الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء و المرسلين، وعلى آله وصحبه أجمعين
أهلا وسهلا بكم
إذا كانت هذه زيارتك الأولى للمنتدى، فيرجى التفضل بزيارة صفحة التعليمات كما يشرفنا أن تقوم بالتسجيل ، إذا رغبت بالمشاركة في المنتدى، أما إذا رغبت بقراءة المواضيع والإطلاع فتفضل بزيارة القسم الذي ترغب أدناه.
عن أبي سعيد الخدري رضي الله عنه - قال: سمعت رسول الله ﷺ يقول: "إن إبليس قال لربه: بعزتك وجلالك لا أبرح أغوي بني آدم مادامت الأرواح فيهم - فقال الله: فبعزتي وجلالي لا أبرح أغفر لهم ما استغفروني"
اللّهم طهّر لساني من الكذب ، وقلبي من النفاق ، وعملي من الرياء ، وبصري من الخيانة ,, فإنّك تعلم خائنة الأعين ,, وما تخفي الصدور
اللهم استَخدِمني ولاَ تستَبدِلني، وانفَع بيِ، واجعَل عَملي خَالصاً لِوجهك الكَريم ... يا الله
اللهــم اجعل عملي على تمبـلر صالحاً,, واجعله لوجهك خالصاً,, ولا تجعل لأحد فيه شيئاً ,, وتقبل مني واجعله نورا لي في قبري,, وحسن خاتمة لي عند مماتي ,, ونجاةً من النار ومغفرةً من كل ذنب
يارب يارب يارب
KEMASKINI
_
SELEPAS SUBUH DAN ASAR : TIDUR?
Tiada nas yang jelas menghalang seseorang untuk tidur selepas subuh. Oleh itu, hukum tidur selepas subuh kekal harus kerana tiada dalil yang menghalangnya.
Meskipun tiada nas yang menghalang untuk tidur selepas subuh namun terdapat banyak galakan untuk menghidupkan amalan selepas subuh. Dalam sebuah hadis, Nabi SAW telah bersabda:
اللَّهُمَّ بَارِكْ لِأُمَّتِي فِي بُكُورِهَا وَكَانَ إِذَا بَعَثَ سَرِيَّةً أَوْ جَيْشًا بَعَثَهُمْ فِي أَوَّلِ النَّهَارِ . وَكَانَ صَخْرٌ رَجُلاً تَاجِرًا وَكَانَ يَبْعَثُ تِجَارَتَهُ مِنْ أَوَّلِ النَّهَارِ فَأَثْرَى وَكَثُرَ مَالُهُ.
Maksudnya: Wahai Tuhan kami, berkatilah untuk umatku pada awal waktu pagi. Adalah Nabi SAW, jika Baginda menghantar briged tentera, Baginda akan menghantarnya di awal siang. Adalah Sakhr itu seorang peniaga dan beliau memulakan perniagaannya di awal siang maka telah bertambah hartanya (mendapat keuntungan).
Riwayat Abu Daud (2606). Syeikh Al-Albaani menilainya Sahih.
Dalam sebuah hadis yang lain, diriwayatkan bahawa Nabi SAW telah menghidupkan pagi selepas subuh dengan duduk berzikir sehingga terbitnya matahari. Daripada Jabirah bin Samurah RA:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا صَلَّى الفَجْرَ قَعَدَ فِي مُصَلَّاهُ حَتَّى تَطْلُعَ الشَّمْسُ
Maksudnya: Adalah Nabi SAW apabila selesai solat Fajar, Baginda duduk di tempat solatnya sehingga matahari terbit.
Hadis riwayat Al-Tirmizi (585) dalam Sunannya. Menurut beliau, hadis ini hasan sahih.
Begitu juga dengan sebuah hadis daripada Anas Bin Malik RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ صَلَّى الغَدَاةَ فِي جَمَاعَةٍ ثُمَّ قَعَدَ يَذْكُرُ اللَّهَ حَتَّى تَطْلُعَ الشَّمْسُ، ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ كَانَتْ لَهُ كَأَجْرِ حَجَّةٍ وَعُمْرَةٍ
Maksudnya: Siapa yang solat al-Ghadah (yakni solat Subuh) secara berjemaah kemudian duduk berzikir sehingga terbit matahari, lalu bersolat dua rakaat adalah baginya pahala haji dan umrah.
Hadis riwayat al-Tirmizi (586) dalam Sunannya. Menurut beliau, hadis ini hasan gharib.
Jelas melalui hadis-hadis di atas, Nabi SAW amat menitikberatkan mengenai pengurusan masa lebih-lebih lagi di awal pagi bagi seseorang muslim. Ini dilihat dengan amalan yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW dari segi berzikir mahupun keluar kerja untuk mencari rezeki dan disebabkan oleh itu juga para ulama’ amat menjaga waktu selepas subuh mereka agar dipenuhi dengan perkara yang berfaedah lagi berpahala.
Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani Rahimahullah menyebutkan di dalam kitabnya Fath al-Bari yang mana telah disebutkan bahawa rezeki itu dibahagi-bahagikan selepas solat subuh
dan amalan-amalan diangkat dipenghujung waktu siang. Bagi siapa yang pada waktu tersebut dalam ketaatan, maka akan diberkati rezeki dan amalannya.
Al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah Rahimahullah di dalam kitabnya Zaad al-Ma’ad pula menyebutkan bahawa tidur waktu subuh menghalang rezeki kerana pada waktu itu adalah waktu meminta padanya makhluk hidup akan rezeki dan ianya adalah waktu di mana dibahagi-bahagikan rezeki dan tidur pada waktu tersebut adalah dilarang kecuali berlaku sesuatu yang tidak dapat dielakkan ataupun darurat.
Kami juga dikhabarkan bahawa Buya Hamka juga tidur selepas subuh.
Setakat pengamatan kami juga, hadis-hadis yang menceritakan tentang larangan serta cemuhan bagi mereka yang tidur selepas subuh tidak terlepas dari kritikan sama ada terlalu lemah statusnya ataupun bertaraf palsu.
Kesimpulan
Kami mendapati bahawa tiada larangan melalui nas yang jelas mengenai pengharaman tidur selepas subuh. Oleh itu, tiada halangan bagi mereka yang ingin tidur selepas subuh namun yang terbaiknya adalah dengan meninggalkannya berdasarkan hadis-hadis yang menunjukkan kelebihan menghidupkan waktu selepas subuh.
Pernah ditanyakan kepada al-Imam Malik Rahimahullah mengenai tidur selepas solat subuh maka jawab al-Imam Malik:
“Aku tidak mengetahui akan pengharamannya. Disebutkan bahawa bumi mengeluarkan bunyi yang kuat dari tidurnya ulama’ pada waktu dhuha kerana takut mereka lalai pada waktu tersebut”.
Makanya, tidak menjadi satu kesalahan bagi mereka yang bekerja malam dan terpaksa tidur pada siangnya selepas subuh kerana telah menjadi sebahagian dari tugasnya untuk bekerja pada waktu malam lalu berehat pada waktu paginya demi menjalankan tugas pada keesokan malamnya pula.
RUJUK SUMBER :
1. Lihat Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari. Dar al-Ma’rifah, (2/37).
2. Lihat Zaad al-Ma’ad. Muassasah al-Risalah, (4/222).
3. Lihat Al-Fawakihu al-Dawani ‘ala Risalah Ibn Abi Zaid al-Qairawani, (1/198)
2. Hukum tidur selepas asar serta dalil-dalil
Status hadis
مَنْ نَامَ بَعْدَ الْعَصْرِ، فَاخْتُلِسَ عَقْلُهُ، فلا يَلُومَنَّ إِلَّا نَفْسَهُ
Maksudnya: “Sesiapa yang tidur selepas Asar lalu hilang akalnya, maka janganlah dia mencela melainkan dirinya sendiri.”
Sesungguhnya Allah SWT menjadikan setiap insan atau tubuh badan manusia itu memerlukan kepada rehat secukupnya. Tidur merupakan salah satu cara untuk seseorang itu merehatkan tubuh badannya. Hal ini telah dikhabarkan oleh Allah SWT di dalam kitab-Nya yang suci:
- Firman Allah SWT:
وَجَعَلْنَا نَوْمَكُمْ سُبَاتًا
Maksudnya: “Dan Kami telah menjadikan tidur kamu untuk berehat. [al-Naba’ : 9]
Kata Imam Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat ini, tidur itu adalah memutuskan pergerakan bagi tujuan merehatkan diri daripada banyak bergerak dan berjalan pada urusan kehidupan bagi menempuh waktu siang. [Lihat: Tafir Ibn Kathir, 307/8]
Berdasarkan soalan di atas, di sini kami sertakan beberapa pendapat para ulama’ dalam menentukan status hadith ini:
- Imam Ibn Hibban mengatakan di dalam sanad hadith ini terdapat Khalid bin al-Qasim dan dia menyambung riwayat-riwayat yang terputus, menrafa’kan riwayat-riwayat yang mursal dan juga menyambung riwayat-riwayat yang mawquf maka tidak boleh menulis riwayatnya. [Lihat: al-Majruhin, 334/1]
- Imam Ibn al-Jauzi menghukum hadith ini sebagai tidak sahih. [Lihat: al-Mawdhu’at, 252/2]
- Imam al-Zahabi mengatakan di dalam sanad hadith ini terdapat Khalid bin al-Qasim yang dituduh berdusta. [Lihat: Tartib al-Mawdhua’at, 239]
- Imam al-Haithami mengatakan perawi bernama Amr bin al-Husain seorang yang matruk. [Majma’ al-Zawaid, 119/5]
- Imam al-Syaukani mengatakan bahawa di dalam sanad hadith ini terdapat perawi yang berdusta. [Lihat: al-Fawaid al-Majmu’ah, 216]
- Syeikh al-Albani menilai hadith ini sebagai dhaif. [Silsilah al-Ahadith al-Dhaifah, 112/1]
Berdasarkan beberapa pendapat para ulama’ di atas, kita memahami bahawa sebahagian pendapat ulama’ mengdhaifkan hadith ini dan sebahagian yang lain memalsukan hadith ini. Maka dengan itu, kami berpandangan bahawa hadith tersebut adalah teramat lemah kerana di dalam sanadnya terdapat perawi yang dituduh berdusta. Maka dengan itu, kami nyatakan bahawa tiada hadith sahih yang melarang tidur selepas asar. Akan tetapi, jika dikatakan tidur pada waktu ini boleh menghilangkan akal berdasarkan kepada tajrubah dan ia boleh membawa kepada mudharat maka ia sebaiknya perbuatan ini mestilahlah dijauhi kerana setiap insan itu mesti mejauhkan dirinya daripada perkara yang boleh memudharatkan dirinya. Di samping itu, jika seseorang itu memerlukan atau berhajat untuk tidur pada waktu tersebut maka ia dibolehkan.
Penutup
Kesimpulannya, Allah SWT menjadikan tidur untuk kita berehat kerana pada waktu siang manusia sibuk bekerja untuk mencari rezeki. Maka tidur pada waktu malam dapat mengembalikan tenaga untuk bekerja pada keesokan harinya dan begitulah sebaliknya bagi yang bekerja pada waktu malam. Ini kerana, tanpa tidur yang secukupnya maka akan tergendalalah segala usaha yang ingin dilakukan pada hari-hari yang berikutnya. Berkaitan hukum tidur selepas waktu subuh, kami telah menjawabnya di dalam Irsyad al-Fatwa siri ke 149. Akhirnya, semoga Allah SWT menjadikan kita daripada kalangan hamba-hamba-Nya sihat rohani dan jasmani agar kehidupan dapat diteruskan.
RUJUKAN SUMBER
https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-al-hadith/2224-irsyad-al-hadith-siri-ke-227-tidur-selepas-asar