1. Imam At-Thiibi Rahimahullah berkata :
"Tiada keraguan lagi bahawasanya manusia mendapatkan manfaat daripada kehidupan ini, untuk mencari keredhaan Allah Taala, bertujuan melakukan ketaatan kepadaNya, menjauhi kemurkaan serta azabNya. Apabila seseorang itu tidur, maka hilanglah manfaat ini untuknya. Dia seumpama orang yang telah mati.
Apabila dia terjaga, manfaat ini kembali semula kepadanya. Maka, (inilah hikmahnya) ucapan pujian tanda syukur kepada Allah kerana berjaya memperolehi nikmat ini(peluang bagi memperbaiki amalnya di atas dunia dan meminta keampunan atas dosa hari-hari yang telah berlalu)."
2. Nasihat sepanjang Zaman
Barangsiapa merasa cukup dengan apa yang telah diberikan Allah, maka dia kaya.
Barangsiapa suka memandang harta orang lain, dia akan mati miskin.
Barangsiapa tidak redha (tidak rela) dengan apa yang telah diberikan Allah kepadanya, maka dia telah menentang keputusanNya (qadha’Nya)
Barangsiapa memandang remeh kesalahannya, maka dia akan memandang besar kesalahan orang lain.
Barangsiapa memandang besar kesalahannya, maka dia akan memandang remeh kesalahan orang lain.
Barangsiapa membuka aib orang lain, maka aib keturunannya akan tersingkap.
Barangsiapa menggali lubang untuk mencelakakan saudaranya, maka dia sendiri akan terjerumus ke dalamnya.
Barangsiapa bergaul dengan ulama, maka dia akan dimuliakan.
Barangsiapa memasuki tempat-tempat biasa dikunjungi orang-orang bodoh, maka dia akan direndahkan.
Dan barangsiapa memasuki tempat-tempat kemaksiatan, maka dia akan dituduh berbuat maksiat.
3. Ibnu Abbas berkata, "Syaitan itu bagaikan ular berbisa yang bersemayam di dalam hati. Apabila seorang hamba mengingati Tuhannya Yang Maha Suci dan Maha Tinggi, ular itu akan menjadi jinak dan diam, apabila dia lalai mengingati Allah, maka ular itu akan terus mengganggunya.."
4. Ibrahim bin Adham berkata: " Seseorang tidak akan mencapai darjat orang solihin, sehingga melalui 6 rintangan .. :
1. Menutup pintu kemuliaan, membuka pintu kehinaan.
2. Menutup pintu nikmat, membuka pintu kesukaran.
3. Menutup pintu istirehat, membuka pintu perjuangan.
4. Menutup pintu tidur, membuka pintu jaga.
5. Menutup pintu kekayaan, membuka pintu kemiskinan.
6. Menutup pintu harapan, membuka pintu bersiap menghadapi maut.
5. Khalifah Umar bin Abd Aziz :
"Wahai sekelian manusia ! Janganlah kalian menganggap kecil dosa-dosa itu. Selidiki dan ushakanlah untuk mengkikis habis apa-apa dosa yang telah di lakukan, dengan jalan melakukan taubat. Allah SWT telah berfirman yang bermaksud : " Sesungguhnya perbuatan-perbuatan baik itu akan menghilangkan segala perbuatan-perbuatan jahat. Itulah peringatan bagi orang-orang yang mahu ingat. "
6. "Biasakanlah mendengarkan nasihat kebaikan, kerana sesungguhnya hati jika terlalu lama tidak mendengar nasihat, ia akan menjadi berkarat dan buta."
Jangan memandang ringan ungkapan penuh hikmah yang keluar dari mulut para ulama, kerana ia merupakan intisari dan buah dari wahyu Allah ‘Azza wa Jalla."
(Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani : Kitab Al-Fathu Rabbani wal Faidhu Rahman)