Rasulullah saw pernah bersabda: " Siapa yang beriman pada Allah swt dan hari kiamat, maka hendaklah dia berkata baik atau diam". (HR Bukhari & Muslim.)
Rasulullah saw adalah contoh manusia yang sangat menjaga tutur katanya. Baginda berbicara dengan orang ramai secara berakhlak. Isi bicara Baginda
adalah kebenaran. Nilai ucapannya sangat tinggi, menembus hati, menggugah kesedaran, membekam ke jiwa serta dapat mengubah perilaku, dengan izin Allah swt. Atas sebab itu, Nabi digelar ' Al Amin' kerana sejak kecil tidak pernah mendusta.
Manusia ini ada 4 kategori:
i)Berkualiti tinggi - bila berbicara, isinya sarat dengan hikmat, idea, ilmu, zikir dan penyelesaian. Bermanfaat kepada diri sendiri dan juga orang lain. Bicara mereka bermotivasi dan berpandangan positif dalam setiap perkara yang diutarakan.
ii)Orang biasa sahaja - yang sibuk menceritakan peristiwa seperti kemalangan, rompakan. Bercerita seolah-olah berada di tempat kejadian.
iii) Berkualiti rendah - selalu mengeluh, mencela dan menghina. Apa-apa saja akan jadi bahan keluhannya. Hari-harinya penuh dengan bersungut. Alangkah ruginya orang ini. Hidupnya dikategorikan sebagai tidak dapat membezakan di antara nikmat dan musibah.
iv)Cetek fikirannya - berbicara hanya mengenai kehebatan dan kebaikan diri, sedangkan hidup adalah pengabdian diri kepada Allah swt. Golongan ini sering di lihat menonjol dan mendominasi. Sekiranya ada yang lebih baik dari dirinya, maka dia tidak senang hati dan harap orang itu jatuh. Oleh itu, berhati-hati bila berbicara. Jaga tutur percakapan kita dan kurangkanlah berkata-kata yang buruk. Jaga lidah sebaik mungkin kerana ia adalah amanah Allah swt.
Dari Imam Ghazali - lidah antara nikmat Allah yang besar dan antara ciptaan tuhan yang amat indah dan ganjil. Keimanan dan kekufuran seseorang tidak terang dan jelas, selain dengan kesaksian lidah. Punyai ketaatan yang besar dan mempunyai dosa besar pula. Anggota badan yang paling derhaka adalah lidah. Alat perangkap syaitan yang paling jitu untuk menjerumuskan manusia. Begitu besar peranan lidah di dalam hidup kita. Kita boleh masuk syurga kerana lidah dan kita juga boleh terjerumus ke neraka kerana lidah. Maka dengan itu, kita perlu berwaspada menggunakan lidah sewaktu bertutur kata...bijaklah menggunakannya.
Jika kata-kata kita yang menjadi penyebab orang sakit hati atau terguris, ia akan mendatangkan keburukan pada kita. Kita perlu berfikir sebelum bercakap. Sekiranya kata-kata kita itu akan mendatangkan dosa, lebih elok saja kita berdiam..Jarak di antara lidah dan hati hanayalah sejengkal tetapi sering berbeza pendapat. Disebabkan lidah juga kita boleh menzalimi orang..dan ingatlah, doa orang yang dizalimi itu dikabulkan Allah.
Surah An Nisaa ayat 148: " Allah tidak menyukai perkataan buruk (yang diucapkan) secara terus terang, kecuali oleh orang yang dizalimi. Dan Allah swt Maha Mendengar dan Maha Mengetahui". Satu ungkapan dari Farsi berbunyi: "Takutilah keluhan orang yang dizalimi, penerimaan Allah swt datang menyambutnya."
Hadis lain pula Nabi bersabda..." Sesungguhnya Allah swt benci kepada orang yang jelik budi pekertinya serta kotor lidahnya". HR Imam Termidzi.
Di dalam doa solat sunat witir pun kita berdoa "Wahai Tuhanku, jadikanlah cahaya yang gemilang pada lidahku..."
Nabi s.a.w. bersabda: “Tidak akan lurus keimanan seseorang hamba sehingga lurus hatinya dan tidak akan lurus hatinya sehingga lurus pula lidahnya..
Lidah Merisaukan Nabi s.a.w.
Rasulullah s.a.w. memperingatkan, bahawa bahaya lidah adalah salah satu perkara yang paling merisaukan baginda. Ini kerana, semua amalan akan
hilang jika lidah kita jahat. Sufian al-Tsaqafi pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w.
Katanya, “ Wahai Rasulullah s.a.w, katakan kepadaku dengan satu perkara yang aku akan berpegang dengannya?”
Jawab baginda, “Katakanlah, Rabbku adalah Allah, lalu istiqamahlah.”
Kata Sufian lagi, “Wahai Rasulullah s.a.w, apakah yang paling tuan risaukan tentangku?”
Baginda memegang lidah baginda, lalu bersabda, ‘Ini.”
(Hadith riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah)