Suatu hari, seorang peminum arak menegur
sesuatu kepada sayidina Umar r.a. Beliau dengan berlapang dada menerima teguran
tersebut. Orang yang melihat keadaan tersebut berasa pelik. Lalu mereka
bertanya: “Wahai Amirul Mukminin, kenapa kamu menerima teguran dia, sedangkan
dia seorang peminum arak?” Saiyidina Umar r.a. menjawab; “Ya dia berdosa kerana
meminum arak, tetapi tegurannya kepadaku adalah benar.”
Persoalan buat kita renungkan...
Bila saja suami atau isteri menegur kita
atas kesalahan kita, perlakuan kita, amalan kita kenapa kita marah?
Bila saja seorang ayah menegur anaknya
atas kesalahan, perlakuan dan dosa kenapa marah tidak mahu menerimanya?
Bila saja seorang yang lain menegur kita
atas kesalahan kita, perlakuan kita, amalan kita kenapa kita marah?
Lalu...
Kenapa kita tidak pernah takut dengan
teguran Allah yang berupa AMARAN?
Kenapa kita tidak peduli dengan teguran
dan nasihat Rasulullah s.a.w?
Kenapa pula kita tidak marah kepada
ALLAH dan RASULULLAH S.A.W kerana menegur kita?
Kenapa kita perlu marah sedangkan orang
yang menegur kita kepada kebaikan adalah sama seperti teguran Allah dan
RasulNya?
Dan...
Adakah kita memang PANTANG ditegur?
Adakah kita memang TIDAK SUKA ditegur
kerana apa saja tentang kita adalah BENAR?
Adakah kita sememangnya SOMBONG?
Adakah kita sememangnya KUAT dan HEBAT?
Akhirnya...
Tahukah kita bahawa apabila kita ditegur itu adalah nasihat?
Tahukah kita bahawa apabila kita ditegur itu adalah tanda kasih sayang?
Diriwayatkan daripada Tamim al-Dari r.a.
Bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Agama adalah nasihat.”Kami pun
bertanya: “Untuk siapah wahai Rasulullah?” Jawab Baginda: “Untuk Allah,
kitab-Nya, rasul-Nya, pemerintah-pemerintah umat Islam dan orang Islam.”
(Riwayat Muslim)
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah
mengigatkan bahawa sesuatu kebenaran itu perlu dinyakan biarpun pahit. Islam
telah menyediakan garis panduan dalam membuat teguran. Niat kita menegur
seseorang itu mestilah betul, demi kebaikan orang itu dan bukannya bertujuan
menjatuhkannya, menghina, menunjukkan keaibanatau apa-apa jua niat buruk,
Elakkan “memilih bulu” apabila ingin menegur; jika orang itu kita tidak suka,
jangan pula kita biarkan sahaja walaupun dia patut ditegur.
Biasanya, manusia tidak suka kepada
teguran kerana dalam diri manusia itu ada sifat ego. Sedikit atau banyaknya ego
itu bergantung bagaimana kita mengawalnya. Namun, walau setinggi mana pun ego
kita, kita perlu menerima teguran yang membawa kebaikan kepada kita.
Apakah yang akan berlaku jika perlakuan
buruk yang kita lakukan terutamanya di dalam keluarga kita dan tiada siapapun
yang mengesan dan menegur? Atas apa juga alasan, kita akan meneruskan perbuatan
itu tanpa disedari. Jika hari ini ada orang yang menegur perbuatan itu, mungkin
kita dapat mengubah, hasilnya nasib kita juga mungkin berubah.
Rasulullah s.a.w.
bersabda yang bermaksud: “Tiga perbuatan yang sangat baik, iaitu berzikir
kepada Allah s.w.t. dalam segala situasi, saling menyedarkan antara satu sama
lain dan mengasihi saudaranya (yang memerlukan).”
(Riwayat al-Dailami)
Hidup seorang mukmin seharusnya menjadi cermin
kepada mukmin yang lain. Jika kita melihat sesuatu kebaikan yang dilakukan,
kita harus memberikan pertolongan dan sokongan agar ia mendatangkan kebaikan
kepada Islam. Jika berlakunya kemungkaran dalam masyarakat, kita harus menegah.
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Seorang mukmin adalah cermin bagi mukmin yang
lain. Apabila melihat aib padanya, dia segera memperbaikinya.”
(Riwayat al-Bukhari)
Menegur
isteri dan ahli keluarga merupakan suatu perkara yang amat mencabar bagi
seorang lelaki. Walaupun ianya nampak mudah, namun begitu sekiranya tersalah
langkah boleh membawa pecah belah di dalam rumah tangga.
Bukan semua
ahli keluarga mudah menerima teguran daripada suami atau bapa tentang
hukum-hukum islam apalagi menegur orang yang berada diluar kelompok keluarga.
Sudah
menjadi fitrah kejadian, untuk menjadikan seseorang itu baik mereka perlulah
ditegur dan selalu diingatkan tentang kebaikkan. Menegur bukan sahaja untuk
memperbaiki, tetapi lebih daripada itu adalah sebagai salah satu langkah untuk
menjadikan isteri dan ahli keluarga sebagai isteri dan keluarga yang terbaik di
dunia dan akhirat.
ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ
رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ ۖ
وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ ۚ
إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِ ۖ
وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ
“Serulah (manusia) kepada jalan tuhanmu
dengan hikmah dan pelajaran yang baik, dan bantahlah mereka dengan cara yang
lebih baik.” (Surah al-Nahl:125)
Oleh sebab
itulah Baginda s.a.w telah berpesan kepada golongan suami berkenaan perihal
ini:
Sabda Nabi
S.A.W:
“Aku
berwasiat kepada kamu supaya menjaga wanita dengan sebaik-baiknya kerana mereka
dijadikan daripada tulang rusuk dan sebengkok-bengkok tulang rusuk adalah yang
di bahagian teratas. Sekiranya kamu cuba meluruskannya, kamu akan mematahkannya
dan sekiranya kamu biarkan sahaja dia akan terus bengkok selama-lamanya.
Justeru, berpesan-pesanlah tentang wanita.”
(Hadis riwayat Bukhori dan Muslim)
Sesetengah
golongan lelaki memilih untuk berdiam diri. Awas, kadang-kadang tindakan berdiam
diri ini boleh membawa suami yang juga bapa terjerumus ke dalam golongan yang
dayus. Takutlah akan pesan Baginda S.A.W :
Ertinya :
Dari Ammar bin Yasir berkata, ia mendengar dari Rasulullah SAW berkata : ” Tiga
yang tidak memasuki syurga sampai bila-bila iaitu si dayus, si wanita yang
menyerupai lelaki dan orang yang ketagih arak” lalu sahabat berkata : Wahai
Rasulullah, kami telah faham erti orang yang ketagih arak, tetapi apakah itu
dayus? , berkata nabi : “ Iiatu orang yang tidak memperdulikan siapa yang masuk
bertemu dengan ahlinya (isteri dan anak-anaknya)
( Riwayat At-Tabrani)
Ada yang
menganggap, menuruti kehendak isteri itu adalah salah satu tanda seorang suami
itu menyayangi isterinya. Namun begitu, ada juga premis yang menganggap perkara
ini boleh menjerumuskan rumah tangga tersebut kepada kebinasaan. Ini kerana,
bukan kesemua kehendak isteri perlu dituruti oleh suami.
Sekiranya
isteri melakukan kesalahan atau kesilapan, ianya perlulah ditegur seawal
membina rumah tangga. Janganlah ditangguhkan kerana ianya boleh membawa barah
di dalam kehidupan rumah tangga tersebut. Akhirnya menjadikan kesalahan sebagai
perkara biasa. Akhirnya isteri naik tocang, rumah tangga menjadi pincang.
Akhirnya suami mendapat pengiktirafan sebagai suami yang dayus.
Hidupkanlah
budaya tergur menegur , nasihat-menasihati di dalam rumah tangga dan sesama
kita. Tegurlah di mana yang salah di sisi agama kerana kita semua
bertanggungjawab. Percayalah apabila kita ditegur di atas kesilapan, kesalahan
dan kekhilafan kita, sepatutnya kita berterima kasih kepada orang yang menegur
kita kerana itulah tandanya sayang orang lain terhadap kita. Begitulah juga
sebaliknya.
Jadi Marilah kita tegur-menegur sesama
kita supaya kita menjadi umat Islam yang hebat. Terimalah teguran dengan perasaan
bersangka baik supaya kita dapat memperbaiki diri dan mengeratkan silaturahim
antara mukmin. Berilah teguran dengan niat yang ikhlas dan cara yang penuh
hikmah agar teguran dapat diterima dengan hati terbuka.