“Sesungguhnya Costantinople itu pasti akan dibuka. Sebaik-baik ketua adalah ketuanya, dan sebaik-baik tentera adalah tenteranya.”13
Hadis ini menyebabkan khalifah-khalifah Islam telah berusaha untuk menakluki kota tersebut dari zaman ke zaman. Usaha pertama dilancarkan pada tahun 44 H/662 M iaitu pada zaman Muawiyah bin Abi Sufyan (ra). Akan tetapi, usaha berkenaan gagal dan Abu Ayyub Al-Ansari yang merupakan salah seorang sahabat Nabi yang menyertainya, syahid di pinggir kota Constantinople berkenaan.14 Manakala pada zaman Sulayman ibn ‘Abdul Malik pula, khilafah Umayyah telah menyediakan pasukan terhandal untuk menawan kembali kota berkenaan pada tahun 98H tetapi masih belum diizinkan oleh Allah SWT.
Di zaman pemerintahan kerajaan ‘Abbasiyyah, beberapa usaha diteruskan tetapi masih menemui kegagalan termasuk usaha padazaman Khalifah Harun al-Rasyid tahun 190 H/806 M.
Selepas kejatuhan Baghdad tahun 656 H/1258 M, usaha menawan Constantinople diteruskan pula oleh kerajaan-kerajaan kecil di Asia Minor (Anatolia) terutamanya Kerajaan Saljuk.
Selepas Daulah ‘Uthmaniyah mencapai ke peringkat yang lebih maju dan tersusun, roh jihad telah hidup semua dengan nafas baru. Semangat dan kesungguhan yang ada itu telah mendorong Sultan Murad II (824-863H /1421-1451M) untuk meneruskan usaha menawan Constantinople pada 825 H/1422 M.17 Beberapa usaha telah berjaya dibuat untuk mengepung kota itu tetapi dalam masa yang sama berlaku pengkhianatan di pihak umat Islam. Mahajara Byzantine telah mengambil peluang ini untuk menabur fitnah dan mengucar-kacirkan saf tentera Islam. Usaha Sultan Murad II itu tidak berjaya sampai ke sasarannya sehinggalah di zaman anak beliau, Sultan Muhammad al-Fatih18 (863-886 H/1451-1481M).
Sebelum memulakan serangan, sebagai persediaan Sultan Muhammad al-Fatih mengarahkan membina kota di tebing Eropah Selat Bosphorus iaitu di bahagian tersempit antara tebing Asia dan Eropah. Kota ini berhadapan dengan kota binaan Sultan Bayazid di sebelah tebing Asia.
Beliau juga mengarahkan seorang pembina meriam bernama Urban untuk menyediakan meriam yang beratnya kira-kira 800 tan atau 1500 kg yang bunyinya boleh didengari sehingga 25 batu jauhnya. Selain daripada itu jumlah kapal yang berlabuh di Laut Marmara antara 250 hingga 400 buah.21 Manakala jumlah tentera Islam pada masa itu ialah seramai 150 000 orang dan pihak Kristian kira-kira 200 000 orang.
Pada 29 Mei 1453M, serangan utama dilancarkan. Tentera ‘Uthmaniyyah gagal menembusi rantai besi di Tanjung Emas, tetapi akhirnya berjaya menembusi kota Constantinople melalui Pintu Edirne dan mereka telah mengibarkan bendera Daulah cUthmaniyyah di puncak kota. Namun untuk mengatasi masalah gagal menembusi Tanjung Emas tersebut, tentera ‘Uthmaniyah telah menolak kira-kira 40 buah kapal mengikut daratan yang sejauh 3 batu di belakang kota Galata.23 Akhirnya Constantinople berjaya ditawan oleh tentera Islam. Sultan Muhammad al-Fatih terus menukar gereja Aya Sophia kepada masjid.
Setelah beliau berjaya menawan Constantinople, bandar ini ditukar kepada Istambul (dalam bahasa Turki Istamboul) yang pada asalnya Islamboul yang bermaksud bandar Islam.
Kesan penaklukan Constantinople terhadap Asia Selatan dan Asia Tenggara
Kebangkitan kuasa Islam pada kurun ke-8 M lagi seolah-olah telah membayangkan kejatuhan Constantinople ke tangan orang Islam dan tertutupnya jalan-jalan perdagangan orang Eropah. Mereka khuatir orang Arab Islam akan merampas perniagaan negeri timur Mediterranean daripada orang Itali dan dengan demikian menyebabkan kemerosotan bandar-bandar sekitar Mediterranean. Perkara ini memang hampir menjadi kenyataan pada abad ke 14 M. Pada tahun 1358 M, sekumpulan orang Turki merampas Semenanjung Gallipoli. Dengan menuju ke Barat lagi mereka telah menawan Semenanjung Balkan iaitu dengan memasukkan Serbia dan Bulgaria ke dalam pemerintahannya dan menghancurkan pasukan-pasukan tentera King Sigismund dari Hungary pada tahun 1396 di tebing Sungai Danube Hilir.
Pada 1453 pula, bandar Constantinople jatuh ke tangan orang Islam. kejatuhan ini telah memberikan kesan yang besar kepada empayar Byzantine yang sekali gus runtuh dengan tamadun-Tamadun Yunani purbanya. Kesannya amat kelihatan apabila empayar ini mula lemah. Selepas kejatuhan bandar Constantinople, tentera Uthmaniyah telah dapat menakluk Trebizon pada tahun 1461, Lesbis pada 1462, Chios pada 1466, Kaffa pada 1500, Damsyik pada 1516 dan Caira pada 1517. Akibat daripada penaklukan ini jalan-jalan perdagangan ke Timur telah tersekat sepertimana yang diduga. Keadaan perdagangan di Timur Tengah menjadi buruk bagi kuasa-kuasa Eropah apabila dikuasai oleh kerajaan Uthmaniyah meskipun Venice masih bebas menjalankan aktiviti perdagangannya sendiri. Maka timbullah keperluan untuk mencari jalan-jalan baru ke Timur dengan segera untuk memonopoli perdagangan di Timur.
Selepas kejatuhan Constantinople ke tangan umat Islam ini kuasa-kuasa Barat menganggap laluan Eropah ke Timur di Selat Bosphoros telah tertutup terus. Akibatnya pelabuhan Venice semakin maju. Negara-negara Eropah yang lain terpaksa membeli barang yang mahal di pelabuhan itu.27 Oleh itu, orang Eropah telah berselerakan dengan menggunakan jalan-jalan lain iaitu mengikut arah selatan. Maka wilayah pertama menjadi sasaran Eropah adalah wilayah orang Islam di Afrika Utara. Perjalanan mereka diteruskan ke Asia. Tempat pertama mereka datang di Asia ialah India sebelum mereka meneruskan ke Asia Tenggara, pusat rempah-ratus.
Sebaik sahaja kejatuhan Constantinople tersebut, orang Portugis (yang telah lama diperintah oleh kuasa atau agama lain) telah digesa oleh Paus Nicholas V pada tahun 1454 M untuk pergi ke India untuk menjadikan negara tersebut sebuah negara Kristian kerana mereka percaya di sana pengikut Saint Thomas telah datang pada abad pertama Masihi. Dengan ini Portugis berharap mereka boleh bantuan untuk menentang Turki Uthmaniyah. Slogan yang digunakan oleh orang Portugis dalam ekspedisi ini ialah 3 G (gospel, gold dan glory). Sebaik mereka sampai di Calicut pada tahun 1498 M mereka mengisytiharkan tujuan kedatangan mereka sebagai ‘to seek Christian and spices’.
Di Sepanyol pula, sebaik sahaja Granada jatuh ke tangan Kristian pada 1492 Cristopher Columbus mula membuat penjelajahan dengan sokongan Ratu Isabela. Beliau kemudiannya menemui Amerika Selatan. Kemudiannya ekspedisi ini ke Asia Tenggara terpaksa mengikut jalan lain daripada yang digunakan oleh Portugis untuk mengelakkan pertembungan. Oleh kerana Sepanyol memilih jalan utara untuk sampai ke Asia Tenggara maka, mereka sampai ke Filipina.
Hanya dua kuasa Eropah yang muncul melibatkan diri dalam penjajahan dan pelayaran ke Asia pada abad ke 15 M dan Ke 16 M kemudiannya pada peringkat awal iaitu Portugis dan Sepanyol. Perkara ini berlaku kerana kedua-dua kuasa ini yang telah bertembung dengan tamadun Islam di Semenjanjung Iberia dan kemudiannya apabila bebas daripada kuasa politik orang Islam dalam abad ke 15 M tersebut telah mendesak mereka keluar untuk mengaplikasikan kecemerlangan tamadun yang mereka terima untuk motif tertentu.
Kesimpulan yang boleh diambil daripada motif-motif kedatangan kuasa-kuasa Barat ke Timur pada abad ke 15 M dan ke 16 M lebih banyak cenderung kepada motif agama. Malah atas motif untuk berkuasa atau politik sangat tidak jelas, malah boleh dikatakan tidak ada langsung. Begitu juga dari segi ekonomi, meskipun banyak alasan diberikan tujuan kedatangan mereka bermotifkan ekonomi, namun usaha ini hanya untuk melindungi tujuan sebenar mereka agar misi mereka yang sebenarnya itu akan terlaksana dan berjaya.
Nota Kaki
1. J.M. Hussey, edit., The Cambridge Medieavel History, Vol IV, The Byzantine Empire, Part 1, Byzantium and Its Neighbours, Cambridge at The University Press, New York, 1966., hlm. 2.
2. ‘Umar al-Iskandari et. al., Tarikh Misr ila al-Fath al-’Uthmani, Matba’at al-Ma’arif, Misr, 1916, hlm. 151.
3. Dr. ‘Ali Hassun, Tarikh al-Daulah al-’Uthmaniyah wa Alakatuha al-Kharijiyah, Maktabah al-Islami, Bayrut, 1994, hlm: 31.
4. Ibid.
5. Philip Sherrard, A History of the World’s Cultures Byzantium, Time-Life International, Nederland, 1967, hlm. 55.
6. Ibid., hlm. 34.
7. Ibid., hlm. 28.
8. Strange Worlds Amazing Places, hlm. 116.
9. Charkes Diehl, Byzantium: Greatness and Decline, Rutgers University Press, New Brunswick, 1957, hlm. 95-96.
10. Ibid., hlm. 97.
11. Philip Sherrard, hlm. 31; juga lihat Charkes Diehl, hlm. 104-105.
12. Charkes Diehl, hlm. 94.
13. Dr. ‘Ali Hassun, hlm: 31; Ahmad ibn Hanbal, Musnad, juz. 14, Darul Hadis, al-Kahirah, 1995, hlm. 331-332; Imam Abi ‘Abdullah Muhammad ibn ‘Abdullah al-Hakimi al-Nisaburi, al-Mustadrak ‘ala al-Salihin, juz. 5, Dar al-Ma’rifah, Bayrut, 1998, hlm. 603.
14. Ibid., hlm. 31-32; Ibn Athir, al-Kamil fi al-Tarikh, juz 3, Dar Sadr, Bayrut, 1965, hlm. 459.
15. Dr. ‘Ali Hassun, hlm: 32; Ibn Athir, juz 5, hlm. 27.
16. Ibn Athir, juz 10, hlm. 60.
17. Muhammad Farid Bik al-Mahasi, Tarikh al-Daulah al-’Aliyah al-’Uthmaniyah, Dar al-Jayl, Bayrut, 1977, hlm: 55.
18. Muhammad ibn Murad adalah khalifah ‘Uthmaniyah yang ketujuh. Baliau lahir pada 833 H/ 1429 M. Beliau adalah anak kepada Sultan Murad II. Beliau kemudian digelar al-Fatih apabila berjaya menakluk Constantinople.(Dr. ‘Ali Hassun, hlm. 31.)
19. G. C. Curtis, Constantinople dlm Turkey and The Balkan States, edit Eather Singleton, Dodd, Mead and Company, New York, 1980, hlm: 73.
20. Dr. ‘Ali Hassun, hlm. 32.
21. Ibid., hlm. 34.
22. Ibid., hlm. 33.
23. Ibid., hlm. 35-6.
24. Ibid., hlm. 38.
25. G. C. Curtis, hlm. 73.
26. Gregorio F. Zaide, Philippine Political and Cultural History, vol. I, terj., Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kuala Lumpur, 1972, hlm. 125; lihat juga Khoo Kay Kim, Kedatangan Orang Eropah, dlm Malaysia Warisan dan Perkembangan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1992, hlm. 60; Za’ba, Sejarah Ringkas Tanah Melayu, Pustaka Melayu, North Bridge Road, Singapura, 1961, hlm. 47; Brian Harrison, South-east Asia A Short History, hlm. 65.
27. W. N. Weech, History of The World, vol. II, terj., Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1981, hlm: 67.
28. D. R. Sardesai, Southeast Asia Past and Present, Second Edition, Macmillan Education Ltd, 1989, hlm: 61-62.