Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah ditanya tentang ucapan selamat pada hari raya maka beliau menjawab [Majmu Al-Fatawa 24/253] : "Ucapan pada hari raya, di mana sebahagian orang mengatakan kepada yang lain jika bertemu setelah solat Ied :
"Semoga Allah menerima dari kami dan dari kalian"
Dan ucapan selainnya, ini telah diriwayatkan dari sekelompok sahabat bahawa mereka mengerjakannya. Dan para imam memberi rukhshah untuk melakukannya seperti Imam Ahmad dan selainnya, akan tetapi Imam Ahmad berkata : Aku tidak pernah memulainya mengucapkan selamat kepada seorangpun, namun bila ada orang yang mendahuluiku mengucapkannya maka aku menjawabnya, kerana menjawab tahiyyah
(ucapan selamat) hukumnya wajib. Adapun mendahuluinya, dengan mengucapkan tahniah (ucapan selamat) bukanlah sunnah yang diperintahkan dan tidak pula dilarang. Barangsiapa mengerjakannya maka baginya ada contoh dan siapa yang meninggalkannya baginya juga ada contoh. [ Al Jalal As Suyuthi menyebutkan dalam risalahnya " Wushul Al Amani bi Ushul At Tahani" beberapa atsar yang berasal lebih dari satu ulama Salaf, di dalamnya ada penyebutan ucapan selamat. Kitab itu dicetak bersama ; Al Haari lil Fatawa 1/81-82, merujuklah padanya. al Maudhu’ fi Ma’rifatul Hadits al Maudhu’ oleh Al ‘Allamah ‘Ali al Qaari (87) dengan ta’liq muhaqiq atasnya]
Berkata Al Hafidh Ibnu Hajar[Fathul Bari 2/446] : "Dalam "Al Mahamiliyat" dengan isnad yang hasan dari Jubair bin Nufair, ia berkata, Para sahabat Nabi s.a.w bila bertemu pada hari raya, maka berkata sebahagian mereka kepada yang lainnya :
"Semoga Allah menerima dari kami dan darimu"
Ibnu Qudamah dalam "Al-Mughni" (2/259) menyebutkan bahawa Muhammad bin Ziyad berkata : "Aku pernah bersama Abu Umamah Al Bahili dan selainnya dari kalangan sahabat Nabi s.a.w. Mereka bila
kembali dari shalat Id berkata sebahagiannya kepada sebahagian yang lain :
"Semoga Allah menerima dari kami dan darimu"
Imam Ahmad menyatakan : "Isnad hadis Abu Umamah jayyid (bagus)" [Lihat Al Jauharun Naqi 3/320. Berkata Suyuthi dalam 'Al-Hawi: (1/81) : Isnadnya hasan]
Adapun ucapan selamat : (Kullu 'aamin wa antum bikhair) atau yang seumpamanya seperti yang banyak dilakukan manusia, maka ini tertolak tidak diterima, bahkan termasuk perkara yang disinggung dalam firman Allah, "Apakah kalian ingin mengambil sesuatu yang rendah sebagai pengganti yang lebih baik.?"
Kemungkaran-kemungkaran yang berlaku ketika Hari Raya
Ketahuilah wahai saudaraku muslim -semoga Allah memberi taufik kepadaku dan kepadamu- sesungguhnya kebahagiaan yang ada pada hari-hari raya kadang- kadang membuat manusia lupa atau sengaja melupakan perkara-perkara agama mereka dan hukum-hukum yang ada dalam Islam. Sehingga engkau melihat mereka banyak berbuat kemaksiatan dan kemungkaran-kemungkaran dalam keadaan mereka menyangka bahawa mereka telah berbuat sebaik-baiknya !! Semua inilah yang mendorongku untuk menambahkan pembahasan
yang bermanfaat ini dalam tulisanku, agar menjadi peringatan bagi kaum muslimin dari perkara yang mereka lupakan dan mengingatkan mereka atas apa yang mereka telah lalai darinya (Kemungkinan-kemungkinan yang disebutkan secara umum dilakukan pada waktu hari raya ataupun di luar hari raya, akan tetapi kemungkaran itu lebih besar dan bertambah dilakukan pada hari-hari raya].
Diantara kemungkaran itu adalah :
Pertama : Berhias dengan mencukur janggut
Perkara ini banyak dilakukan manusia. Padahal mencukur janggut merupakan perbuatan yang diharamkan dalam agama Allah sebagaimana ditunjukkan dalam hadis-hadis yang sahih yang berisi perintah untuk memanjangkan janggut agar tidak tasyabbuh (menyerupai) orang-orang kafir yang kita diperintah untuk menyelisihi mereka. Selain berkaitan dengan hal itu, memanjangkan janggut termasuk fitrah (bagi laki-laki) yang tidak boleh kita rubah. Dalil-dalil tentang keharaman mencukur janggut terdapat dalam kitab-kitab Imam Madzhab yang empat yang telah dikenal [Fathul Bari 10/351, Al-Ikhtiyar Al- Ilmiyah 6, Al-Muhalla 2/220, Ghidza'ul Albab 1/376 dan selainnya. Al-Akh Syaikh Muhammad bin Ismail telah meneliti dalam kitabnya "Adillah Tahrim Halqil Lihyah" hadis-hadis yang ada dalam masalah ini, kemudian ia menyebutkan penjelasan ulama tentangnya, dan juga nukilan-nukilan dari kitab-kitab mazhab yang jadi sandaran. lihat juga "Majallah Al-Azhar" 7/328. Aku telah menulis risalah berjudul "Hukum Ad-Dien Fil Lihyah wat tadkhin" ]
Kedua : Berjabat tangan dengan wanita yang bukan mahramnya
Ini merupakan bencana yang banyak menimpa kaum muslimin, tidak ada yang selamat darinya kecuali orang yang dirahmati Allah. Perbuatan ini haram berdasarkan sabda Nabi s.a.w, “ Seseorang ditusukkan jarum besi pada kepalanya adalah lebih baik baginya daripada menyentuh wanita yang tidak halal baginya" [Hadis Sahih, lihat takhrijnya secara panjang lebar dalam "Juz'u Ittiba' is Sunnah No. 15 oleh Adl-Dliya Al-Maqdisi dengan tahqiqku. Diriwayatkan ar Rauyaani dalam musnadnya 227/2 dari Ma’qil bin Yasaar dan sanadnya jayyid lihat Silsilah Ahadits ash Shohihah karya Al Albani no 226]
Keharaman perbuatan ini diterangkan juga dalam kitab-kitab empat Imam Mazhab yang terkenal [Lihat 'Syarhu An Nawawi ala Muslim 13/10, Hasyiyah Ibnu Abidin 5/235, Aridlah Al-Ahwadzi 7/95 dan Adlwau; Bayan 6/603]
Ketiga : Tasyabbuh (meniru) orang-orang kafir dan orang-orang barat dalam berpakaian dan mendengarkan alat-lat muzik serta perbuatan mungkar lainnya.
Nabi s.a.w telah bersabda, “ Siapa yang menyerupai suatu kaum maka ia termasuk golongan mereka" [Hadis ini dikeluarkan oleh Ahmad 2/50 dan 92 dari Ibnu Umar dan isnadnya Hasan. Diriwayatkan oleh Ath-Thahawi dalam Musykil Al Atsar 1/88 dari Hassan bin Athiyah, Abu Nu'aim dalam Akhbar Ashbahan 1/129 dari Anas, meskipun ada pembicaraan padanya, tetapi dengan jalan-jalan tadi, hadis ini darjatnya Sahih]
Rasulullah s.a.w juga bersabda, “ Benar-benar akan ada pada umatku beberapa kaum yang mereka menghalalkan zina, sutera (bagi laki-laki ), khamr dan alat-alat muzik. Dan benar-benar akan turun beberapa kaum menuju kaki gunung untuk melepaskan gembalaan mereka sambil beristirahat, kemudian mereka didatangi seorang fasik untuk suatu keperluan. Kemudian mereka berkata : 'Kembalilah kepada kami esok!' Lalu Allah membinasakan dan menimpakan gunung itu pada mereka dan sebahagian mereka diubah oleh Allah menjadi kera-kera dan babi-babi hingga hari kiamat" [Hadis Riwayat Bukhari 5590 secara muallaq dan bersambung menurut Abu Daud 4039, Al-Baihaqi 10/221 dan selainnya. berkata Al-Hafidzh dalam Hadyu As-Sari 59 : Al-Hasan bin Sufyan menyambungnya dalam Musnadnya, dan Al-Isma'ili, Ath-Thabrani dalam Al-Kabir. Abu Nua'im dari empat jalan, dan Ibnu Hibban dalam Sahihnya dan selain mereka. Aku katakan : Dalam hadis ini ada lafaz-lafaz yang asing, aku akan menjelaskannya dengan berurutan. Sabdanya, al Hira ialah al Faraj (kemaluan), maksudnya perzinaan. AL Ma’azif, Ibnu Atsir dalam an Nihayah 3/230 menjelaskan al Azf bermakna memainkan alat muzik, iaitu rebana dan selainnya yang dipukul. Berkata Az Zahabi (at Tadzkirah 4/1337) : Al Maazif ialah nama untuk semua yang dibunyikan seperti gendang dan lain-lain dari peralatan muzik. Lihat Ta’liq yang sebelumnya. Sabdanya, ‘alamun ialah puncak gunung. Sabdanya Bisaarihatin, ialah haiwan ternak yang keluar pada pagi hari kepada pemiliknya. Fayubayituhum, yaitu dibinasakan. Yadah’ul Alam : menghancurkan mereka. Lihat Tahtim an Nard wasy Syathranji wal Malaahi, oleh al Ajurri (292-299)]
Keempat : Masuk dan becengkerama dengan wanita-wanita yang bukan mahram.
Hal ini dilarang oleh Nabi s.a.w dengan sabda beliau, “ Hati- hatilah kalian masuk untuk menemui para wanita". Maka berkata salah seorang lelaki Ansar : "Wahai Rasulullah, bagaimana pendapatmu tentang Al-Hamwu" Beliau bersabda : "Al-Hamwu adalah maut" [Hadis Riwayat Bukhari 5232, Muslim 2172 dari 'Uqbah bin Amir].
Al- Allamah Az-Zamakhsyari berkata dalam menerangkan "Al-Hamwu". "Al-Hamwu? bentuk jamaknya adalah Ahmaa' adalah kerabat dekat suami seperti ayah[Dia dikecualikan berdasarkan nash Al-Quranul Karim, lihat "Al-Mughni" 6/570], saudara laki-laki, bapa saudaranya dan selain mereka... Dan sabda beliau : "Al-Hamwu adalah maut" maknanya ia dikelilingi oleh kejelekan dan kerosakan yang telah mencapai puncaknya sehingga Rasulullah s.a.w menyerupakannya dengan maut, kerana hal itu merupakan sumber segala bencana dan kebinasaan. Yang demikian kerana Al-Hamwu lebih berbahaya daripada orang lain yang tidak dikenal. Sebab kerabat dekat yang bukan mahram terkadang tidak ada kekhuatiran atasnya atau merasa aman terhadap mereka, lain halnya dengan orang yang bukan kerabat. Dan boleh jadi pernyataan "Al-Hamwu adalah mau" merupakan doa kejelekan, iaitu seakan-akan kematian itu darinya, kedudukannya seperti ipar yang masuk menemuinya, jika ia meredhainya dengan itu" ["Al-Faiq fi Gharibil Hadits" 9 1/318, Lihat "An-Nihayah 1/448, Gharibul Hadis 3/351 dan Syarhus Sunnah 9/26,27]
Kelima : Wanita-wanita yang bertabarruj (berdandan mempamerkan kecantikan) kemudian keluar ke pasar-pasar atau tempat lainnya.
Ini merupakan perbuatan yang diharamkan dalam syari'at Allah. Allah berfirman, “ Hendaklah mereka wanita-wanita) tinggal di rumah-rumah mereka dan jangan bertabarruj seperti jahiliyah dulu dan hendaklah mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat" [Al-Ahzab : 33]
Nabi s.a.w bersabda, “ Dua golongan manusia termasuk penduduk neraka yang belum pernah aku melihatnya : ........ dan wanita-wanita yang berpakaian tetapi telanjang, berlenggak-lenggok [Menyimpang dari taat kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala dan keharusan mereka untuk menjaga kemaluan, "An- Nihayah" 4/382], kepala-kepala mereka bagaikan punuk-punuk unta [Berkata Al- Qadli 'Iyadh dalam Masyariqul Anwar 1/79 : Al-Bukht adalah unta yang gemuk yang memiliki dua punuk. Maknanya wanita-wanita itu menggelung rambut mereka hingga kelihatan besar dan tidak menundukkan pandangan mata mereka.]. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan mendapatkan bau suurga. Padahal bau syurga dapat tercium dari perjalanan sekian dan sekian" [Hadis ini dikeluarkan oleh Muslim dalam "Sahihnya" 2128, 2856 dan 52, Ahmad 2/223 dan 236 dari Abu Hurairah]
Keenam : Mengkhususkan ziarah kubur pada hari raya, membahagi-bahagikan manisan dan makanan di perkuburan, duduk di atas kuburan, bercampur antara lelaki dan wanita, bergurau dan meratapi orang-orang yang telah meninggal, dan kemungkaran-kemungkaran lainnya.[Lihat perincian yang lain tentang bid'ah yang dilakukan di kuburan dalam kitab "Ahkamul Janaiz" 258-267 oleh Syeikh Al- Albani Rahimahullah]
Ketujuh : Boros dalam membelanjakan harta yang tidak ada manfaatnya dan tidak ada kebaikan padanya.
Allah berfirman, “ Janganlah kalian berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan" [Al-An'am : 141]
“ Dan janganlah kamu menghambur-hamburkan (hartamu) secara boros. Sesungguhnya orang-orang yang berbuat boros itu adalah saudara syaitan" [Al-Isra : 26-27]
Rasulullah s.a.w bersabda, “ Tidak akan berpindah kedua kaki anak Adam pada hari kiamat dari sisi Rabb-nya hingga ditanya tentang ... dan hartanya dari mana ia perolah dan ke mana ia infakkan" [Hadis Riwayat Tirmidzi 2416, Al-Khatib dalam Tarikh-nya 12/440 dari Ibnu Mas'ud, padanya ada kelemahan. Akan tetapi ada pendukungnya dari Abi Barzah di sisi Ad-Darimi (1/131), Abu Nua’im dalam al Hulyah (10/232), Ibnu Ad Daibsyi dalam Dzail Tarikh Baghdad 2/163. Dan dari Mu'adz di sisi Al-Khatib 11/441. Maka hadis ini Hasan.]
Kelapan : Kebanyakan manusia meninggalkan solat berjamaah di masjid tanpa alasan syar'i atau mengerjakan solat Ied tetapi tidak solat lima waktu. Demi Allah, sesungguhnya ini adalah salah satu bencana yang amat besar.
Kesembilan : Berdatangannya sebahagian besar orang-orang awam ke kuburan setelah fajar hari raya, mereka meninggalkan solat Ied, dilakukan dengan bid'ah mengkhususkan ziarah kubur pada hari raya. [Al-Madkhal 1/286 oleh Ibnu Hajj, Al- Ibda hal.135 oleh Ali Mahfudh dan Sunnanul Iedain hal.39 oleh Al-Syauqani]
Sebahagian mereka meletakkan pada kuburan itu pelepah kurma [Lihat Ahkamul Jazaiz hal. 253, Ma'alimus Sunan 1/27 dan ta'liq Syeikh Ahmad Syakir atas Sunan Tirmidzi 1/103] dan ranting-ranting pohon !!
Kesepuluh : Tidak adanya kasih sayang terhadap fakir miskin.
Sehingga anak-anak orang kaya memperlihatkan kebahagiaan dan kegembiraan dengan berbagai jenis makanan yang mereka pamerkan di hadapan orang-orang fakir dan anak-anak mereka tanpa perasaan kasihan atau keinginan untuk membantu dan merasa bertanggung jawab. Padahal Rasulullah s.a.w bersabda, “Tidak beriman salah seorang dari kalian hingga ia mencintai untuk saudaranya apa yang dia cintai untuk dirinya" [Hadis Riwayat Bukhari 13 dan Muslim 45, An-Nasa'i 8/115 dan Al-Baghawi 3474 meriwayatkan dengan tambahan ; "dari kebaikan" dan isnadnya Sahih]
Kesebelas : Bid'ah-bid'ah yang dilakukan oleh kebanyakan orang yang dianggap syeikh dengan pengakuan bertaqqarub kepada Allah Taala, padahal tidak ada asalnya sama sekali dalam agama Allah. Bid'ah itu banyak sekali dilakukan muslimin [Lihat beberapa di antaranya dalam kitab A'yadul Islam 58 pasal Bida'ul Iedain]. Aku hanya menyebutkan satu saja di antaranya, iaitu kebanyakan para khatib dan pemberi nasihat menyerukan untuk menghidupkan malam hari Ied (dengan ibadah) dalam rangka mendekatkan diri kepada Allah. Tidak hanya sebatas itu yang mereka perbuat, bahkan mereka menyandarkan hadis palsu kepada Rasulullah s.a.w, “Barangsiapa yang menghidupkan malam Idul Fitri dan Idul Adha maka hatinya tidak akan mati pada hari yang semua hati akan mati" [Hadis ini palsu (maudlu'), diterangkan oleh Syeikh Al-Albani dalam "Silsilah Al-Ahadis Adl- Dlaifah" 520-521]
Maka tidak boleh menyandarkan kepada Rasulullah s.a.w ucapan tersebut. Dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad s.a.w.
(Ahkaamu Al' Iidaini Fii Al-Sunnah Al-Muthahharah, Syaikh Ali bin Hasan bin Ali Abdul Hamid Al-Halabi Al-Atsari dan Syaikh Salim Al Hilali, edisi Tuntunan Ibadah Ramadhan dan Hari Raya)