsy
2. Ibnu Katsir Al-Makki, dua perawinya adalah: Al-Bazzi dan Qunbul
3. Abu Amr Al-Bashri, dua perawinya adalah: Hafsh Ad-Duri dan As-Susi
4. Ibnu ‘Amir Asy-Syami, dua perawinya adalah: Hisyam dan Ibnu Zakwan
5. ‘Asim Al-Kufi, dua perawinya adalah: Syu‘bah dan Hafsh
6. Hamzah Al-Kufi, dua perawinya adalah: Khalaf dan Khallad
7. Al-Kisai Al-Kufi, dua perawinya adalah: Abul Harits dan Hafsh Ad-Duri
8. Abu Jakfar Al-Madani, dua perawinya adalah: Ibnu Wardan dan Ibnu Jimaz
9. Ya‘qub Al-Hadrami, dua periwayatnya adalah: Ruwais dan Rauh
10. Khalaf Al-‘Asyir, dua periwayatnya adalah: Ishaq dan Idris
Pengertian Tarannum Al-Quran
Tarannum adalah berasal daripada perkataan Arab iaitu tarannama, yatarannamu tarannum yang membawa maksud berdendang atau menyanyi. Dr Ruuhi al-Balbaki, pakar bahasa Arab pula menyatakan bahawa kata akar bagi perkataan tarannum ini ialah rannama, yurannimu, tarnim yang membawa maksud “intonation, modulation, recital, chanting, singing and humming” iaitu yang merangkumi maksud intonasi, nyanyian dan bacaan yang baik.
Tarannum adalah suatu ilmu atau kaedah suara yang dipelbagaikan mengikut proses Nada, Rentak dan Irama tertentu.
Nada adalah tingkatan atau tekanan bunyi suara.
Rentak adalah pergerakan yang menghidupkan bunyi suara.
Irama adalah alunan atau bentuk bunyi.
Tarannum adalah suatu istilah yang diguna pakai oleh RasuluLlah SAW. Sabda Baginda:
ما أذن الله لشىء ما أذن لنبى حسن الترنم بالقرأن.
(رواه البخارى)
Maksudnya: "Apa yang diizinkan Allah atas sesuatu itu ialah apa yang diizinkan kepada nabinya yang selalu mengelokkan lagu (tarannum) bacaan al-Quran”.
Sejarah Tarannum
Rasulullah s.a.w. menerima Al-Quran pada tahun 610 masihi. Baginda memerintahkan umatnya membaca Al-Quran dengan suara yang elok serta diperindahkan lagi (tazyin / tarannum). Kemudian terdapat beberapa orang sahabat yang masyhur sebagai qari-qari yang baik antaranya Abdullah bin Mas’ud RA, Abu Musa Asy’ari dan ramai lagi.
Kemudian pada zaman tabiin muncul pula qari-qari seperti Alqamah bin Qis di Kufah (Tahun 62 hijrah). Abdullah b Saib di Mekah (70 hijrah) dan lain-lain. Begitulah sejarah pembacaan Al-Quran bertarannum yang terus berkembang sehingga ke hari ini.
Oleh kerana tarannum sesuatu yang bersifat seni pendengaran (sima’i), maka Jumhur qurra bersepakat bahawa tidak diketahui secara sanadnya bagaimanakah bacaan berlagu Rasulullah s.a.w. itu. Ketika zaman keagungan Islam dahulu, cabang-cabang ilmu Islam begitu pesat berkembang serta mempunyai berbagai aliran (mazhab). Seiring dengan itu, ilmu tarannum juga membangun serta mempunyai berbagai aliran yang popular antaranya: Misri (Mesir).Hijazi (Mekah dan Madinah), Iraqi, Kurdi (sempadan Iraq dan Turki), ‘Ajami (Iran) dan lain-lain. Kini aliran yang paling popular dan diterima di seluruh dunia ialah aliran Misri. Qari-qari Mesir yang muktabar telah mengambil dan mengubah suai tarannum-tarannum atau lebih mereka sebutkan sebagai ilmu maqamat itu dari aliran-aliran di atas mengikut budaya mereka serta mengarabkannya untuk bacaan Al-Quran.
Perbandingan Aliran Hijazi dan Misri
Aliran Hijazi
• Padang pasir.• Bukit bukau.• Suhu tinggi. Lalu: irama dan rentaknya lincah dan nada suaranya tinggi kehangatan.
Aliran Misri
• Lembah nil.• Subur menghijau.• Suhu sederhana.Lalu: irama dan rentaknya lembut dan suaranya sederhana kemanisan.
Asal Ilham Tarannum
Manusia yang berjiwa seni selalulah mendapat idea-idea dari persekitarannya. Sejak zaman silam, pengaruh bunyi geseran kayu, bunyi tiupan angin, bunyi kicauan burung, bunyi air mengalir dan lain-lain telah mencetuskan idea untuk membuat lagu ataupun di dalam bahasa arab disebut At-Tarannum, Al-Ghina, ataupun ilmu Al-Maqamat.
Hukum Umum Bertarannum
Berdasarkan kaedah fiqhiyyah serta pandangan alim-ulama, bolehlah kita fahami bahawa hukum bertarannum adalah seperti berikut;
1. Fardhu (kifayah) : jika hanya dengan berlagu dapat mengajak masyarakat ingin mendekati Al-Quran.
2. Sunat : jika dengan berlagu boleh membantu kesempurnaan hati.
3. Harus : untuk mengambil keseronokan mendengar alunan yang indah.
4. Makruh : jika dengan berlagu tiada langsung kebaikan keagamaan diperolehi.
5. Haram : jika mahu menunjuk-nunjuk kepada orang yang mendengar atau riyak atau ujub. Atau jika merosakkan hukum-hukum tajwid, meniru-niru lagu keagamaan lain, meniru-niru lagu penyanyi-penyanyi yang hanya melekakan dan lain-lain.
Sabda Rasulullah s.a.w.:
اقرؤوا القرأن بلحون العرب وأصواتها، وإياكم ولحون أهل الكتابين وأهل الفسق، فإنه سيجئ بعدي قوم يرجعون بالقرأن ترجيع الغناء والرهبانية والنوح. لا يجاوز حناجزهم مفتونة قلوبهم وقلوب من يعجبهم شأنهم.
(رواه الطبرني والبيهق)
Maksudnya: "Bacalah al-Quran itu dengan gaya lagu dan suara yang berlahjah Arab dan jangan sekali-kali menbaca dengan lagu dan suara yang berlahjah keYahudian atau keNasranian. Demikian juga lagu-lagu ahli fasik/penyanyi (Biduan dan Biduanita). Maka sesungguhnya sepeninggalanku nanti, akan muncul satu golongan yang sengaja membaca al-Quran dengan lagu-lagu yang dipopularkan sebagai nyanyian penghibur, pendeta dan perintih yang tiada melampaui khalkum mereka, hati mereka sudah terfitnah, apa lagi hati mereka yang mengkaguminya".
Kata Ibnu Kathir: “Bahawasanya (berlagu) yang dikehendaki mengikut hukum syarak hanyalah mengelokkan suara yang menimbulkan rasa penghayatan (tadabbur), kefahaman, kekhusyukan, kerendahan hati serta memandu kearah ketaatan kepada Allah SWT.”
Falsafah Tarannum
Suatu usaha bernilai tinggi bagi menghubungi rasa hati pembaca dan pendengar kepada keagungan Allah Tuhan Pencipta.
PEMBAHAGIAN ILMU TARANNUM
زينوا القرأن بأصواتكم
(ابو داوود)
Hendaklah kamu menghiasi bacaan (mencantikkan) bacaan Al-Quran dengan suara-suara kamu (dengan mempelbagaikan suara kamu).
Tarannum adalah perhiasan kepada bacaan Al-Quran. Tarannum sangat berkait rapat dengan suara kerana dari suara yang elok dan tersusunlah lahirnya tarannum.
Tarannum secara umumnya terbahagi kepada dua kategori:
a). Tarannum bit Tahqiq – Tarannum yang dibaca dengan kadar tahqiq menurut kaedah ilmu tajwid. Biasanya kategori ini diamalkan oleh Qari-qari mesir muktabar seperti Syeikh Abdul Basit Abdul Samad dan lain-lain. Kategori ini digunapakai di dalam Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa.
b). Tarannum bit Tadwir – Tarannum yang dibaca dengan kadar Tadwir menurut kaedah ilmu tajwid. Biasanya kategori ini diamalkan oleh oleh Imam-imam Makkah Al-Mukarramah dan Madinah Al-Munawwarah seperti Fadhilatud Duktur Abdur Rahman bin Abdul Aziz Al-sudais dan lain-lain.
ASAS ALIRAN TARANNUM
Aliran tarannum Hijazi popular di dunia Islam sebelum tahun 1940-an. Lagu-lagu asas mereka boleh diketahui dengan kata-kata “Bihumurin jasad”
1. Banjakah.
2. Husaini.
3. Mayyah.
4. Rakbi.
5. Jiharkah.
6. Sikah.
7. Dukah.
Selain itu terdapat pula lagu-lagu cabang seperti Ruma, Ushshak. Sun’ani, Yaman Hijaz, Hirab dan lain-lain.
Asas Tarannum Aliran Misri
Selepas tahun 1940-an hingga ke hari ini, aliran tarannum Misri pulalah yang popular. Tarannum asas aliran Misri ialah:
1. Bayyati.
2. Soba.
3. Hijaz.
4. Nahawand.
5. Rast.
6. Sikah.
7. Jiharkah.
Selanjutnya terdapat pula tarannum-tarannum seperti Husaini, Huzam, Farahfaza, Shad, Nawa Athar, Rahat El Arwah dan lain-lain yang kini dianggap sebagai lagu-lagu cabang (furu).
Terdapat tarannum-tarannum yang bersamaan nama di dalam aliran Hijazi dan aliran Misri, malah terdapat juga tarannum Misri yang diberi nama Hijaz. Ini menunjukkan keterbukaan dan keilmuan qari-qari Mesir dalam mengambil, mengubahsuai dan memperbaharui kearah mencantikkan lagi tarannum-tarannum sesuai dengan suasana, peredaran zaman dan citarasa terkini, tetapi tidaklah sampai menghilangkan identiti asal dan yang paling utama, keutuhan tarannum bil Quran yang berlahjah arab.
Untuk bertarannum, para Qari semestilah mengenali beberapa komponan penting untuk mengarabkan bacaan mereka .
2.3.1 Harkat (suatu alunan irama yang mengandungi beberapa qit’ah dan satu mahattah).
2.3.2 Qit’ah (suatu alunan irama pendek tanpa mahattah).
2.3.3 Burdah asli dan sina’i (bunga-bunga suara yang terjadi dengan sendirinya dan yang digubah).
2.3.4 Mahattah (suatu bentuk atau gaya penghujung harkat yang sempurna).
2.3.5 Salalim su’ud dan nuzul (suara mendaki dan menurun – mengikut ilmu tangga-tangga suara ).
2.3.6 Ihtilal al-lahn (kemahiran mencondongkan suara).
2.3.7 Wuslah al-mumathalah (kemahiran menggabungkan alunan beberapa tarannum yang sesuai di dalam satu harkat).
FALSAFAH TARANNUM BIL-QURAN
Melagukan bacaan al-Quran adalah satu usaha ke arah pencapaian amalan membaca al-Quran yang bernilai tinggi bagi menhubungkan rasa hati pembaca dengan pendengar kepada keagungan Allah S.W.T. Bertarannum tanpa memahami falsafahnya adalah satu penyelewengan. Antara Falsafah tarannum ialah:
1. Untuk menghormati status al-Quran sebagai wahyu yang paling agung. Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud: “diturunkan al-Quran itu dengan penuh kebesaran dan kehormatan”. (Riwayat Muslim)
2. Untuk menambahkan kekusyukan dan keinsafan kepada pembaca dan pendengar terhadap ayat-ayat al-Quran sebagaimana firman Allah Ta’ala yang bermaksud: “Mereka segera menundukkan muka sambil menangis sedangkan al-quran itu boleh menambahkan kekusyukan dan keinsafan”. (Surah al-Isra’:ayat 109)
3. Untuk mendapat rahmat Allah SWT. Firman Allah Ta’ala bermaksud: “Dan apabila al-Quran di baca hendaklah kamu mendengarnya dan diam (untuk memerhati dan dengar bacaannya) semoga kamu beroleh rahmat Allah Ta’ala”. (Surah al-A’raf:ayat 204).
4. Untuk menambah keunikan seni bacaan al-Quran itu, seperti sabda Rasulullah SAW: “ Perelokkan bacaan al-Quran itu dengan keelokan suara kamu. Sesungguhnya dengan suara yang elok sahaja mampu menambahkan keindahan seni al-Quran”.
JENIS-JENIS TARANNUM SECARA RINGKAS
TARANNUM BAYYATI
Perkataan bayyati adalah dari bahasa Arab yang bererti rumah atau tempat kediaman.
Sifat Tarannum Al-Bayyati
• Lembut disamping tegas.
• Sesuai dengan tobaqot sederhana.
• Harmoni.
• Berunsur ketenangan.
Peranan Tarannum Al-Bayyati
• Memantapkan persembahan.
• Sesuai sebagai tarannum pembukaan dan penutup.
• Pengukuran kepada tarannum sesudahnya.
• Dapat menimbulkan kesenian fasohah Al-Quran.
• Dapat menimbulkan perasaan mengkagumi mukjizat Al-Quran.
TARANNUM SOBA
Bermaksud rindu. dipopularkan kini oleh qari mesir
Sifat Tarannum Soba
• Gerak ringan meresap jiwa.
• Alunan lembut yang mendayu.
• Sesuai dengan tobaqot sederhana.
• Sesuai dengan ayat memohon, merayu, merintih dan sebagainya.
Peranan Tarannum Soba
• Menenangkan persembahan.
• Membawa kekhusyukan dan keinsafan.
• Dapat menimbulkan kesenian fasohah Al-Quran.
• Dapat menimbulkan perasaan mengkagumi mukjizat Al-Quran.
TARANNUM HIJAZ
Hijaz ialah sebuah kawasan di dalam Arab Saudi. Sangat popular sebagai suatu cabang pelopor tarannum dahulu. Tetapi kini tarannum hijaz telah diubahsuai oleh Qari-qari Mesir mengikut zouq budaya mereka.
Sifat Tarannum Hijaz
• Gerak lambat tapi berkesan.
• Ketegasan pendorong semangat.
• Kelincahan menghidupkan persembahan.
• Sesuai dengan mana-mana tobaqot.
• Sesuai dengan ayat perintah, tegas atau marah.
Peranan Tarannum Hijaz.
• Memberi semangat kepada persembahan.
• Memberi kepuasan kepada pembaca dan pendengar.
• Memberi tenaga kepada tarannum sesudahnya.
• Menunjukkan Ketegasan kepada mesej Al-Quran.
• Dapat menimbulkan kesenian fasohah Al-Quran.
• Dapat menimbulkan perasaan mengkagumi mukjizat Al-Quran.
TARANNUM NAHWAND
Nahwand juga adalah nama suatu tempat. Terletak di Hamadan Parsi (kini Iran). Tetapi kini tarannum nahawand telah diubahsuai oleh qari-qari Mesir mengikut zouq budaya mereka.
Sifat Tarannum Nahwand
• Gerak ringan yang berkesan.
• Kelembutan bersopan.
• Sederhana memikat jiwa.
• Kehalusan seni.
• Sesuai dengan tobaqot sederhana.
Peranan Tarannum Nahawand
• Melembutkan bacaan.
• Menenangkan jiwa pembaca dan pendengar.
• Sesuai dengan ayat memohon, bercerita dan sebagainya.
• Dapat menimbulkan kesenian fasohah Al-Quran.
• Dapat menimbulkan perasaan mengkagumi mukjizat Al-Quran.
TARANNUM RAST
Berasal dari parsi (iran) kemudian digunapakai oleh qari-qari Hijazi. Tetapi kini tarannum rast telah diubahsuai oleh qari-qari Mesir mengikut zouq budaya mereka.
Sifat Tarannum Rast
• Gerak lembut disamping ketegasan.
• Kelembutan alunan.
• Lincah menyemarakkan.
• Sesuai dengan mana-mana tobaqot.
• Sesuai dengan mana-mana bentuk ayat.
Peranan Tarannum Rast
• Memberi semangat kepada persembahan.
• Memberi tenaga kepada tarannum berikutnya.
• Memberi kepuasan kepada pembaca dan pendengar.
• Dapat menimbulkan kesenian fasohah Al-Quran.
• Dapat menimbulkan perasaan mengkagumi mukjizat Al-Quran.
TARANNUM SIKAH
Berasal dari parsi (iran) kemudian digunapakai oleh qari-qari Hijazi (pada kurun-kurun 7 masihi hingga 19 masihi). Tetapi kini tarannum Sikah telah diubahsuai oleh qari-qari Mesir mengikut zouq budaya mereka.
Sifat Tarannum Sikah
• Gerak lambat meyakinkan.
• Kelembutan menusuk kalbu.
• Berciri kesedihan dan kerintihan.
• Sesuai dengan ayat-ayat merayu, memohon, merintih dan sebagainya.
• Sesuai dengan mana-mana tobaqot.
Peranan Tarannum Sikah
• Melembutkan persembahan.
• Memberi kepuasan kepada pembaca dan pendengar.
• Membawa kekhusukan dan keinsafan.
• Dapat menimbulkan kesenian fasohah Al-Quran.
• Dapat menimbulkan perasaan mengkagumi mukjizat Al-Quran.
TARANNUM JIHARKAH
Berasal dari parsi (iran) kemudian digunapakai oleh qari-qari Hijazi (pada kurun-kurun 7 masihi hingga 19 masihi). Tetapi kini tarannum Jiharkah telah diubahsuai oleh qari-qari Mesir mengikut zouq budaya mereka.
Sifat Tarannum Jiharkah
• Gerak ringan yang berkesan.
• Kelembutan menusuk kalbu.
• Harmoni.
• Sesuai dengan ayat-ayat merayu, memohon, merintih dan sebagainya.
• Sesuai dengan tobaqot sederhana.
Peranan Tarannum Jiharkah
• Menenangkan ketegangan persembahan.
• Melembutkan persembahan.
• Membawa kekhusukan dan keinsafan.
• Dapat menimbulkan kesenian fasohah Al-Quran.
• Dapat menimbulkan perasaan mengkagumi mukjizat Al-Quran.