Menutup aurat merupakan kewajipan agama yang sudahpun diketahui umum
umat Islam. Tuntutan menutup
aurat itu sabit berdasarkan dalil-dalil
daripada al-Qur'an, hadits dan kesepakatan para ulama. Akan tetapi ramai
umat Islam yang mengabaikan dan bersifat acuh tak acuh akan tuntutan
dan kewajipan menutup aurat ini, baik lelaki mahupun perempuan.
Apa
yang menyedihkan ialah cara atau tren berpakaian segolongan individu,
khususnya perempuan, tidak menepati dengan apa yang digariskan oleh
syara‘. Pakaian yang mereka pakai bukan untuk menutup aurat, sebaliknya
hanya menampal sebagai perhiasan semata-mata agar dipandang cantik dan
bergaya.
Lebih mengecewakan
lagi, anggapan sesetengah individu itu bahawa memadai apabila dia
memakai tudung sahaja, maka sudah bermakna dia menutup aurat.
Sedangkan pakaian yang dipakai nyata masih tidak menepati tuntutan
menutup aurat sebagaimana yang dikehendaki oleh syara‘, seperti memakai
seluar yang ketat atau pakaian pendek, nipis (jarang) dan kain berbelah,
sama ada mereka sedari ataupun tidak bahawa pakaian yang mereka pakai
itu adalah mengghairahkan. Bahkan cara bertudung pun masih
menampakkan anggota aurat yang wajib ditutup atau disembunyikan.
Ada
pula yang memakai pakaian yang lengkap menutup aurat pada waktu-waktu
tertentu sahaja, seperti ketika menghadiri majlis-majlis keagamaan dan
kedukaan seperti kematian, tetapi tidak pada waktu-waktu lain.
Sikap
sebahagian wanita-wanita muslimah seumpama ini menunjukkan bahawa
mereka belum memahami maksud sebenar menutup aurat itu dan bagaimana
cara melaksanakannya
sebagaimana yang dituntut oleh syara‘.
Tuntutan Menutup Aurat Adalah Perintah Allah Subhanahu Wa Ta‘ala
Allah
Subhanahu wa Ta‘ala telah mewajibkan lelaki mahupun perempuan untuk
menutup aurat mereka dan menggariskan caracara menutup aurat itu.
Tuntutan menutup aurat ini adalah perintah Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Memakai pakaian yang menutup aurat sebagaimana yang digariskan oleh
syara‘ bererti mentaati perintahNya. Bilamana menutup aurat merupakan
suatu ketaatan, maka memakai pakaian yang mendedahkan aurat pula
merupakan suatu kederhakaan.
Tuntutan menutup aurat ini tidak
boleh dipandang ringan. Ancaman dan balasan
Allah Subhanahu wa Ta‘ala
terhadap mereka yang tidak melaksanakan atau tidak memperdulikan
tuntutan
menutup aurat itu adalah sangat keras. Antara akibat melanggar tuntutan
ini ialah laknat Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Mereka yang melakukan
penderhakaan terhadap perintahNya itu tidak akan masuk syurga, bahkan
bau syurga pun tidak dapat dihidu oleh mereka, sebagaimana yang
ditegaskan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah
Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya:
“Ada dua golongan ahli neraka yang belum pernah aku (Nabi Muhammad
Shallallahu ‘alaihi wasallam) melihatnya, iaitu; kaum lelaki memegang
cemeti seperti ekor sapi yang mereka gunakan untuk memukul orang lain,
dan wanita–wanita yang berpakaian tetapi mereka (sebenarnya)
bertelanjang (pakaian tiada menutup aurat kepala dan badan sebagaimana
yang diperintahkan oleh agama), yang berjalan melagak menggoyangkan
bahu, kepala mereka seperti bonggol unta yang condong. Mereka tidak
boleh masuk syurga, bahkan tidak boleh menghidu baunya, padahal bau
syurga itu sebenarnya dapat dihidu dari jarak sekian, sekian (yang cukup
jauh).” (Hadits riwayat Muslim)
Oleh itu, kita
hendaklah mengenakan pakaian untuk menutup aurat sebagaimana yang
disuruh syara‘ kerana mentaati perintah Allah Subhanahu wa Ta‘ala,
bukannya kerana tuntutan fesyen semasa atau kesesuaian tempat dan
keadaan.
Menutup Aurat Nikmat Anugerah Allah Subhanahu Wa Ta‘ala
Allah
Subhanahu wa Ta‘ala telah menurunkan bahan-bahan pakaian di muka bumi
dan memberikan manusia keupayaan menghasilkan pakaian sebagaimana yang
ditegaskan melalui
firmanNya:
Tafsirnya: “Wahai
anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu
(bahan-bahan untuk) pakaian menutup ‘aurat kamu, dan pakaian perhiasan;
dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian
itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada
hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur)”. (Surah
al-A‘raaf: ayat 26)
Ayat ini menjelaskan bahawa
bahan pakaian yang telah diberikan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepada
hamba-hambaNya itu sebagai tanda-tanda limpah kurnia Allah dan
rahmatNya kepada hamba-hambaNya untuk menutup aurat mereka. Maka mereka
yang mengabaikan kewajipan ini dengan mendedahkan aurat mereka adalah
orang-orang yang tidak bersyukur dan tidak menghargai nikmat tersebut.
Banyak
kebaikan dan faedah yang boleh didapat daripada kewajipan menutup aurat
ini. Islam tidak mensyariatkan sesuatu melainkan untuk kebaikan dan
kemaslahatan manusia itu sendiri.
Tuntutan menutup aurat ke atas wanita adalah untuk kebaikan bagi diri kaum wanita juga.
Di
antara rahsia atau faedah menutup aurat yang khusus bagi wanita
sepertimana yang dijelaskan dalam al-Qur'an ialah untuk mereka dikenal
sebagai perempuan yang baik-baik dan dengan berpakaian sedemikian, maka
mereka tidak akan diganggu. Secara tidak langsung pakaian yang menutup
aurat dan sopan merupakan antara cara untuk menghindari fitnah,
pandangan yang jahat atau berlakunya perkara yang buruk, umpamanya kes
rogol.
Oleh itu, kewajipan menutup aurat juga merupakan satu nikmat yang wajib disyukuri, iaitu dengan cara melaksanakan kewajipan ini.
Bagaimana Cara Menutup Aurat Yang Dituntut Syara‘?
Sebelum
dijelaskan cara menutup aurat bagi wanita sebagaimana yang dituntut
oleh syara‘, perlu disebut terlebih dahulu bagaimana aurat wanita itu di
hadapan lelaki bukan mahramnya. Secara sepintas lalu, bagaimana aurat
perempuan dalam sembahyang, maka itulah juga auratnya di luar
sembahyang. Apa yang boleh nampak di hadapan orang-orang yang bukan
mahramnya hanyalah kedua tapak tangan dan muka sahaja, manakala
keseluruhan anggota badan yang lain merupakan aurat yang wajib ditutup.
Cara
berpakaian bagi perempuan yang sempurna menutup aurat sebagaimana yang
dikehendaki syara‘ itu dirujuk kepada firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya:
“Wahai
Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu dan
perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi
menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian
lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik)
maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha
Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Ahzab: 59)
Dalam
ayat di atas telah jelas menyatakan bahawa pakaian yang dipakai ketika
keluar itu hendaklah dalam keadaan labuh dan menutup seluruh tubuh
pemakainya. Terdapat juga beberapa hadits yang menyebut tentang
ciri-ciri pakaian yang dikehendaki oleh syara‘, umpamanya hadits yang
diriwayatkan oleh ‘A’isyah Radhiallahu ‘anha:
َ
Maksudnya:
“Bahawa
Asma’ binti Abu Bakar telah berkunjung kepada Rasulullah Shallallahu
‘alaihi wasallam dengan memakai pakaian yang nipis. Lalu Rasulullah
Shallallahu ‘alaihi wasallam berpaling daripadanya. Baginda bersabda:
“Wahai Asma’, sesungguhnya orang perempuan apabila sampai umur haidh
(umur baligh), tidak boleh dilihat padanya kecuali ini… dan ini...
(sambil) Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menunjukkan
muka dan kedua-dua tapak tangan Baginda.” (Hadits riwayat Abu Daud)
Berdasarkan
kepada dua dalil di atas, maka dijelaskan bahawa ciri-ciri pakaian
menutup aurat yang dituntut oleh syara‘ bagi wanita itu adalah seperti
berikut:
1. Pakaian yang longgar. Bukan pakaian sempit yang menampakkan susuk atau bentuk tubuh badan.
2.
Pakaian yang labuh yang menutupi keseluruhan anggota aurat. Bukan
pakaian yang pendek, singkat atau terbelah yang mendedahkan perut, dada,
leher, tangan, kaki dan punggung.
3. Pakaian yang menutup warna
kulit anggota aurat dari kelihatan. Bukan pakaian yang nipis atau jarang
yang menampakkan warna kulit dan bayang-bayang tubuh dari luar.